Tanggapan silap itu yang sering berlegar-legar dalam pemikiran segelintir umat Islam hingga menyebabkan wujudnya budaya cincai-cincai, sekali gus memberikan imej buruk kepada Islam yang sebenarnya langsung tidak mengajar amalan songsang berkenaan.

Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ahmad Kamilin Jamilin menarik perhatian umum dengan memberikan contoh mengenai tiga wanita; seorang menutup aurat, seorang berbaju kurung tetapi tidak bertudung dan seorang lagi memakai skirt.

“Jika mengambil maksud pertengahan, bermakna kita perlu memilih wanita kedua dan ia adalah salah kerana wasatiyah dalam Islam juga bermaksud terbaik,” katanya dalam Persidangan Khayr Ummah (KUC 2017) bertemakan Man­haj Ahli Sunnah Menyatukan ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUC 2017 yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Pertubuhan al-Khadeem Malaysia dan Pertubuhan Ilmuan Malaysia itu menghimpunkan kira-kira 30 ulama dari ASEAN dan negara Arab.

Mereka berkongsi pengetahuan dan pengalaman untuk memberi input dalam memperkukuhkan peranan dan sumbangan Islam ke arah pembinaan negara dan menyatukan ASEAN secara holistik.

Penutupan persidangan itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Yang turut hadir, Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, Sheikh Saleh Abdul Aziz, Menteri dan Timbalan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Pengarah Jasa, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Sementara itu, Muhammad Fahmi Rusli yang mewakili Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa wasatiyah bukannya satu elemen baharu dalam Islam atau sesuatu yang dibuat oleh manusia kerana definisinya telah disebut secara mendalam dalam al-Quran dan hadis.

“Contohnya, dalam sudut akidah kita diperintahkan untuk menjauhi sifat melampau. Manakala, dari sudut ibadah pula, kita disyariatkan untuk bersederhana.

“Konsep wasatiyah ialah keperluan agar kita menjadi umat terbaik dan dapat memulihkan persepsi negatif masyarakat bukan Islam terhadap Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Asrie Sobri dari Malaysia yang membentangkan tajuk, ‘Fenomena Ateis Dalam Kalangan Belia’ menjelaskan bahawa antara puncanya adalah kerana berlaku penyelewengan dalam pendidikan agama iaitu menyamakan semua subjek di sekolah, sekali gus menyumbang kepada hilangnya elemen Islam dalam persekitaran akademik dan rumah.

“Contohnya penggunaan media sosial sebagai antara platform untuk menyebarkan ideologi ateisme seperti perhimpunan belia ateis. Turut berlaku penyebaran ideologi Barat seperti liberalisasi yang menimbulkan keraguan terhadap agama Islam.

“Mereka mendakwa Islam adalah agama yang ketinggalan zaman, iaitu tidak lagi sesuai diamalkan pada masa sekarang. Selain daripada media sosial, fahaman mengenai ateis juga senang didapati dalam buku di pasaran yang dijual dengan harga murah,” katanya.

Mohamad Asri menegur tentang kekurangan pendakwah menulis bahan bacaan bagi menghuraikan tentang keraguan mengenai Islam seperti yang ditohmahkan oleh musuh Islam itu.

“Bagi menghadapi tragedi ini, pendakwah harus bersatu demi kebenaran agar umat Islam kembali kepada Allah dan Sunah melalui konsep wasatiyah dan juga dalam penggunaan teknologi moden,” katanya.