Tiada jawapan pasti yang dapat diberikan. Soalan ini kerap didengari daripada orang awam yang keliru dengan perbalahan orang pandai agama. Jika boleh dicipta pepatah, saya akan kata:

“Orang agama sesama orang agama bergaduh, orang awam yang pening di tengah-tengah!.”

Ketenangan orang awam yang tulus mencari ilmu agama sedikit terganggu kerana perbalahan atau sikap suka label-melabel sesetengah orang agama. Setakat pemerhatian, kaki label sebenarnya tidak mewakili suara majoriti. Suara mereka jadi nyaring dan kuat seakan mewakili suara majoriti hasil daripada eksploitasi media sosial yang agresif. Ramai lagi orang agama yang tulus jiwanya. Mereka ini tidak mengumpat secara berjemaah dalam media sosial. Mereka juga tidak berburuk sangka atau melabel orang yang tidak sebulu atau tidak sama aliran.

Nampaknya orang awam yang ikhlas mempelajari agama dan tidak terjebak dengan budaya tidak sihat ini jauh lebih tinggi penghayatan agamanya berbanding ‘sesetengah’ orang agama. Jangan terkejut jika di akhirat kelak kita saksikan orang awam terlebih dahulu dijemput ke syurga sebelum orang yang miliki ‘sijil tinggi agama atau punyai banyak sanad talaqqinya.’

BENCI TANPA KENAL


Perangai label-melabel bakal merencatkan fungsi akal yang sihat. Apabila label sudah ditampal, kebaikan pihak yang dilabelkan terus terkubur tanpa ihsan dan nisan. Mangsa terus dibenci tanpa kenal, sedangkan banyak lagi jasa ilmu yang mereka sumbang. ‘Benci tanpa kenal’ akibat budaya label-melabel pernah berlaku kepada Rasulullah SAW. Sikap bodoh orang Mekah melabel Rasulullah SAW telah mengundang tempelak Allah melalui ayat ini:

“Dan (ingatlah) hari Kami himpunkan daripada setiap umat sekumpulan besar orang yang mendustakan ayat keterangan Kami, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. Sehingga apabila mereka datang (ke tempat pengadilan), Allah Taala berfirman: “Adakah kamu mendustakan ayat keterangan-Ku dengan tidak lebih dahulu kamu mengetahuinya secara meliputi (mendalam)? Atau apakah yang kamu telah lakukan?” (al-Naml [27:83-84]).

Sepatutnya kita nilai dahulu sebarang pemikiran yang datang dengan akal kurniaan Allah. Sikap selektif dan tidak pukul borong dipuji Allah sebagai sifat manusia yang bijaksana atau sempurna akal. (Rujuk al-Zumar [39:17-18]).

Setelah lama menelaah ayat al-Quran, saya dapati budaya label-melabel adalah budaya purba. Ia sudah lama dipakai oleh kumpulan penentang para rasul. Menariknya, semua label negatif itu tetap tidak mengubah hakikat kebenaran yang dibawa para Rasul. Tabiat label-melabel adalah sunnatullah (hukum alam atau sains) yang tak mungkin hilang. Ia menjadi sebab siraman pahala untuk mangsa yang dilabelkan.

Lumrahnya peluru label pasti meninggalkan kesan kepada mangsa walaupun tidak semestinya benar. Kaki label sepatutnya lebih beringat dalam bicara mereka kerana tindakan mereka itu ada audit dosa pahalanya. Jika tuduhan atau label itu tidak tepat, Allah pastinya tidak akan lepaskan tanggungjawab dosa tersebut semudah mengucapkan istighfar atau solat taubat dua rakaat. Tambah malang jika label itu menyebabkan orang awam yang tak bersalah turut terpalit musibah benci sebelum kenal.

Hayatilah firman Allah ini: “Dan jagalah diri kamu daripada (melakukan atau berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim antara kamu secara khusus (tetapi turut menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya,” (al-Anfal [8:25]).


PEDOMAN KEPADA SEMUA


Untuk penyelesaian polemik ini, dicadangkan agar semua orang yang pandai agama mengambil beberapa langkah:

1 Berhati-hati sebelum melemparkan tuduhan. Bahana dosa yang mungkin dikutip sangat tidak berbaloi dengan kesedapan melabel orang. Contohilah sifat orang beriman yang melihat dosa atau ‘kemungkinan dosa’ seperti gunung yang bakal menimpa.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang beriman (sangat gerun) melihat dosanya seperti dia sedang berdiri di bawah bukit yang dirisaukan menimpanya, manakala orang yang jahat pula hanya melihat dosanya seperti seekor lalat melintasi hidungnya,”- Sahih Bukhari dan Sunan Tirmizi.

2 Sabar daripada melakukan musibah pada agama. Tindakan melabel seseorang akan memangsakan ramai pihak termasuk orang awam yang dahagakan ilmu agama.

3 Takutkan bahana muflis akhirat jika label itu tidak benar.

Sabda Rasulullah SAW: “Tahukah kalian siapakah orang yang muflis? Para sahabat menjawab: Orang yang muflis dalam kalangan kami adalah orang yang tidak memiliki dirham dan tidak pula memiliki harta. Rasulullah menyambung: Orang yang muflis daripada umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat membawa pahala solat, puasa dan zakat. Namun dia juga datang membawa dosa kezaliman. Dia pernah cerca si ini, tuduh tanpa bukti si ini, makan harta si anu, menumpahkan darah orang ini dan memukul orang itu. Maka sebagai tebusan atas kezalimannya, kebaikannya diberi kepada si ini, si anu dan si itu. Apabila kebaikannya habis dibahagikan kepada orang yang dizaliminya sedangkan kezalimannya belum tertebus, diambil pula kesalahan yang dimiliki orang yang dizaliminya lalu ditimpakan kepadanya, kemudian dia dicampakkan ke dalam neraka,” - Sahih Muslim.

Banyak label yang diletakkan kepada sesetengah orang hanya bergantung pada spekulasi atau sentimen tanpa bukti. Sayangi diri sendiri dan umat Islam.

Sakit perpecahan umat Islam sudah terlalu parah! Janganlah kita simbah minyak ke dalam api perpecahan yang sedang marak, bimbang nanti api neraka pula menyambar kita di akhirat kelak.

Pemutus hubungan keluarga. Tuduhan ini dibuat oleh pembesar Mekah berikutan dakwah Baginda yang memisahkan anak yang Muslim daripada ibu bapa mereka yang musyrik.