Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kutipan zakat PZNS meningkat

KAUNTER zakat dibuka oleh PZNS bagi menggalakkan orang ramai menunaikan 3
KAUNTER zakat dibuka oleh PZNS bagi menggalakkan orang ramai menunaikan zakat di Sekolah Kebangsaan Dato Abdul Manaf, Nilai.

MAJLIS Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) terus mempertahan prestasi cemerlang apabila mengumpulkan kutipan zakat sebanyak RM105.32 juta sepanjang tahun 2016.

Jumlah itu meningkat berbanding RM95.2 juta pada 2015, RM89.6 juta (2014) dan RM79.7 juta (2013). Peningkatan itu lebih ketara kerana ketika ditubuhkan pada 1998, PZNS mengutip zakat sebanyak RM5.8 juga bagi tahun 1997.

Penyumbang tertinggi dalam perolehan zakat oleh PZNS melibatkan zakat pendapatan sebanyak RM58.5 juta diikuti zakat wang simpanan (RM16.9 juta) dan perniagaan (RM16.7 juta).

Pada masa sama, pusat itu menerima pungutan zakat fitrah sebanyak RM4.34 juta dan hasil am zakat sebanyak RM462,000.

Bilangan pembayar zakat juga meningkat daripada 8,938 pembayar (individu dan agensi) pada tahun 2000 kepada 55,729 pembayar pada tahun lalu.

Kini PZNS mempunyai seramai 72 jumlah warga kerja dengan 11 cawangan di seluruh negeri itu.

INOVASI ZAKAT

Sejajar dengan perkembangan masa, PZNS melaksanakan beberapa program bertujuan meningkatkan kecekapan kutipan zakat antaranya memperkenal bayaran secara talian melalui laman web www.zakatns2u.biz dan Skim Pembayaran Zakat Melalui Potongan Gaji (SPZPG) dengan kutipan bulanan mencecah RM3 juta sebulan.

Pembayaran zakat juga boleh dilaksanakan melalui perbankan Internet, pembayaran di bank-bank yang dilantik, melalui kaunter pos Malaysia, kaunter bergerak dan melalui amil masjid di setiap kariah.

Sementara itu, urusan agihan zakat diuruskan sepenuhnya oleh Baitulmal yang diketuai Setiausaha MAINS sebagai ketua jabatan. Misi Baitulmal secara khususnya ialah sebagai agensi pentadbir harta MAINS dalam menjana pembangunan ekonomi ummah yang meliputi urusan zakat, wakaf dan sumber am.

Baitulmal mempunyai visi untuk menerajui pembangunan sosioekonomi ummah di Negeri Sembilan berlandaskan prinsip dan syariah Islam.

Agihan zakat telah ditetapkan untuk asnaf-asnaf yang berhak iaitu amil, fakir, miskin, mualaf, ibnu sabil (orang yang kehabisan belanja dalam perjalanan), fi sabilillah (usaha untuk mengembangkan syiar Islam), al-gharimin (orang yang berhutang) dan al-riqab (yang kini ditakrifkan sebagai usaha untuk membebaskan diri daripada belenggu perhambaan dan kejahilan).

Sehingga kini, Baitulmal telah mengagihkan zakat dengan cemerlang dan sejak 2006 lebihan peruntukan yang tidak dibelanjakan telah berjaya dikurangkan.

Baitulmal juga telah menguruskan Dana Sumber Am dengan cemerlang dengan aset mudah tunai kini berjumlah RM140.33 juta dan nilai keseluruhan aset yang dianggarkan tidak kurang daripada RM284.76 juta.

Kesemua Dana Sumber Am digunakan untuk menjana pembangunan syiar Islam melalui pembangunan hartanah dan projek serta memastikan pemilikan harta dan kepentingan ekonomi umat Islam di Negeri Sembilan terpelihara.

DANA WAKAF

Di samping zakat dan sumber am terdapat lagi satu lagi sumber dana yang tidak kurang pentingnya iaitu dana wakaf.

Selama ini, wakaf hanya dikaitkan dengan surau, masjid dan tanah perkuburan tetapi melalui dana itu adalah diharapkan pembangunan institusi wakaf yang digerakkan melalui Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan (syarikat milik penuh MAINS Holdings) akan menjana satu lagi sumber utama dana MAINS.

Kecekapan Baitulmal menguruskan dana MAINS turut diberi pengiktirafan oleh Jabatan Audit Negara melalui penganugerahan Sijil Bersih bagi akaun MAINS sebanyak 14 kali mulai 1997 hingga 2015 serta Sijil 4 Bintang Ketua Audit Negara Bagi Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan bagi enam tahun berturut-turut mulai 2008 hingga 2013.

Sesungguhnya sejak penubuhan MAINS pada 1948, pelbagai pencapaian dan kemajuan telah dicapai dalam pelbagai sektor serta bidang melalui agensi-agensi berkaitan.

Di samping memperkemas serta memperkukuh pengurusan undang-undang dan pentadbiran Islam di agensi pelaksana dan pembangunan infrastruktur agama seperti masjid, surau dan sekolah, tumpuan turut diberikan untuk pembangunan bidang-bidang lain.

Menjelang abad ke-21, MAINS mempunyai visi dan wawasan untuk menjadi satu organisasi Islam yang terunggul dalam menerajui pembangunan ummah dan syiar Islam khususnya di Negeri Sembilan dan Malaysia amnya.

Ia selaras dengan keyakinan dan hasrat Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi MAINS.

“Saya yakin MAINS akan menjadi agensi utama dalam usaha membangun dan meningkatkan syiar Islam di Negeri Sembilan dan akan menerajui usaha-usaha berkaitan dan cemerlang dalam semua sektor yang diceburi.

“Urusan zakat di negeri ini kita asingkan antara yang memungut dan mengagihkan.

“Pusat Zakat Negeri Sembilan memungut zakat manakala yang mengagihkan adalah Baitulmal. Ini adalah urusan yang benar-benar telus,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain