Antaranya adalah filem, iaitu satu medium media yang amat popular dan sering digunakan bagi tujuan propaganda pihak tertentu. Seorang pendakwah kelahiran Somalia, Sheikh Said Rageah menyifatkan media popular tersebut mempunyai elemen yang boleh mencetuskan emosi negatif secara berterusan.    
Imam Pusat Islam Abu Huraira, Toronto, Kanada itu menyatakan demikian ketika ditanya dalam satu sesi dialog di Scandinavia, baru-baru ini.
    
Berikut sesi dialog itu:
Apa pandangan Sheikh terhadap medium filem?

Sheikh Said: Secara umumnya, pembuat filem akan memasukkan elemen tertentu yang bertujuan merangsangkan perasaan atau emosi para penontonnya.

Apakah elemen itu?
Antara yang menjadi keutamaannya adalah elemen muzik. Para penonton tidak akan menangis semata-mata mereka melihat seseorang pelakon bersedih atas sebab putus cinta atau kematian. Kesan yang merangsangkan emosi itu adalah alunan muzik latar yang dimainkan semasa kejadian berkenaan.
Pembuat filem itu menggunakan elemen itu kerana minda  penonton ketika itu tanpa disedari terpanggil untuk menghayati emosi pelakon dalam filem tersebut. Dalam masa sama, elemen berkenaan penting untuk memastikan penonton terus menonton babak ke babak berikutnya.
    
Adakah ia berfaedah kepada Islam?
Secara umumnya, saya menyifatkan medium filem, khususnya kepada kaum lelaki Muslim, mampu merangsangkan suatu tarikan yang kuat terhadap jantina berbeza.
Kita mungkin tidak mahu melihat satu babak yang memaparkan seorang wanita berpakaian seksi atau mendedahkan auratnya tetapi disebabkan tarikan yang kuat itu, kita akan tetap menyaksikan keseluruhan badan wanita berkenaan walaupun sekali pandang.
Satu lagi, saya berpendapat menonton filem di pawagam  membazirkan masa dan wang kerana ia melibatkan banyak perkara lain yang perlu kita buat sebelum, semasa dan selepas menonton.
    
Jadi, apa nasihat tuan?
Saya berpendapat adalah lebih baik jika kita menghabiskan masa, tenaga dan wang untuk mempelajari serta meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT, tentang syariah dan lain-lain.
Satu hadis baginda Nabi SAW bermaksud: “Ada dua nikmat yang kebanyakan manusia tertipu kerananya iaitu kesihatan dan masa lapang,” - Riwayat Bukhari.
Jadi, adalah lebih baik masa untuk menonton filem atau mencari pawagam itu ditukar kepada perkara lain yang lebih berfaedah. Ini kerana, kita akan dipertanggungjawabkan terhadap setiap kali kita pergi ke pawagam dan membayar untuk menonton filem berkenaan.
 

Dipertanggungjawabkan. Maksudnya?
Satu hadis Rasulullah SAW dalam sahih Muslim ada menyebut bahawa Allah SWT tidak menyukai tiga perkara dan satunya adalah membazirkan wang.
Ini kerana menyokong golongan berkenaan dengan menonton filem mereka atau membeli video cakera padat (VCD) menunjukkan tanda sokongan kita agar elemen kejahatan itu berterusan sampai bila-bila. Sebagai seorang Muslim, kita perlu berusaha mengurangkan perhatian kita terhadap medium media berkenaan.