Ada sahaja mangsa yang menepuk dahi kerugian. Dalam apa sahaja urusan, mereka pasti dapat lebih dan pasti ada pihak yang hilang hak. Jika tidak ditegur atau dirawat, kepercayaan dalam masyarakat beransur hilang. Inilah kisah kaum Madyan dan Aikah. Nama mereka kekal busuk sehingga kiamat. Apabila membaca kisah mereka, seakan-akan Allah berkata kepada kita, “kamu jangan jadi seperti mereka”:

“(Demikian juga) penduduk Aikah telah mendustakan Rasul-Rasul (yang diutus kepada mereka). Ketika Nabi Syuaib berkata kepada mereka: “Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. “Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu. “Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.

“Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (daripada Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam. “Hendaklah kamu menyempurnakan sukatan cupak gantang, dan janganlah kamu menjadi golongan yang merugikan orang lain. Dan timbanglah dengan neraca yang betul timbangannya. Dan janganlah kamu mengurangi hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi,” (al-syu’ara’[26:176-183]).


SIAPA MEREKA?

Para ulama tafsir berselisih pendapat. Ada yang mengatakan Madyan dan Aikah adalah umat yang sama. Rasul mereka adalah Nabi Syuaib a.s. (Tafsir Ibn Kathir). Ada juga yang mengatakan Aikah adalah negeri bersebelahan Madyan. Mereka berkongsi tabiat buruk yang sama. Oleh itu, nabi Syuaib diberi dua misi kepada dua negeri (Tafsir al-Munir).

Jenayah mereka adalah dosa besar kerana jalan putus untuk mereka hanya azab yang keras. Sedar atau tidak, kuman ‘bengkok dan penipu’ kaum Madyan ini kekal sehingga sekarang dan turut menjangkiti sesetengah Muslim Malaysia.

Lihat sahaja berapa ramai pekerja yang kurang jam kerjanya walau kontrak gajinya menuntut sebaliknya. Makan pagi dan minum petang sengaja dipanjangkan agar beberapa minit waktu kerja dapat ditiriskan. Jam kerjanya tak cukup, tapi gajinya mahu lebih. Itu belum lagi dikira aspek penyalahgunaan kemudahan pejabat untuk kepentingan peribadi. Sungguh! Ini adalah kuman kaum Madyan.

Berapa banyak pula tuntutan yang ditipu oleh sesetengah pekerja. Perjalanannya singkat tapi borang tuntutannya lebih berjela. Sungguh! Ini adalah kuman kaum Madyan.

Berapa banyak pula projek kerajaan yang hilang nilainya kerana bahan binaannya tidak mencapai standard selamat. Ada sahaja nilai sebenar projek ditarik keluar bagi menyumbat mulut manusia jahat yang rakus bak dubuk.

Sudahnya projek siap, tapi pahat berbunyi. Tambah malang rakyat juga akhirnya yang perlu mengeluarkan biaya membeli pahatnya. Sudahnya rakyat cuma mendapat tulang, manakala isi ikannya dibaham rakus kucing haram yang semakin buncit perutnya. Sungguh! Ini adalah kuman kaum Madyan.

Dalam ayat lain Allah menegaskan tabiat ‘suka haram’ adalah dosa besar yang sering dipandang remeh. Beringatlah, jangan sampai mengambil hak orang lain walaupun cuma satu sen. Apa gunanya kaya atau senang sekejap di dunia tapi kayap dan merana di akhirat kelak.

Firman Allah SWT: “Kecelakaan besar bagi orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) daripada orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya), hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam?,” (al-Mutaffifin [83:1-6]).

Sifat ini adalah kuman yang sangat bahaya, bukan setakat iman pada dada, negara dan empayar pun mampu diruntuhkannya. Nabi Syuaib dahulu dan al-Quran adalah doktor yang dihantar untuk mematikannya.

Ya Allah! Selamatkan kami daripada kuman Madyan dan Aikah dalam semua urusan kami, kerana kuman ini adalah adunan Iblis yang menjadi magnet menarik hamba-Mu ke neraka.

SIMPTOM MADYAN, AIKAH

  • Dalam setiap urusan pasti ‘ada untung haram’ diambil.
  • Disebut dalam al-Quran dan berkekalan hingga menjangkiti segelintir Muslim Malaysia.
  • Antaranya:

            - Tipu tuntutan kerja lebih masa.

            - Kerja tidak cukup jam tapi gaji mahu lebih.

            - Salah guna kemudahan pejabat untuk kepentingan peribadi.

            - Tipu projek kerajaan yang diamanahkan.