Kegemilangan Tamadun China dibuktikan dengan tinggalan Tembok Besar China dan Tamadun Mesir dibuktikan dengan binaan piramid. Kedua-dua binaan ini memperlihat hasil kreativiti dan seni yang dimiliki masyarakat setempat pada zamannya.

Ini berlainan dengan Tamadun Islam di mana seni dan kreativitinya melangkaui zaman dan batasan geografi. Dalam Tamadun Islam terdapat kepelbagaian hasil seni dan kreativiti yang menjadi bukti pencapaian tamadun berkenaan.

Sebagai sebuah tamadun yang bersifat sejagat (universal) sepanjang zaman, seni dan kreativiti Tamadun Islam menjadi bukti pencapaian tamadunnya. Kebolehan ahli masyarakatnya dalam bidang itu sewaktu zaman kegemilangan dinasti Islam tidak boleh dinafikan.

Olahan kreativiti masyarakat Islam bukan sahaja menakjubkan malah mampu menimbulkan satu tanggapan positif seperti ketinggian ilmu, gaya hidup yang tinggi dan maju dalam kalangan masyarakat lain pada waktu itu terhadap masyarakat Islam.

Keunikan rekaan seni bina, kelembutan tekstil, keindahan warna jubin dan kemajuan dalam bidang persenjataan contohnya ditunjangi seruan-seruan yang dinyatakan dalam ayat al-Quran supaya umatnya berfikir dan berusaha memperbaiki hidup mereka di dunia ini.

Contoh ayat al-Quran yang menyeru manusia berfikir secara kreatif adalah seperti maksud ayat berikut “…Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar Ra’d: 11).

MANIFESTASI SENI

Kreativiti memerlukan seni bagi tujuan manifestasi. Seni adalah sifat langsung yang mencerminkan keindahan hasil kreativiti masyarakat Islam untuk merubah keadaan hidup mereka. Maka pelbagai aktiviti dan perkembangan kreativiti dapat dihasilkan seperti dalam bidang seni tulis, lukis, muzik dan logam daripada setiap dinasti Islam terdahulu.

Ini kerana mereka faham kreativiti bukan satu pilihan tetapi syarat untuk maju bagi sesebuah masyarakat seperti termaktub dalam ayat al-Quran di atas dan keindahan merupakan satu perkara yang disukai Allah SWT seperti yang ada dalam Asma-Nya.

Al-Quran adalah sumber pemikiran kreatif umat Islam dan sumber seni umat Islam.

Ia bukan sekadar sumber rujukan untuk hukum fikah dan peraturan hidup manusia. Tetapi menjadi kunci kepada kemajuan hidup abadi yang dicari oleh manusia.

Al-Quran adalah kunci kepada segala ilmu yang tidak pernah habis digali walaupun setelah lebih 1,000 tahun al-Quran diturunkan.

Perkembangan dan kerancakan aktiviti berkaitan kreativiti dan seni secara tersirat menunjukkan kefahaman serta kesungguhan masyarakat Islam dalam Tamadun Islam terdahulu mendalami al-Quran bagi memacu Tamadun Islam ke hadapan. Mereka meletakkan kebolehan dan kemahiran terbaik yang dimiliki untuk manfaat generasi seterusnya.

MENJADI SEPI, SUNYI

Bagaimanapun, masyarakat dalam Tamadun Islam di zaman ini seolah-olah sepi daripada kreativiti dan seni. Ia terpinggir dalam bidangnya kerana al-Quran terpinggir daripada umat Islam. Agak menyedihkan ada dalam kalangan masyarakat Islam hari ini yang agak ‘kekok’ dan ‘risau’ untuk menjadi kreatif.

Ramai daripada kita lebih rela mengagumi kreativiti dan seni masyarakat Islam terdahulu daripada meneruskan dan menjadi lebih kreatif daripada mereka.

Sumber kemajuan masyarakat Islam hari ini kebanyakannya dipandu oleh kreativiti yang tidak berdasarkan al-Quran, maka ia mengakibatkan keindahannya tidak dapat dijiwai dan mudah hilang ditelan masa.

Pengasingan kreativiti dan seni Islam dalam laluan kemajuan umat Islam menyebabkan Tamadun Islam di zaman ini berlalu tanpa bekas, identiti dan tinggalan untuk diingati.