Malah tidak keterlaluan jika dikatakan mereka hanya menikmati daging setahun sekali. Antara sebabnya daging dijual pada harga kira-kira RM40 sekilogram. Oleh itu, antara peluang terbaik menjamah daging adalah semasa Hari Raya Aidiladha.

Bagi umat Islam di Malaysia, melakukan ibadat korban di Kemboja bukanlah sesuatu yang asing. Saban tahun, ribuan ekor lembu disembelih pada hari nahar (10 Zulhijah) dan hari tasyrik. Antara yang tidak ketinggalan mengadakan program ini adalah Yayasan As-Syafie (YAS).

Tahun ini adalah kali ketiga YAS bekerjasama dengan Bank Rakyat dan menyembelih 265 haiwan ternakan iaitu 160 lembu dan 105 kambing untuk korban dan akikah.

Jumlah penyertaan korban oleh pegawai dan kakitangan Bank Rakyat adalah lembu korban 77 ekor dan satu bahagian; lembu akikah (lima); kambing korban (15) dan kambing akikah (21). Bakinya disertai orang perseorangan dan juga kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak.

Rombongan 15 orang dalam Kembara al-Barakah untuk Ibadat Korban, Akikah dan Misi Kemanusiaan Kemboja 2017 yang berlepas pukul 9 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 3 September lalu tidak menunggu lama untuk melaksanakan amanah yang diberikan oleh para peserta korban dan akikah.

Sejurus tiba di Kampung Prey Thnong dalam Wilayah Kampot pada kira-kira pukul 3 petang, operasi menyembelih dilakukan. Sebanyak 50 lembu dan 30 kambing dikorbankan. Ia kemudiannya diagihkan kepada masyarakat Muslim di 25 kampung berdekatan. Setiap seorang menerima kira-kira dua kilogram daging.

Bagi memudahkan urusan memproses lembu dan kambing, penduduk kampung terlibat akan membawa lembu ke kampung masing-masing untuk kerja melapah dan memotong daging sebelum diagihkan kepada anak kariah masing-masing. Kerja-kerja menyembelih semua haiwan korban selesai pada 5.20 petang.

Usaha ini amat dialu-alukan oleh Imam Wilayah Kampot, Imam Zuhri yang merakamkan penghargaan atas kesudian umat Islam di Malaysia terus melaksanakan korban di negara tersebut walaupun dipisahkan oleh sempadan geografi.

Katanya, semua itu adalah tanda persaudaraan sesama Islam di mana golongan yang berada membantu golongan yang kurang berkemampuan walaupun pada hakikatnya tidak mengenali antara satu sama lain.

“Kami doakan semua ahli rombongan berada dalam keselamatan sepanjang di Kemboja dan juga selamat pulang ke Malaysia. Semoga program itu diadakan lagi pada masa hadapan kerana ia memberi kegembiraan kepada kami di sini,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian program korban dan akikah di Maahad Imam Syafie di Kampung Keh.

Sementara itu, Ketua Rombongan dari Bank Rakyat, Ahmad Syukri Abd. Rahman turut mengucapkan terima kasih kerana diberi kesempatan menyertai kembara tersebut.

“Korban di sini lebih istimewa kerana kerjasama penduduk setempat yang terlibat dalam gotong-royong sangat baik. Ramai yang mengambil bahagian bermula dengan kerja menumbang sehingga menyembelih dan mengagih daging korban,” katanya yang juga Ketua Pegawai Risiko bank tersebut.

Program pada hari kedua kembara adalah lebih mencabar apabila 133 lembu dan kambing menunggu untuk disembelih. Daripada jumlah itu 88 adalah lembu dan baki 45 lagi kambing. Penyembelihan dimulakan kira-kira pukul 8 pagi dan selesai kira-kira lima jam kemudian. Antara insiden yang sukar dilupakan adalah penyembelihan secara berdiri apabila seekor daripada lembu tersepit di antara celah pokok akibat meronta-ronta semasa ia mahu dijatuhkan.

Keutamaan melakukan korban bukan sebab ia tradisi tetapi ia adalah amalan yang paling dicintai Allah semasa Aidiladha. Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tiada satu amalan yang paling dicintai Allah SWT daripada Bani Adam a.s. ketika Hari Raya Aidiladha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu berbahagialah dirimu dengannya,” - Riwayat Tirmizi