Jika kita bersungguh-sungguh mengunjungi lelaki yang banyak ajaib berbanding menumpang rahmat siraman ilmu si mufti, maka ternyata kita masih rabun ilmu dan beranggapan ‘tingkap lebih utama daripada pintu!’.

Jika benar lelaki itu banyak ajaib kerana keramat, itu anugerah Allah padanya secara individu, manakala si mufti pula adalah anugerah Allah untuk semua. Umpamanya berkerumun mengharap pangkat kemuliaan yang khusus dianugerahkan si raja kepada satu individu, berbanding menemui si mufti yang diberi lesen oleh si raja untuk ‘memuliakan semua penuntut ilmu’. Aduhai! Jangan sampai tersalah pintu.


JANGAN TERPEDAYA

Sebelum mendalami ilmu, saya sendiri pernah keliru tentang isu ini. Saya cepat melopong apabila mendengar cerita para wali yang mampu berjalan di atas air, terbang di udara, muncul dalam banyak tempat pada satu masa dan sebagainya. Keramat para wali Allah memang wujud dan wajib diimani kerana al-Quran menyebutnya dengan jelas seperti dalam kisah Maryam a.s.:

“Maka dia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik dan dibesarkannya dengan didikan yang baik serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Setiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam dalam mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: ”Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab: “Ia daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira,” (Ali ‘Imran [3:37]).

Bukan setakat kisah Maryam, ia turut disebut dalam kisah lain seperti kisah Sarah yang melahirkan Nabi Ishak a.s. pada usia tua (Hud [11:71-73]), ibu Nabi Musa a.s. yang mendapat ilham cara menyelamatkan Baginda (Al-Qasas[28:7]), kisah lelaki soleh yang menasihati saudaranya (Al-Kahf [18:37-40]), kisah tujuh pemuda yang tidur dalam gua selama 300 tahun (Al-kahf [18:13]) dan sebagainya.

Apa yang perlu kita fahami adalah terdapat dua jenis keramat:

Karamah Maknawiyyah

* Hanya boleh difahami dengan akal. Dianggap berada dalam kelas pertama yang lebih utama untuk dikagumi.

* Seorang ulama menghasilkan khazanah ilmu yang mampu mendekatkan manusia kepada Allah jauh lebih besar manfaatnya kepada umat Islam.

* Jika seorang wali didakwa mampu terbang di udara seperti burung, umat Islam tetap berada dalam kegelapan jahiliah, sebaliknya jika ulama menghasilkan karya ilmiah yang dibaca oleh orang awam, manusia yang jahat boleh menjadi baik dan manusia yang buta hati boleh menjadi celik iman.

Karamah Hissiyyah

* Boleh disaksikan dengan pancaindera. Berada pada kelas kedua.

Imam Syafie memberi amaran agar jangan mudah terpedaya dengan keramat ini (yang zahir pada mata) dengan nasihatnya:

“Jika kamu melihat seorang lelaki berjalan atas air atau terbang di udara, maka jangan terpedaya dengan kelebihan itu sehinggalah kamu menilai dirinya mengikut neraca al-Quran dan Sunah (Tafsir Ibn Kathir pada tafsiran ayat 34 Surah al-Baqarah).

Oleh itu, berfikirlah dengan cara yang betul. Letakkan keutamaan pada tempatnya dengan mengutamakan keramat ilmu. Para ulama yang sudah meninggal dunia ratusan tahun dahulu tetap hidup bersama ilmu yang mereka hasilkan. Pahala mereka juga masuk mencurah-curah ke alam barzakh selama ratusan tahun selagi karya mereka dimanfaatkan umat Islam walaupun usia mereka semasa hidup tak sampai pun 100 tahun.

Subhanallah! Inilah keramat yang sebenar. Ayuh kita usahakan untuk mendapat keramat ini dengan menjadi khadam ilmu.