Hampir 200,000 orang melarikan diri, 2,000 terperangkap dalam bandar, ketiadaan bekalan makanan, air dan elektrik dengan sebahagian bangunan serta rumah musnah.

Mengikut kajian, konflik sebegini boleh dijangkakan memandangkan persekitaran di Mindanao ‘subur’ untuk kumpulan pengganas bertapak sebagaimana di Iraq-Syria.

Dari segi sejarah, kemunculan kumpulan pengganas di Iraq-Syria antaranya berlaku akibat diskriminasi dan kekejaman Saddam Hussein ke atas kumpulan majoriti (Syiah) di Iraq, kekejaman dan peminggiran ke atas kumpulan majoriti (Sunni) di Syria oleh keluarga al-Assad.

Ia berterusan hingga mewujudkan konflik Sunni-Syiah dan memunculkan kumpulan militan apabila geopolitik Iraq-Syria berubah.

Di Mindanao, Moro berperang melebihi 400 tahun dengan penjajah Sepanyol, Amerika Syarikat dan Jepun sebelum Filipina (dilihat mewakili Kristian).

Dasar kolonialisasi dan keganasan ke atas warga Islam Moro oleh kerajaan Filipina menyebabkan pemberontakan bersenjata melebihi 47 tahun dan konflik berterusan Islam-Kristian. MM dilihat menjadikan Marawi sebagai konflik Islam-Kristian bagi mendapatkan sokongan komuniti Muslim.

Dari segi keamanan dan ketenteraman awam, Iraq dan Syria tidak aman sepenuhnya dalam tempoh 40 tahun lalu dengan Iraq menghadapi tentangan Kurdish dan Syiah manakala Syria menghadapi tentangan fundamentalis Islam sebelum krisis semakin parah mulai 2011.

Filipina pula tidak aman sepenuhnya kerana selain menghadapi tentangan pemberontak Islam, ia berhadapan tentangan Tentera Rakyat Baru, iaitu cabang tentera Parti Komunis Filipina dan ini menyediakan ruang untuk militan bertapak.

MISI ‘BERSIHKAN’ KRISTIAN, SYIAH, MUSLIM TIDAK SEHALUAN

Dalam pada ideologi Daesh adalah Salafi Jihadi, MM pula dalam kenyataan di media sosial menyatakan akan membersihkan Marawi daripada puak Kristian, Syiah dan ‘golongan musyrikin’.

Maklumat lapangan menunjukkan MM giat membidaahkan amalan-amalan komuniti Islam setempat. Berita melaporkan Masjid Syiah dimusnahkan, penduduk Kristian dibunuh, Gereja Katolik Maria Auxiliadora diserang dan paderi ditahan sebagai tebusan.

Ini menunjukkan ciri-ciri fahaman Salafi Wahabi dipegang oleh MM yang menjadi ideologi teras Salafi Jihadi. Ada kemungkinan penyebaran ideologi ini di Mindanao sejak beberapa tahun lalu ‘kini mula menunjukkan hasilnya’.

Keadaan sosioekonomi di Iraq-Syria menunjukkan peminggiran dari segi ekonomi, tiada peluang memperbaiki kehidupan, pengangguran berleluasa, rasuah dan kurang pendidikan yang menyebabkan orang muda menjadi militan untuk mendapat wang.

Keadaan itu tidak jauh berbeza di Mindanao.

Kewujudan pelbagai kumpulan militan seperti Daesh, Jabhal Fateh al-Sham, FSA, Ahrar Al-Sham dan Jabhat al-Akrad di Iraq-Syria menyediakan ruang untuk pengganas terus hidup.

Di Filipina, kewujudan dan konflik antara MNLF, MILF, Abu Sayyaf, BIFF, dan Ansar Al-Khilafah, selain sel-sel kecil yang sering menculik tebusan memungkinkan aktiviti pengganas terus hidup.

Iraq-Syria memiliki sempadan yang luas dengan Iran, Turki, Jordan, Arab Saudi dan Lebanon, wujudnya laluan untuk menyeludup pengganas, minyak, makanan dan peralatan.

Di Mindanao, perairan yang luas, sukar dikawal dan dipantau dengan laluan penyeludupan senjata, manusia dan dadah berjaya dieksploitasi oleh kumpulan militan.

Dalam pada bentuk muka bumi di Iraq-Syria memberi kelebihan kepada kumpulan pengganas, di Mindanao, bentuk muka bumi bergunung-ganang, berpulau dengan hutan hujan tropika turut memberikan kelebihan kepada kumpulan pengganas.

Presiden Filipina, Duterte telah menerima tawaran 2,000 tentera MNLF untuk membantu Filipina memerangi MM selain bakal diserapkan ke dalam pasukan bersenjata Filipina.

Di Iraq, pakatan Sunni yang dibantu oleh Pasukan Bersekutu dalam Majlis Kebangkitan Anbar berjaya memerangi kumpulan Daesh.

Apabila Nouri al-Maliki memungkiri janji untuk menerima tentera Sunni sebagai anggota pasukan keselamatan Iraq, kumpulan ini berpecah dan sebahagiannya beralih menyokong Daesh.

Masa akan menentukan sama ada Duterte jujur, bertindak betul dan implikasi daripada tindakannya.

Konflik Iraq-Syria berjaya menarik militan sehingga 30,000 dari lebih 90 negara. Konflik di Marawi setakat ini menarik sekitar 40 militan dari Indonesia, Arab Saudi, India, Pakistan, Chechnya, Maghribi dan Malaysia.

Jika konflik ini berterusan dan berjaya dieksploitasi oleh MM/Daesh, dijangkakan militan yang pernah berperang dengan Kristian di Ambon dan Poso serta negara lain akan turut bersama.

JANGKAAN KONFLIK

Konflik ini dijangkakan tidak berterusan memandangkan MM telah dikepung tentera Filipina melalui Undang-Undang Tentera yang dikuatkuasakan.

MM bakal menghadapi kekurangan bekalan makanan, air dan elektrik, ketiadaan kewangan yang kukuh dan berterusan, sukar menerima sokongan luar serta bakal kehabisan bekalan senjata dan peluru.

Persetujuan MNLF dan MILF untuk mengakhiri pemberontakan apabila Duterte dipilih sebagai Presiden Filipina turut melemahkan MM.

Apatah lagi penduduk Muslim setempat tidak menyokong MM dengan berita memaparkan warga Kristian diajar warga Muslim cara jawab soalan, bacaan dalam solat, bertudung dan cara menuturkan “Assalamualaikum” untuk mengelakkan dibunuh MM.

Warga Muslim juga menyediakan perlindungan, berkongsi makanan dan memberi bantuan kemanusiaan kepada warga Kristian yang terperangkap, selain kisah ibu Muslim yang menyusukan bayi Kristian yang kelaparan.

Namun begitu, keamanan di Mindanao sukar dijangkakan ekoran wujudnya antara 250 dan 1,200 militan Daesh di Filipina dan pelbagai faktor lain yang saling berkait.

Keamanan sebenarnya tidak mustahil jika Kerajaan Filipina ikhlas, memberikan autonomi dan sanggup berkongsi hasil bumi dengan penduduk Islam.