Segar lagi dalam ingatan cerita kawan kami yang sama-sama belajar dalam tingkatan lima di Sekolah Menengah Agama (Arab) Ma’ahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu Kelantan, kira-kira 26 tahun lalu.

Kami yang dengar ceritanya tersenyum lebar kerana tahu kawan kami ini masih tebal selaput nakalnya. Namun kini, apabila semakin dewasa dan banyak melihat ragam manusia, saya akui Muslim yang tidak tinggal solat sebenarnya sangat istimewa, iaitu kerana kenal diri dan Tuhannya.


KITARAN SONGSANG

Sepanjang pemerhatian, didapati ramai tidak solat, baik remaja, dewasa dan warga emas yang berpunca daripada kepincangan didikan. Mungkin mereka ini tidak dipaksa didik oleh ibu bapa mereka.

Ibu bapa mereka dahulu pun mungkin turut tidak dipaksa didik oleh generasi sebelumnya. Orang yang tidak dipaksa didik untuk solat akan jadi orang dewasa yang tidak pula memaksa didik anak mereka.

Kitaran tidak paksa didik ini akan terus berhubung dan berantai merentas generasi.

Setelah melihat kecacatan kitaran paksa didik ini, barulah saya faham mengapa Nabi Ibrahim a.s. berdoa agar ibadat solat mendasari ke dalam jiwa keturunannya:

“Wahai Tuhanku! Jadikan daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenanlah doa permohonanku,” (Ibrahim 14:40).

Rasulullah SAW tahu benar solat yang konsisten sukar dilaksanakan jika tidak dilatih sejak kecil. Ini sebabnya Baginda menyuruh agar solat dipasak ke dalam jiwa anak-anak seawal usia tujuh tahun. Setelah usianya mencecah 10 tahun, lanjutan didikan solat itu perlu disulam dengan didik pukul (tanpa dera) agar tiang solat benar-benar bertapak kemas ke dalam jiwa mereka.

“Suruhlah anak-anakmu solat apabila usia mereka mencecah tujuh tahun (agar dia biasa melakukannya setelah dewasa) dan jika mereka enggan solat setelah usia mereka mencecah 10 tahun, pukullah mereka (dengan pukulan kasih sayang yang tidak menyakitkan). Juga asingkan juga tempat tidur antara mereka,” - Sunan Abu Dawud.

Jangan pula salah faham tentang maksud pukul dalam hadis ini. Ia cuma pukulan didik yang ringan seperti jentik bahu atau pulas telinga dan bukannya pukulan kasar yang meninggalkan parut fizikal atau emosi. Batas pukulan ini dijelaskan dalam sebuah hadis lain:

“Janganlah dipukul (seseorang itu) melebihi 10 sebatan, kecuali ketika melaksanakan satu hukuman yang ditetapkan Allah (seperti 80 sebat bagi penuduh tanpa bukti dan 100 sebat bagi penzina yang belum berkahwin),” - Sahih Bukhari.


DOA UNTUK SEMUA

Pernahkah kita terfikir mengapa kata ganti nama doa dalam ayat 6, Surah al-Fatihah yang menjadi Rukun Solat didatangkan Allah dengan lafaz jamak (plural) atau ramai?

Mengapa Allah sebut “tunjukkan kami jalan yang lurus” dan bukannya lafaz individu “tunjukkan aku jalan yang lurus”. Antara signifikannya ia adalah suatu ingatan agar kita turut mendoakan semua Muslim dilimpahi petunjuk daripada Allah dan antara petunjuk terbaik adalah kesedaran untuk mengiktiraf Allah sebagai Tuhan dengan melaksanakan rukun kedua Islam ini.

Selain itu, solat adalah warisan para nabi dan orang soleh. Jika kita telusuri dalam al-Quran, para nabi digambarkan Allah sebagai hamba yang bernafas dengan ‘oksigen’ solat:


  • Nabi Ibrahim (Ibrahim 14:37 & 40)

  • Nabi Musa (Taha 20:13])
  • Nabi Isa (Maryam 19:30-31)
  • Nabi Zakaria (Ali ‘Imran 3:39)

  • Maryam (Ali ‘Imran 3:43)

  • Nabi Syu’aib (Hud 11:87)

  • Nabi Ismail (Maryam 19:54)

  • Nabi Muhammad SAW (Taha 20:132)


ALAM INI ADA PEMILIKNYA!

Percayalah! Apabila Allah sudah hilang daripada jiwa manusia dalam kitaran lima waktu sehari, nafsu dan syaitan akan mengisi kekosongan itu:

“Kemudian mereka diganti oleh keturunan yang mencuaikan sembahyang dan menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),” (Maryam 19:59).

Jika orang yang kekal solat pun masih terdedah kepada dosa, bayangkan orang yang tak kenal solat? Orang yang solat adalah orang yang kenal Tuhan mereka.

Mereka sedar kekurangan dan kelemahan diri apabila melakukan dosa kerana mereka masih dalam kitaran penyembahan kepada Allah lima kali sehari. Lambat laun solatnya yang bergerak bersama nafasnya lima kali sehari akan membersihkan jiwanya sebagaimana firman Allah ini:

“Bacalah dan ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan,” (al-Ankabut 29:45).

Bagi orang yang tidak solat, tiada lagi peringatan harian yang boleh mengingatkannya betapa alam ini ada Tuhan, ada dosa pahala dan balasan akhirat.

Kesimpulannya, paksa didiklah diri dan anak keturunan kita untuk konsisten bersolat serta mengenal Allah! Jangan hanya solat sendiri, rangkumkan bersama anak keturunan agar kebahagiaan keluarga disuburkan dengan perlaksanaan arahan Allah:

“Dan perintahkanlah keluargamu dan umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa,” (Taha 20:132).