Gadis berusia 21 tahun dan ingin dikenali dengan nama Kyoko itu datang bersama ibunya dari Tokyo, kota metropolitan yang jaraknya lebih kurang 600 kilometer dari Kobe. Dia amat meminati Islam dan ingin membuktikan kepada ibunya bahawa Islam itu agama benar dan segala tohmahan orang ramai terhadap Islam selama ini adalah salah.

Perlu diakui, di Jepun, Islam popular dan sinonim dengan status pengganas. Namun jauh dalam sanubarinya, dia tahu bahawa keganasan bukanlah asas ajaran Islam yang sebenar. Kyoko penuh yakin bahawa seorang Muslim bukanlah seorang pengganas seperti yang digembar-gemburkan dalam media sosial.

Dia sedar mengenainya, tapi mungkin ibunya terpengaruh dengan tohmahan jahat itu, itulah antara tujuan membawa ibunya melawat Masjid Kobe, masjid tertua di Jepun, iaitu untuk membetulkan tanggapan salah berkenaan.

MENERANGKAN SEBELUM DITERANGKAN!

Apabila saya menyambut mereka, belum sempat diterangkan mengenai Islam, Kyoko terlebih dahulu menerangkan serba sedikit mengenai agama suci itu kepada ibunya. Terdetik dalam hati, hidayah telah singgah ke dalam hatinya. ‘Finishing’ atau tindakan penyudah perlu dibuat agar dia bertambah yakin, sekali gus memudahkannya memeluk Islam.

Seperti lazimnya, saya terangkan kehebatan dan keajaiban al-Quran yang menjadi mukjizat Nabi Muhammad SAW kepada mereka berdua. Kyoko amat teruja dan tekun mendengarnya. Nampak jelas perasaannya yang amat gembira kerana berpeluang buat pertama kalinya melihat dan memegang sendiri al-Quran terjemahan bahasa Jepun.

Dia sebelum ini amat ingin membaca al-Quran dan beberapa kali menyatakan hasrat kepada ibunya untuk membelinya tetapi malangnya tidak mengetahui di mana sepatutnya Kitab Suci itu diperoleh, sementelah lagi dianggapnya ia mungkin mahal. Maka hasratnya untuk memiliki al-Quran tidak pernah tercapai.

Selepas dijelaskan mengenai al-Quran, saya terangkan pula pengertian Islam dan Muslim. Wanita itu kemudiannya berpaling kepada ibunya sambil berkata: “Bukankah saya sudah katakan Islam itu agama yang benar dan tidak seperti apa yang tersebar.” Dia cuba membetulkan tanggapan salah ibunya terhadap Islam. Allahuakbar!

Gadis itu amat meminati Islam dan bercita-cita untuk pergi melihat sendiri negara Islam. Baginya, negara Islam adalah Turki dan untuk ke negara itu amat jauh serta memerlukan perbelanjaan besar. Lagipun dia tidak mempunyai kenalan atau kawan Muslim yang mahu bersamanya.

Kemudian saya bercerita mengenai Brunei dan Malaysia iaitu negara Islam yang paling hampir dengan Jepun dan mampu dilawati dengan harga jauh lebih murah daripada Turki. Dia amat gembira. Sesi perbincangan diteruskan, hakikat mengenai al-Quran, Allah dan Islam dilanjutkan pencerahannya. Alhamdulillah, mukanya berseri-seri mendengar.

Saya kemudiannya meminta izin untuk bergambar namun ibunya enggan, mungkin dia segan. Saya tanya, bolehkah dikongsikan gambar ini. Jawapan Kyoko amat optimis, “Kongsilah, biar semua orang tahu saya amat gembira hari ini.”

ANAK YANG DEGIL!

Pada penghujung perbualan, saya katakan kepada ibunya, “Anak puan amat meminati Islam, saya rasa tidak lama lagi dia akan memeluk Islam, bersedialah untuk menerima peristiwa gembira itu.”

Balas ibunya, “Dia memang anak yang tidak mendengar cakap, apa yang dia nak dia akan buat walaupun saya larang. Bagaimanapun agama adalah kebebasan peribadi, saya tiada hak untuk menghalangnya. Saya rasa dia akan kahwin dengan orang Islam nanti.”

Saya tersenyum sambil menyatakan dalam hati: “Apabila sudah Muslim, memanglah akan berkahwin dengan Muslim.”

PENGAJARAN

Apabila kita melihat seseorang meminati Islam, bermaksud hidayah daripada Allah telah singgah pada hatinya, maka jangan lepaskan peluang ini untuk memberikan sokongan kepada mereka kepada Islam Nomichi (Jalan ke arah Islam). Cubalah mudahkan mereka untuk memeluk Islam.

Saya baca dan kongsikan firman Allah SWT dalam Surah Az-Zumar, ayat 37, kepada Kyoko dan ibunya:

“Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan sebab pilihannya yang benar), maka tiada sesiapapun yang dapat menyesatkannya. Bukankah Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah)?”

Pada akhir perbualan, sambil menghulurkan al-Quran terjemahan bahasa Jepun kepada Kyoko, saya nyatakan bahawa ia diberi percuma kepada sesiapa yang memerlukan. Dia amat gembira dan begitu teruja.

Kepada yang membaca tulisan ini:

  • Doakan agar Kyoko menerima hidayah dan akhirnya memeluk Islam.
  • Doakan juga supaya kami yang berdakwah di sini diberi petunjuk, hidayah, kemudahan, kekuatan dan sentiasa dilindungi Alah untuk mengembangkan Islam di sini.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kerja-kerja dakwah di Jepun, boleh layari http://japanmuslimfoundation.org