Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kikis sifat meminta-minta

BERUSAHA adalah jauh lebih baik daripada sikap suka meminta-minta.
BERUSAHA adalah jauh lebih baik daripada sikap suka meminta-minta. GAMBAR HIASAN

“WAHAI Rasulullah SAW, berikan aku zakat,” pinta seorang pemuda Ansar.

Nabi bersabda kepadanya: “Apakah kamu punyai sesuatu di rumahmu?”

“Ya. Sehelai kain yang dipakai dan yang satu lagi dibuat lapik untuk duduk dan tidur. Juga kami punya sebuah gelas yang digunakan untuk minum,” jawab pemuda Ansar itu.

“Pulanglah kamu ke rumah. Bawa semua barang itu ke mari!” Arah Baginda.

Tatkala kedua-dua kain dan gelas itu dibawa, Nabi mengambilnya dan bertanya:

“Siapakah dalam kalangan kalian yang mahu membeli barangan ini?”

“Aku akan mengambilnya dengan harga satu dirham,” jawab seorang sahabat.

“Siapakah yang mahu membayar lebih daripada itu?” Nabi membuat tawaran. Diulangi sebanyak dua atau tiga kali.

“Aku akan mengambilnya dengan nilai dua dirham!” jawab seorang sahabat.

Lantas nilai dua dirham itu diambil dan Baginda Nabi memberi kesemuanya kepada lelaki Ansar itu dengan berpesan: “Nah! Gunakan satu dirham ini dan berikan makanan buat keluargamu. Selebihnya belikan sebilah kapak dan berikan kepadaku.”

Setelah beberapa ketika, pemuda Ansar itu datang dengan membawa sebilah kapak. Nabi mengambilnya dan mengikat sendiri kapak itu pada sebatang kayu.

“Pergilah kamu mencari kayu api dengan kapak ini. Aku tidak mahu melihatmu selama tempoh 15 hari!” arah Nabi.

Lelaki Ansar itu beredar. Menuruti segala pesan dan arahan Nabi yang mulia. Akhirnya, beliau kembali bertemu Nabi dengan poketnya terdapat 10 dirham.

Dengan wang itu dibelinya pakaian dan makanan.

Rasulullah lantas bersabda memberi pengajaran:

“Ini adalah lebih baik bagi dirimu daripada sikap suka meminta-minta. Perbuatan itu akan menyebabkan kesan hitam pada wajahmu di akhirat kelak. Sesungguhnya meminta-minta itu tidak harus kecuali oleh seorang yang amat fakir, punyai hutang terlalu banyak lantas kesempitan membayarnya serta seseorang yang menanggung (diyat) saudaranya sedangkan dia sendiri tidak berkemampuan.” - Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Bukhari dengan jalur periwayatan dan lafaz berbeza.

KAPAK HIKMAT

Dalam dunia dongengan, barangkali kapak yang digunakan pemuda itu tadi akan dikenali sebagai ‘kapak hikmat’. Namun ini bukanlah sebuah dongeng kerana Rasulullah adalah insan berwahyu dan tidak berkata-kata mengikut hawa nafsu.

Ini adalah satu motivasi dan inspirasi Nabawi yang bernilai tinggi. Hikmat atau kesaktiannya bukanlah daripada kapak yang dipasang oleh Baginda, tetapi ‘hikmat’ dan keajaiban sebenarnya adalah pada hasil usaha, kerajinan, kesungguhan, daya kerja dan sikap positif pemuda Ansar tersebut.

Walaupun boleh sahaja memberi bantuan secara langsung kepada pemuda Ansar itu kerana Nabi merupakan pemerintah ketika itu, tetapi Baginda menggunakan kaedah ‘bantuan’ yang lebih bermakna dan berkesan.

Tambahan daripada itu, sikap pemuda Ansar itu yang positif, mendengar arahan Baginda tanpa memberi alasan, rungutan dan bebelan.

Menuruti setiap perancangan dan arahan Nabi dan terbukti selepas 15 hari, modal yang bermula dengan hanya satu dirham telah menjadi 10 dirham.

Bayangkan jika berlaku sebaliknya. Nabi terus memberikan bantuan makanan misalnya, berkemungkinan bukan 15 hari, tetapi dua atau tiga hari selepas itu, pemuda Ansar itu pasti akan datang meminta lagi.

NIKMAT YANG HILANG

Inilah nikmat yang hilang daripada peradaban masyarakat hari ini. Kegagalan pembinaan jati diri asnaf, sikap malas berusaha, banyak beralasan dan cerewet adalah sikap yang membunuh kemajuan serta kejayaan.

Perancangan dan arahan yang diabaikan, membuat tindakan yang merugikan adalah resepi kemusnahan yang sengaja diadun dek sikap negatif pada diri.

Yakinlah, apa jua nikmat, jika disalah guna pasti akan membawa bencana.

Paling menakutkan jika bencana itu datang dalam bentuk istidraj sehingga menyebabkan lemas dalam timbunan nikmat yang membawa kita semakin jauh daripada Tuhan.

Mekanisme zakat, sedekah dan seumpamanya hanya akan berjaya jika semua pihak sama ada pemberi, menguruskan, mengagihkan dan paling utama pihak yang menerima bersikap amanah dan penuh kejujuran.

Inilah hikmat sebenar yang perlu diperkasa.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain