Ilmu seolah-olah dipelajari bukan untuk amalan sebaliknya sebagai sandaran berdebat atau menunjuk kepakaran masing-masing. Ini bukan sahaja mengelirukan umat Islam ‘atas pagar’ yang ingin mendekati agama sebaliknya menjadi antara faktor terjebak dengan pengaruh ekstrem Daesh.

Hari ini menerusi Internet, media sosial, akhbar dan media massa berlaku perbalahan dalam kalangan golongan agama. Ramai lebih suka memperbesarkan perkara kecil manakala isu besar diperkecilkan seperti perbezaan pandangan dalam isu mazhab. Perkara ini sebenarnya telah dibincangkan oleh ulama silam sejak dahulu, tetapi ini yang menjadi topik perbalahan sesama sendiri sehingga ke hari ini.

Imam Shafie pernah menyatakan bahawa, “Pendapat mazhab kita betul (pada pandangan kita), tetapi ada kemungkinan salah. Pendapat mazhab lain salah (pada pandangan kita), tetapi ada kemungkinan betul. Sebab itulah para ulama berpendapat ijtihad yang betul mendapat dua pahala dan ijtihad yang salah mendapat satu pahala.”

Manakala Imam Malik juga pernah berkata, “Kata-kata manusia semuanya mungkin boleh diterima atau ditolak, melainkan kata-kata Rasulullah SAW (wajib diterima).”

Rasulullah SAW ada menyatakan realiti perbezaan pendapat ini akan berlaku. Sabda baginda, “Perbezaan pendapat (dalam kalangan) umatku adalah rahmat.” - Riwayat Baihaqi.

ADAB MERAIKAN PERBEZAAN PANDANGAN

Terdapat beberapa isu sejak zaman sahabat dan tabi’in, para ulama bersetuju untuk berbeza pandangan dengan meraikan adab-adab perbezaan pendapat. Mereka merupakan individu terdiri daripada ulama hebat dan muktabar yang menghabiskan seluruh kehidupan mereka menuntut ilmu berbanding kita hari ini terlalu sibuk dengan pelbagai urusan kehidupan.

Ulama sehebat mereka hampir tiada lagi sekarang. Sekiranya pada zaman mereka dan diikuti ribuan ulama selepasnya juga masih gagal mencari satu pendapat yang disepakati, maka sewajarnya berpuas hati bahawa pada zaman ini juga kita tidak mampu melakukannya.

Oleh itu, jika perlu juga berdebat, ia hanya membuang masa kerana perkara itu merupakan isu khilafiyah atau ijtihadiyah. Maka, tidak hairan terdapat beberapa mazhab dan aliran dalam Islam. Dalam perbahasan ilmu fikah terdapat empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali, selain beberapa mazhab kecil lain. Sirah merakamkan umat Islam sejak zaman baginda SAW lagi berbeza pendapat.

Firman Allah SWT: “Dan berpeganglah kamu semua dengan tali (agama) Allah dan jangan berpecah belah….,” (Surah Ali Imran : 103).

Berdebat tidaklah dilarang dalam Islam, jika terdapat keperluan. Namun perlu dilakukan dengan penuh hikmah sebagaimana firman Allah SWT: “Ajaklah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dengan nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik,” (Surah al-Nahl : 125).

Sabda baginda SAW: “Aku menjamin sebuah rumah di pinggiran syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan sekalipun ia benar dan sebuah rumah di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta dan sebuah rumah di puncak syurga bagi orang yang memperelokkan akhlaknya,” - Riwayat Abu Dawud.

ADAB BERDEBAT

Pematuhan adab menjadikan perbezaan pendapat sesuatu yang benar, melanggarnya boleh membawa kepada sesuatu yang batil dan sia-sia.

1 Matlamatnya perlu jelas untuk mencari kebenaran, bukannya kemenangan.

2 Bukan untuk menunjukkan kehebatan, penguasaan ilmu, kepetahan berhujah, mematikan hujah lawan.

3 Mungkin berada di pihak yang salah, tetapi akan cuba mempertahankan dan tidak menerima kekalahan walau jelas serta nyata hujah pihak lain benar.

4 Berdebat mencari kebenaran kerana Allah SWT dan bukan kerana ego atau riyak.

5 Apabila merasakan pihak yang berdebat mula tidak dapat mengawal diri, menjadi semakin beremosi, sebaiknya dihentikan kerana ia sudah lari daripada matlamat sebenar.

6 Perlu fokus kepada isu sebenar, memahami fiqh aulawiyyat iaitu keutamaan berbanding isu remeh.