Konsep Islam sejagat ini telah difahami, diterima dan diamalkan oleh jutaan umat manusia yang memilih Islam sebagai pegangan hidup mereka. Sehinggakan seni dan budaya yang lahir dalam masyarakat Islam turut dikenali sebagai seni serta budaya Islam.

Walaupun berlatar belakang dan geografi berbeza, setiap wilayah Islam mampu memperlihat serta menyumbang kepada kekayaan warisan seni Islam sama ada dari segi rupa, bentuk dan nilai estetika yang unik bawah teras agama Islam.

Faktor ini menjadikan Islam agama yang indah dan sesuai dengan kehidupan manusia. Namun begitu, konsep Islam sejagat yang luas dan dihiasi dengan pelbagai keindahan ini semakin mengecil dari hari demi hari pada zaman ini.

Seni dan budaya Islam hari ini terutama di Malaysia dilihat lebih menjurus kepada penyeragaman mengikut acuan masyarakat Timur Tengah yang dianggap sebagai acuan Islam sebenar.

Penyeragaman seni dan budaya Islam kepada sesuatu wilayah adalah bertentangan dengan konsep kesejagatan Islam yang mengalu-alukan kepelbagaian berteraskan ajaran Islam. Seni Islam dan seni Arab adalah dua aspek yang berbeza. Kesenian masyarakat Arab merupakan satu daripada seni Islam yang luas.

PENCIPTAAN BERSESUAIAN PERSEKITARAN

Allah SWT melengkapkan kejadian sesebuah masyarakat itu dengan kreativiti dan keperluan bersesuaian dengan persekitaran yang diciptakan untuk mereka.

Sebagai contoh, Allah menjadikan bumi ini mempunyai pelbagai jenis iklim seperti panas dan kering, sejuk, empat musim, hujan atau lembab dengan keperluan pakaian berbeza.

Dalam perkara ini, Islam menggariskan asas berpakaian bagi kaum lelaki dan wanita dengan menyatakan bahagian mana perlu ditutup tetapi tidak menetapkan keseragaman potongan dan warna pakaian mesti dipakai.

Begitu juga dalam bidang seni bina, Allah menjadikan bahan-bahan semula jadi sesuai dengan persekitaran di sesebuah tempat. Antaranya kayu-kayan berkualiti di alam Melayu yang sesuai digunakan sebagai bahan binaan bersifat mesra alam.

Penggunaan bahan yang tidak bersesuaian secara meluas akan mengakibatkan rantaian masalah dan pembaziran.

Ramai daripada masyarakat di negara kita masih lagi keliru dengan istilah seni Islam dengan menganggap seni Islam adalah seni serta budaya masyarakat Timur Tengah atau Arab.

Ini akan menyebabkan seni dan budaya tempatan semakin dilupakan, sekali gus pupus. Manakala dalam skala lebih besar, tiada pertambahan dan kreativiti baru dalam bidang seni Islam.

Jika ini berterusan, bidang kesenian Islam akan menjadi satu bidang yang kaku dan seragam di mana semua umat Islam akan mempunyai gaya hidup sama seperti masyarakat Arab di Timur Tengah.

Apabila ini terjadi maka keindahan sifat kesejagatan Islam juga akan turut terjejas.

Seni Islam adalah seni yang luas dan perlu berkembang serta diperkayakan dengan kreativiti atau inovasi baru bertunjangkan ajaran Islam oleh setiap generasi supaya tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.