Berkongsi peringatan itu, pendakwah antarabangsa, Syeikh Ahmad Ali berkata, umat Islam seharusnya menilai kembali penciptaan manusia berbanding makhluk lain termasuk semua yang terdapat dalam alam semesta apabila timbul perasaan negatif tersebut.

SYEIKH AHMAD ALI
SYEIKH AHMAD ALI

Ini kerana, pendakwah kelahiran Kashmir, Pakistan itu berkata, realiti yang berlaku, manusia sering terpedaya dengan nikmat dunia sehingga merasakan diri hebat dan sombong sesama makhluk, sedangkan hakikatnya tidak memberi sebarang makna di sisi Allah.

“Ramai manusia sering terpesona dengan kemewahan dan kelebihan di dunia. Benar, bumi ini adalah sebuah tempat yang indah, oleh itu ramai manusia berusaha mengejarnya. Selain kita, terdapat lebih enam bilion penduduk dunia lain menetap di seluruh pelosok dunia pada masa ini, namun rezeki Allah tidak pernah putus-putus diturunkan.

“Bagaimanapun, jika kita menganggap dunia dan segala isinya sungguh besar dan menakjubkan, cuba bayangkan bagaimana pula dengan penciptaan Allah yang lain di alam semesta. Bumi yang kecil ini, pastinya tidak terbanding dengan apa yang ada di langit,” katanya dalam satu ceramah umum dianjurkan.

Mengambil contoh matahari, Syeikh Ahmad berkata, perbandingan nisbah saiz bumi berbanding satu daripada ratusan bilion bintang di langit itu adalah sekurang-kurangnya memerlukan 100 bumi.

“Jika kita merasakan nikmat diperoleh di dunia ini sudah terlalu mewah, cuba bandingkan pula dengan luas dan besarnya matahari. Bayangkan, matahari hanyalah satu daripada jutaan bintang yang terdapat pada setiap galaksi, sedangkan terdapat berbilion galaksi di alam semesta.

“Ketika kita mendongak ke langit, apa yang kita dapat perhatikan adalah jutaan bintang di langit. Tahukah kita, apa yang dapat kita lihat dengan mata kasar itu hanya langit pertama, sedangkan Allah menciptakan sebanyak tujuh lapisan langit.

“Ini sama sekali kita tidak pernah ketahui. Bayangkan, kerdilnya manusia, siapa kita untuk bersifat sombong dengan sesama manusia sedangkan hakikatnya kelebihan itu langsung tiada erti di sisi Allah,” jelasnya.

Mendapat pendidikan agama Islam sejak kecil, Syeikh Ahmad berjaya menghafal al-Quran sepenuhnya pada usia 14 tahun.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Darul Uloom al-Arabiya al-Islamiyah, Bury, England sebelum mendalami ilmu Islam di Jamiiyah al-Islamiyah, Madinah dan seterusnya di Universiti al-Azhar, Mesir.

Tambah Syeikh Ahmad, jarak antara langit pertama dengan langit kedua adalah dianggarkan sejauh 500 tahun kelajuan cahaya.

“Bayangkan kita memerlukan 500 tahun untuk sampai dari langit pertama ke langit kedua, begitu juga mengambil masa 500 tahun lagi untuk sampai ke langit ketiga, dan seterusnya sehingga langit ke tujuh.

“Tidak habis di situ, selepas langit ketujuh, maka di situlah terletaknya Kursi Allah. Kita semua tahu mengenai ayat Kursi yang menceritakan Kursi dan Arasy Allah. Walaupun besarnya langit itu sehingga mencapai tujuh lapisan, ketahuilah ia tidak terbanding dengan luasnya Kursi Allah.

“Cuba kita ambil sebutir cincin daripada jari, kemudian lepaskannya di tengah-tengah gurun padang pasir, katakanlah di Gurun Sahara, gurun terbesar di dunia. Cuba perhatikan berapa besar perbandingan cincin itu dengan gurun Sahara itu. Pastinya cincin itu terlalu kecil dan seperti tidak ternilai,” ujarnya.

Justeru, begitulah perumpamaan bagi ke tujuh-tujuh langit itu adalah seumpama cincin, manakala Gurun Sahara pula diumpamakan seperti Kursi Allah.

“Begitu juga, jika dibandingkan cincin itu adalah Kursi, manakala gurun yang luas itu adalah Arasy Allah. Dengan ini kamu telah mengetahui betapa hebat dan besarnya Kursi serta Arasy Allah berbanding manusia yang tiada nilai,” katanya.