Tindak balas dunia terhadap pengganas nombor satu dunia itu hanyalah bantahan, demonstrasi dan boikot di sekitar Eropah, Asia termasuk di Malaysia, iaitu tindak balas dan respons yang boleh dijangkakan, malah impaknya juga boleh diketahui selepas itu, senyap sehinggalah tercetus lagi keganasan dan pembunuhan ke atas rakyat Palestin.

Itulah realiti yang berlaku apabila melibatkan isu Palestin dan Zionis Yahudi. Apa lagi yang boleh dilakukan dan diharapkan seperti mana di dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini bahawa dunia dan umat Islam hari ini begitu lemah lantaran sikap yang ada pada diri mereka sendiri sehingga Israel terus bermaharajalela.

APAKAH GRM?

The Great Return March bermaksud kepulangan besar-besaran rakyat Palestin ke tanah air asal mereka secara damai bertujuan untuk menuntut dikembalikan tanah-tanah mereka yang dirampas hampir 70 tahun lalu. Ribuan rakyat Palestin berarak di perbatasan Gaza-Israel bermula 30 Mac dan berlangsung selama 46 hari sehingga 15 Mei 2018, bertepatan dengan peringatan Hari An-Nakba atau Hari Malapetaka yang memperlihat kira-kira 750,000 warga Palestin dihalau dari rumah dan tanah air mereka seterusnya menyaksikan pembentukan negara haram Yahudi-Israel di tanah Palestin pada 1948.

Ia juga bertujuan untuk memperingati Hari Tanah Air (Land Day) iaitu kejadian pada 30 Mac 1976 apabila enam rakyat Palestin yang tidak berdosa dibunuh kejam askar rejim Zionis Yahudi. GRM adalah perarakan simbolik bagi menunjukkan keazaman rakyat Palestin kepada dunia tentang tuntutan hak tanah air mereka yang dirampas oleh Zionis Yahudi Israel selaras dengan Resolusi 194 Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka.

TUMPAHNYA DARAH RAKYAT PALESTIN

Sejak berlangsungnya GRM, puluhan ribu rakyat Palestin tanpa mengira latar belakang usia termasuk kanak-kanak, dewasa, warga emas, lelaki dan wanita, malah mereka yang kurang upaya telah mengambil bahagian secara aman sambil membawa dan mengibarkan bendera Palestin tanpa sedikit pun rasa gentar serta takut.

Sememangnya semangat, keberanian dan tingkah laku rakyat Palestin dalam perjuangan mereka selama ini sangat dibimbangi dan digeruni Israel.

Rakyat Palestin bukannya tidak menyedari bahaya yang menanti mereka di hadapan lantaran sudah ribuan nyawa ahli keluarga, sahabat handai dan pejuang Palestin yang melayang, cedera dan ada terus terperosok dalam penjara-penjara Israel sejak 70 tahun perjuangan mereka.

Seperti kelaziman, Israel yang pengecut menempatkan bala tenteranya termasuk pasukan penembak tepat atau ‘snipers’ bagi melawan rakyat Palestin yang tidak bersenjata. Bukan itu sahaja mereka menggunakan peluru-peluru luar biasa untuk mencedera, menyeksa dan akhirnya membunuh rakyat Palestin.

Peluru-peluru ini mendatangkan kecederaan amat parah sehingga seolah-olah sebuah bom yang menggerudi bahagian dalam setiap inci tubuh mangsa yang ditembak menyebabkan mereka menderita, dipotong kaki dan tangan serta akhirnya mati. Angka tidak rasmi sehingga rencana ini ditulis lebih 30 orang rakyat Palestin terkorban, sementara hampir 3,000 orang cedera. Antara yang terkorban termasuk petugas media yang membuat liputan.