Dalam kata lain, mengapa seseorang syeikh yang tidak cukup syarat akan menjadi asas kepada berlakunya penyelewengan dalam sesebuah tarekat yang dipimpin oleh syeikh berkenaan? Sebenarnya persoalan ini berkait langsung dengan paling kurang dua perkara berikut:

  • Fungsi syeikh sebagai pembimbing kerohanian murid.
  • Fungsi murid yang mesti taat terhadap arahan dan suruhan syeikh.

Dalam menyempurnakan kedua-dua fungsi itu, seseorang syeikh mesti cukup dan sempurna syarat-syarat sebagai seorang syeikh. Jika tidak, syeikh itu sedang melakukan satu jenayah besar terhadap institusi tarekat tasawuf itu sendiri pada satu pihak, dan kepada murid yang datang dengan penuh ikhlas untuk dibimbing oleh syeikh berkenaan pada pihak yang lain. Demikianlah besar dan pentingnya syarat menjadi syeikh dalam sesebuah tarekat tasawuf.

PEMBIMBING KEROHANIAN

Dalam konteks sebagai pembimbing kerohanian, maka syarat syeikh yang mesti mempunyai ilmu pengetahuan, iaitu alim, khususnya tentang isi kandungan kitab al-Quran, hadis, ilmu fikah dan akidah adalah berkait langsung dengan proses bimbingan dan mentarbiahkan muridnya.

Sebagai contoh, renungkan dengan teliti betapa perlunya seseorang syeikh memiliki pengetahuan yang jelas mengenai isi kandungan al-Quran dan sunah apabila berhadapan dengan persoalan-persoalan sebagaimana digambarkan oleh:

1. Al-Shaykh Abu al-Hasan al-Shadhili, pengasas Tarekat al-Shadhiliyyah:

“Apabila kasyaf (penyingkapan rahsia alam ghaib melalui pandangan mata hati) yang engkau peroleh bertentangan dengan al-Quran dan sunah, maka hendaklah engkau berpegang kepada al-Quran dan sunah dan tinggalkan kasyaf tersebut.

“Dan katakan kepada diri engkau bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menjamin kepadaku kemaksuman kandungan al-Quran dan sunah, tetapi tidak begitu halnya dengan kandungan kasyaf, ilham dan mushahadah, melainkan setelah semua itu dipadankan dengan semangat kandungan al-Quran dan sunah lalu didapati tidak bertentangan dengan semangat isi kandungan kedua-dua sumber berautoriti tersebut.”

2. Seorang tokoh sufi, Sahl ‘Abd Allah al-Tustari bahawa setiap pengalaman wajd yang tidak disaksikan kebenarannya oleh al-Quran dan sunah adalah terbatal.

Pengalaman-pengalaman seperti kasyaf, ilham, wajd dan mushahadah adalah antara perkara yang kerap mendatangi diri dalam kalangan orang yang terlibat dalam kehidupan bertasawuf.

Persoalannya, bagaimanakah seseorang syeikh yang mengalami secara peribadi pengalaman-pengalaman seumpama di atas, atau yang terpaksa menyelesaikan masalah diadukan oleh muridnya yang mengalami perkara tersebut, dapat memberikan jawapan dan seterusnya membuat kesimpulan sama ada ia bertentangan atau sebaliknya dengan roh isi kandungan al-Quran dan sunah.

Bagaimana untuk seorang syeikh menjawabnya dengan tepat jika dia sendiri tidak memiliki pengetahuan mencukupi berhubung dengan kandungan al-Quran dan sunah? Pengetahuan itu amat penting, jika sebaliknya ia akan memudahkan syeikh dan muridnya terjerumus ke lembah penyelewengan.

ADAB SEBAGAI MURID

Perlu difahami bahawa seseorang murid semestinya mentaati suruhan dan arahan guru sehingga ke tahap seorang murid di hadapan syeikh bagaikan sekujur mayat di hadapan pemandi mayat yang membolehkannya melakukan apa sahaja terhadap mayat tersebut untuk tujuan pembersihan.

Perkara ini perlu difahami dalam perspektif yang betul, di mana keperluan ketaatan murid itu adalah untuk memudahkan proses pembersihan jiwanya bawah bimbingan seseorang syeikh.

Justeru, institusi tarekat tasawuf mengenakan syarat yang amat ketat kepada seseorang syeikh untuk membolehkannya menjadi syeikh. Malah dengan syarat-syarat itu sebenarnya telah menyempitkan kuasa yang diberikan kepada syeikh dalam hubungan dengan muridnya.

Dengan itu, ditegaskan bahawa seseorang syeikh tidak boleh bertindak sesuka hati terhadap murid yang berada bawah bimbingannya, kerana dia mesti menghayati dengan tepat segala syarat seorang syeikh. Jadi, seseorang murid bawah bimbingan seseorang syeikh yang cukup syarat sebenarnya telah berada dalam keadaan selamat.

Sebagai contoh dalam konteks fungsi murid yang perlu taat kepada syeikh, ia boleh dirujuk kepada syarat-syarat perlunya seseorang syeikh itu memiliki sifat-sifat zuhud, adil, takwa, suka menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Sebenarnya tanpa sifat-sifat mulia tersebut atau syarat-syarat khusus berkenaan, seseorang syeikh itu amat sukar untuk berperanan dengan sempurna dalam kerja pendidikan dan bimbingan.

Sementelah institusi tarekat tasawuf mensyaratkan para murid agar mentaati syeikh tanpa syarat dan menyerahkan segala apa yang ada pada dirinya untuk dididik serta dibimbing oleh syeikh terbabit.

Kuasa syeikh yang diberikan oleh institusi ini dalam urusan pentadbiran diri dan masa depan para murid adalah amat luas sekali. Dan tentunya syeikh ini akan terdedah luas dan mudah terperangkap kepada desakan serta kemahuan hawa nafsunya jika tidak memiliki syarat-syarat yang disebutkan di atas.

ELEMEN AJARAN SESAT

Kes-kes yang kerap terjadi dalam lingkungan apa yang diistilahkan sebagai ajaran sesat di Malaysia, yang mana guru memperalat murid, termasuk dalam hal berhubung dengan kepuasan seks, sebenarnya berpunca daripada kesilapan memilih syeikh atau guru yang tidak cukup syarat.

Oleh itu, golongan sufi memberikan perhatian serius terhadap syarat-syarat syeikh dan mereka menyenaraikan syarat-syarat tersebut demi keselamatan umat Islam.

Hal ini dijelaskan oleh al-Ghazali dengan mengatakan bahawa bagi seseorang syeikh mursyid itu banyak tanda dan syarat yang mesti dimilikinya:

  • “Dan kami menjelaskan kepada engkau secara ringkas supaya tidaklah boleh sebarang orang mengaku dirinya sebagai syeikh mursyid secara sewenang-wenangnya. Dan kejayaan seumpama ini (hasil pimpinan mursyid sejati) adalah amat jarang, khususnya pada zaman ini (pada zaman al-Ghazali).”
  • “Sesungguhnya ramai orang yang mengaku diri mereka sebagai mursyid sedangkan mereka pada hakikatnya mengajak manusia ke arah kelalaian dan kekosongan semata-mata. Malah kebanyakan golongan mulhidin (menyeleweng daripada ajaran Islam) itu pun mengaku sebagai mursyid juga, sedang tindak tanduk mereka bertentangan dengan syariat secara terang-terang.”