Syariat Islam meletakkan piawaian tinggi dalam menentukan sesuatu makanan atau minuman itu sama ada halal atau haram.

Garis panduan ditetapkan itu penting kerana ia akan mempengaruhi kehidupan umat Islam. Ia mencakupi objektif kerohanian yang luas dan mencerminkan keluhuran budi serta akhlak umat Islam.

Ini kerana bagi seorang Muslim, makan bukan sekadar untuk menyihatkan tubuh dan fikiran tetapi sebagai satu ibadah kepada Penciptanya dan memastikan berupaya melaksanakan suruhan serta meninggalkan tegahan agama.

Sesuatu makanan dikatakan halal jika ia tidak memudaratkan fungsi fizikal dan rohani manusia. Ia mesti bebas daripada najis atau sumber haram menurut hukum syarak.

Dalam Surah al-Baqarah, ayat 168 Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, makanlah daripada makanan yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat atas bumi..”

 

PIAWAIAN TINGGI DITETAPKAN ISLAM

Piawaian digunakan al-Quran untuk pemakanan ialah ‘halal lagi baik’ atau dalam bahasa Arab ‘halalan toyyiban’.

Konsep ini perlu difahami oleh umat Islam kerana halal sahaja tidak mencukupi tetapi ia perlu terdiri daripada makanan yang baik dan tidak memudaratkan.

Kesempurnaan ibadah banyak bergantung kepada kesucian makanan yang dimakan kerana jika darah daging itu suci maka ia akan menghasilkan ibadah terbaik dan diterima Allah.

Doa umat Islam juga banyak bergantung kepada jenis makanan yang dimakan oleh seseorang itu. Jika daripada benda-benda tidak halal atau tidak baik, maka sudah tentu Allah tidak akan memakbulkan doa mereka.

Apatah lagi anak-anak yang disuap dengan makanan diragui sumbernya, maka anak tersebut akan bersifat memberontak dan tidak menghormati ibu bapa yang memberi suapan tidak halal itu.

Maka bakal lahirlah nanti generasi yang jauh hatinya daripada agama dan institusi keluarga Islam akan punah.

Dalam konteks kesucian makanan, orang Islam perlu prihatin dan tidak mengambil mudah mengenainya.

 

IHSAN TERHADAP HAIWAN

Umpamanya binatang yang disembelih mengikut hukum syarak sudah semestinya dianggap halal dimakan.

Sebenarnya kita perlu peka juga tentang cara haiwan itu diternak seperti makanan yang diberikan, kaedah pemeliharaan malah kaedah menyembelih pun hendaklah dilaksanakan dengan penuh penghormatan.

Kezaliman tidak boleh dilakukan walaupun ke atas haiwan yang pada suatu ketika kelak akan disembelih sebagai makanan manusia.

Penyembelihan cara Islam terbukti dapat mengurangkan kesakitan yang dihadapi haiwan tersebut dan dalam proses tersebut darah akan dapat dikeluarkan dari dalam badannya. Kajian sains membuktikan kebenaran fakta ini.

Penyembelihan mengikut hukum syarak ini akan dapat mengelakkan pembekuan darah yang kemudiannya akan dimakan oleh manusia.

Di samping darah adalah najis bagi umat Islam, memakannya juga akan memudaratkan dari segi kesihatan.

Inilah hikmah kenapa umat Islam tidak dibenarkan memakan darah dengan mengikut kaedah penyembelihan yang disarankan dalam Islam.

Oleh hal yang demikian, makanan halal mestilah diambil daripada produk yang halal termasuk ramuannya.

Ia tidak boleh dicampur dengan bahan-bahan haram ataupun syubhah yang akan menjadikan ramuan itu juga haram. Manakala haiwan yang halal dimakan mestilah disembelih mengikut hukum syarak dan kaedah-kaedah ditetapkan dalam Islam.

 

MANIFESTASI PENYUCIAN

Larangan memakan makanan haram adalah antara cara Islam mengajar umatnya mengamalkan kebersihan dan penyucian fizikal serta rohani. Bagi menyemai sifat-sifat dan budi pekerti mulia, Islam menekankan penyucian diri. Penyucian diri ini boleh dilakukan melalui solat, doa dan ibadat-ibadat khusus yang lain.

Namun ibadat ini tidak akan kesampaian sekiranya makanan yang menjadi darah daging kita itu tidak suci.

Natijahnya solat dan segala ibadat yang kita lakukan tidak diterima oleh Allah, maka bakal gagal matlamat ibadat tersebut untuk membentuk sikap dan peribadi yang luhur di samping meningkatkan ketakwaan.