Namun begitu, terdapat beberapa sarjana Barat menggunakan dapatan daripada kajian arkeologi apabila membincangkan tentang pemerintahan dinasti Islam terawal di Iraq dan Mesir.

Di Malaysia, kaitan antara arkeologi, sejarah dan budaya Islam masih lagi asing dalam masyarakat awam.

Di negara ini, arkeologi sangat sinonim dengan kawasan Lembah Bujang, prasejarah dan serpihan tembikar. Hakikatnya, arkeologi merupakan satu bidang ilmu yang sangat luas dan banyak membantu para pengkaji lain mendalami tentang gaya hidup, interaksi sosial, seni bina, pertahanan, perdagangan darat, sungai dan maritim.

KEPENTINGAN KEPADA NUSANTARA

Wilayah Nusantara atau alam Melayu merupakan satu kawasan yang sangat istimewa dan mendapat perhatian ramai, baik untuk tujuan perdagangan, migrasi mahupun peluasan kuasa. Ia juga berperanan menjadi kawasan yang menjadi titik pertembungan agama dan kepercayaan bagi masyarakat setempat.

Dalam mendalami sejarah dan budaya Islam tempatan di alam Melayu, arkeologi banyak menyumbangkan maklumat berharga dari segi penemuan bukti fizikal seperti kawasan penempatan, kawasan perdagangan yang menjadi asas pembinaan masyarakat dan tamadun tempatan sejak zaman sebelum dan semasa kedatangan Islam serta kelangsungan Islam di alam Melayu sebagai satu agama yang penting.

Maklumat tentang sejarah dan budaya Islam di alam Melayu tidak akan lengkap bagi sesebuah kajian tanpa memahami susur galur masyarakat dan tamadun yang dibina sebelum kedatangan Islam. Ini semua menjadi faktor penting dalam penambahbaikan sistem sosial masyarakat di Nusantara.

Arkeologi bukan terhad di daratan sahaja, malah arkeologi maritim yang sedang berkembang di negara ini turut menyumbang maklumat tentang perdagangan maritim dari segi jumpaan artifak dasar laut, sekali gus menjadi bukti wujudnya aktiviti perdagangan sewaktu pemerintahan kerajaan Islam Nusantara.

Khazanah tinggalan zaman lampau yang ditemui seperti kawasan penempatan, makam, kubu, serpihan artifak seperti mata wang, tembikar, manik, barangan perhiasan dan sebagainya memberikan maklumat asas kepada pengkaji bidang ilmu lain meneruskan kajian yang diperlukan.

HARGAI PENGORBANAN MEREKA

Pengorbanan ahli arkeologi Malaysia sejak dari dahulu sehingga ke hari ini yang bergelumang dengan kotoran dalam kerja ekskavasi, berpanas dan berhujan bagi memastikan kesahihan sesuatu maklumat serta berenang merentasi arus sungai dan laut bagi mendapatkan bukti-bukti fizikal, harus diketahui serta dihargai oleh masyarakat tempatan.

Walaupun tidak berkait secara langsung dengan sains dan teknologi, namun ia merupakan bidang yang sangat rapat dengan sains dan teknologi dalam menjayakan kerja ekskavasi seperti mengenal pasti kawasan serta membina semula gambaran jumpaan yang ditemui bagi memudahkan masyarakat awam memahaminya.

Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAAM) adalah satu platform penting hasil gabungan dan kerjasama ahli arkeologi Malaysia berkongsi kepakaran dan ilmu dari pelbagai universiti tersohor di negara ini.

Antaranya seperti Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya, Jabatan Warisan, Jabatan Muzium Malaysia dan Muzium Negeri bagi tujuan pemantapan maklumat berkaitan sejarah dan budaya tempatan amnya serta Islam khususnya.

Bidang ini perlu diberi perhatian, dibantu dan terus dilapiskan dengan generasi baharu supaya lebih banyak maklumat tentang alam Melayu dapat dibuktikan, dikongsikan dan dimanfaatkan demi kelangsungan serta perkembangan maklumat khazanah lampau di negara ini sama ada ia warisan ketara mahupun tidak ketara.