Sebagai sebuah negara yang mengamalkan perundangan dwisistem, maka takrifan kanak-kanak Islam juga penting. Dalam Islam, kanak-kanak ditakrif sebagai seseorang yang belum mencapai baligh.

Apakah yang dimaksudkan sebagai baligh?

* Bagi kanak-kanak lelaki, baligh bermakna ia belum bermimpi dan belum mengeluarkan air mani

* Bagi perempuan, apabila ia belum mendapat haid.

* Jika tiada tanda-tanda ini, maka umur maksimum yang diterima oleh beberapa ulama adalah 18 tahun.

Oleh sebab itu dalam enakmen undang-undang keluarga Islam, umur untuk perkahwinan adalah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan. Dalam beberapa enakmen jenayah syariah, umur kanak-kanak juga berbeza-beza bagi tujuan kebertanggungjawaban.

Malaysia juga sangat unik kerana bukan saja takrifan umur kanak-kanak ini terbahagi kepada kanak-kanak Islam dan bukan Islam malah takrifan ini berbeza-beza mengikut statut.

Misalnya:

* Akta Pengangkatan mentakrif kanak-kanak sebagai yang berumur di bawah 21 tahun termasuk seorang perempuan yang telah berkahwin dan diceraikan di bawah umur tersebut.

* Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) mentakrif anak dalam keluarga sebagai yang berumur di bawah 18 tahun.

* Akta Penjagaan Budak 1961 mentakrif kanak-kanak Islam sebagai yang berumur di bawah 18 tahun, namun bagi yang bukan Islam, berumur di bawah 21 tahun.

Secara amnya di Malaysia kanak-kanak adalah yang berumur di bawah 18 tahun. Bagi tanggungjawab jenayah, kanak-kanak di bawah umur 10 tahun tidak boleh dipertanggungjawab bagi sebarang kesalahan jenayah.

Jadi sebagai kanak-kanak, jika seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun mencuri atau mencederakan seseorang, tiada apa yang boleh dibuat terhadapnya. Ini kerana undang-undang melihatnya sebagai seseorang yang tidak boleh melakukan kesalahan jenayah.

Semasa beberapa orang kanak-kanak didapati terlibat dalam insiden kebakaran sebuah tahfiz pada tahun lalu, kita dapati hanya seorang yang berumur 10 tahun ke atas sahaja dihadapkan ke mahkamah.

HAK-HAK TERTENTU

Sebagai kanak-kanak, mereka mempunyai hak-hak tertentu baik bawah undang-undang sivil mahupun bawah undang-undang Islam. Hak kanak-kanak ini banyak dan antara yang terpenting ialah haknya untuk dihormati sebagai manusia.

Ramai antara kita melihat anak sebagai barang dan mempunyai hak terhadap mereka.

Anak ada hak terhadap ibu bapanya sama seperti ibu bapa mempunyai hak terhadapnya, namun hak tersebut tidak menyebabkan ibu bapa boleh berbuat apa sahaja terhadap anak mereka. Anak pula dalam hasrat menuntut haknya terhadap ibu bapanya, tidak perlu menjadi biadab atau kurang ajar.

Menghargai dan menghormati kanak-kanak seperti kita menghargai dan menghormati orang dewasa akan menjadikan kanak-kanak lebih menghormati orang dewasa. Kanak-kanak akan menjadi lebih yakin dan selamat. Kanak-kanak mempunyai hak untuk tidak dicederakan dan dianiaya. Ini membolehkan dia membesar dengan baik dan menjadi insan berguna.

Kita kerap kali mendengar berbagai berita mengenai penderaan kanak-kanak. Baru-baru ini dikejutkan oleh satu kes seorang bapa mendera anak perempuannya sehingga meninggal dunia. Apalah dosa seorang kanak-kanak semuda sembilan tahun ditumbuk terajang sehingga kecederaan pada organ dalamannya?

Pada Oktober 2017 seorang kanak-kanak 10 tahun diikat dengan rantai dan rantai diikat ke tong gas.

Kebanyakan kes penderaan kanak-kanak ini sangat menyayat hati dan tidak berperikemanusiaan. Kanak-kanak ini diperlaku dan diseksa seperti binatang sedangkan kita tidak pernah mendera binatang sedemikian rupa.

Terdapat juga kes seorang bapa yang meliwat dan merogol anak perempuannya berkali-kali sehingga dijatuhkan hukuman penjara 48 tahun dan yang terbaru seorang bapa dipenjara lebih 100 tahun kerana merogol anaknya.

Perbuatan bapa merogol anak ini sangat tidak berperikemanusiaan dan melampaui kewarasan manusia. Ia juga menunjukkan orang dewasa yang tidak menghargai dan menghormati hak kanak-kanak.

Hak kanak-kanak sangat jelas bawah Konvensyen Hak Kanak-kanak iaitu:

1. Hak hidup

2. Hak untuk tidak didiskriminasikan

3. Hak untuk dilindungi

4. Hak untuk tidak dieksploitasi

5. Hak Ekonomi

6. Hak untuk bersuara, berpersatuan dan berhimpun

7. Hak untuk dihormati hal-hal peribadi

8. Hak kepada pendidikan.

Bagi kanak-kanak Islam hak utamanya ialah nasab yang sah dan mendapat ibu solehah. Ini kerana daripada nasab yang sah bakal lahir hak-hak lain seperti hak untuk hidup termasuk hak makan minum, rumah, perubatan dan kasih sayang.

Anak juga mempunyai hak untuk mendapat didikan agama dan pendidikan normal.

Sebenarnya terdapat banyak persamaan hak kanak-kanak dalam konvensyen dengan undang-undang Islam. Mempertahan hak kanak-kanak sangat penting kerana hak-hak ini akan memastikan kanak-kanak membesar dengan sihat, selamat dan sejahtera.

Ramai beranggapan bahawa hak kanak-kanak adalah sesuatu yang datang dari Barat, sebenarnya, hak kanak-kanak dalam Islam juga telah lama wujud dan perlu dilaksanakan.

Kanak-kanak adalah amanah Allah SWT kepada kita semua. Sayangi anak dan semoga Allah menjadikan mereka anak yang soleh dan solehah.


Penulis ialah wakil Malaysia ke Suruhanjaya ASEAN Mengenai Promosi dan Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-kanak