Saya memilih muassasah kerana yakin ia adalah pilihan terbaik. Saya mahu merasai detik-detik sukar yang perlu dilalui sepanjang tinggal di Tanah Suci. Meraikan pelbagai perbezaan apabila tinggal bersama rakan-rakan sebilik yang tidak pernah dikenali sebelum ini. Mengharungi perjalanan jauh dari tempat penginapan ke Masjidilharam. Dan, paling penting, mahu menyelami perasaan sebenar seorang hamba yang kerdil di celah jutaan jemaah yang hadir untuk mencari reda-Nya di sana.

Saya menggenggam kata-kata suami, Mohd. Alwi Zainal Abidin, bahawa kami perlu yakin dengan janji Allah. Dia menguji sesuai dengan kemampuan hamba-Nya. Maka, semua cerita ‘tidak enak’ tentang pengurusan muassasah Tabung Haji kami ketepikan.

BERMULANYA PERJALANAN PENYUCIAN JIWA

Penerbangan ke Tanah Suci jatuh pada hari Jumaat, 2 September 2016. Jemaah yang menyertai penerbangan KT42B dengan Saudi Airlines ditempatkan di hotel penginapan Manar al-Shourouq bawah Maktab 90 pimpinan Pengurus Maktab, Abdul Razak Said. Maktab 90 menempatkan jemaah daripada beberapa penerbangan yang menghuni empat buah hotel iaitu Manar Al-Shouruoq, Rawdhah al-Shourouq, Al-Wahideen dan Land Premium.

Selain Abdul Razak sebagai pengurus maktab, para jemaah turut mendapat bimbingan haji daripada Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci (Pihtas), Ustazah Siti Ngesah Jayus atau lebih mesra disapa sebagai Ummi dalam kalangan jemaah dan juga Ustaz Mohd. Zaini Hassan.

Kami berpeluang mengikuti beberapa siri ceramah dan bimbingan haji dalam tempoh sebelum berangkat ke Arafah, kelolaan Ustazah Ummi yang sangat berpengalaman kerana tahun lalu merupakan tahun ke-15 beliau berpeluang membimbing para jemaah di Tanah Suci.

Penerbangan kami tiba di Mekah seminggu sebelum tarikh wukuf dengan suhu ketika itu mencecah hampir 50 darjah Celsius. Sebahagian besar masa dihabiskan di bilik dan surau di hotel berkenaan kerana jemaah ketika itu tidak digalakkan untuk ke Masjidilharam khususnya ketika waktu siang.

KENANGAN MANIS HINGGA AKHIR HAYAT

Dalam coretan ini, saya mahu melahirkan rasa syukur dan terima kasih tidak terhingga kepada Tabung Haji khususnya petugas di Maktab 90 kerana pengurusan serta perkhidmatan yang sangat cekap dalam menangani kerenah ribuan jemaah. Pengalaman yang dilalui sangat manis dan akan menjadi kenangan sehingga ke akhir hayat.

Saya telah menyediakan mental dan fizikal untuk menghadapi serta mengharungi semua kesukaran yang mungkin terpaksa dihadapi. Namun tidak keterlaluan jika dikatakan, hanya 10 peratus sahaja kesukaran itu yang dilalui. Apabila kita mengikut pesanan dan arahan yang dikeluarkan oleh petugas Tabung Haji, semuanya menjadi lancar dan mudah. Tiada lagi istilah sukar.

Jika kesukaran itu diukur pada kepanasan yang terpaksa dihadapi ketika berada dalam khemah di Arafah dan Mina, ia bukanlah masalah yang dicetuskan oleh Tabung Haji. Cuaca panas atau sejuk bukan bawah kawalan manusia. Bila menganggapnya sebagai satu ujian yang perlu dilalui, segalanya akan menjadi lebih mudah. Cuaca panas di bumi Arafah dan Mina tetap dirasai semua jemaah tidak kira apa pakej yang disertai.

Jarak hampir tujuh kilometer berulang alik dari khemah ke tempat melontar juga bukan satu masalah sekiranya kita menyediakan mental dan fizikal bahawa apa yang kita kerjakan itu adalah semata-mata untuk mencari reda Allah. Begitu juga dengan perjalanan hampir satu kilometer dari hotel ke Masjidilharam.

PERKHIDMATAN TERBAIK TABUNG HAJI

Bagi kami jemaah muassasah, khidmat diberikan Tabung Haji sebenarnya sangat besar berbanding dengan apa yang dibayar. Berdasarkan pengalaman, dengan bayaran tidak sampai RM10,000, kami mendapat tempat tinggal selesa walaupun terpaksa berkongsi dengan lima jemaah lain.

  • Bilik luas berserta bilik air yang bersih, katil bertilam empuk, pendingin hawa dan kipas angin berfungsi 24 jam sehari.
  • Secara jujur, tidak pernah impikan suasana sebegitu untuk tempoh 43 hari di Tanah Suci dengan bayaran sedemikian.
  • Rezeki Allah kurniakan menerusi perantaraan Tabung Haji menjadikan nilai RM10,000 itu seperti berlipat ganda dan sangat berbaloi.
  • Makanan dua kali sehari, tengah hari dan malam amat baik dan bersesuaian dengan selera.
  • Ada jemaah merungut dengan hidangan, tetapi tanpa disedari bahawa semuanya diperoleh dengan bayaran sangat minimum.

Ibadah haji mengajar kita menjadi lebih sabar, bermuhasabah dan kenal erti syukur. Maka bersyukurlah kita sesuai dengan apa sahaja ujian dan rezeki yang Allah kurniakan.

Jangan meminta lebih sekiranya kita memberi tidak sebanyak mana.