Justeru, menjadi kewajipan kepada pihak pengurusan masjid untuk mengatur satu program khas dengan menjemput komuniti bukan Islam berdekatan untuk memahami amalan Islam sebenar.

Antara masjid yang kerap menganjurkan program khas itu adalah Masjid Kowloon Hong Kong. Pihak pengurusan masjid itu menganjurkan Hari Terbuka Masjid secara tetap atau sekurang-kurang sekali dalam setahun.

Tahun lalu, lebih 800 orang bukan Islam hadir bukan hanya ingin mengetahui lebih banyak mengenai Islam tetapi berpeluang menyaksikan sendiri amalan ibadat wajib dan sunat di masjid itu.

Pada tahun ini, program yang mendapat sokongan padu daripada Majlis Islam Hong Kong dianjurkan pada pertengahan bulan ini dengan matlamat sama iaitu memperkenal kepercayaan dan amalan asas agama Islam.

Lelaki dan wanita sama ada tua atau muda menunjukkan minat untuk memahami dengan mengajukan pelbagai soalan sehingga mewujudkan perbincangan sihat, mereka turut menyertai aktiviti lain.

Dalam masa sama, Jawatankuasa Dakwah masjid berkenaan yang menjadi tulang belakang program tahunan tersebut turut menyifatkannya sebagai peluang untuk menunjukkan semangat ukhuwah dalam kalangan pihak urusetia.

Aktiviti lain yang diadakan adalah pameran mengenai nilai dan ajaran Islam sebenar, buku agama, tulisan kaligrafi, pakaian hijab dan gerai masakan halal. Ceramah santai mengenai Islam turut diadakan, di samping lawatan sekitar luar dan dalam masjid yang dikendalikan oleh para sukarelawan Muslim.

Menariknya, program tersebut bukan hanya dihadiri masyarakat Cina tempatan bukan Islam tetapi warga asing sama ada pelancong atau pekerja. Mereka datang daripada pelbagai latar belakang kepercayaan termasuk ateis, Kristian dan Buddha.

Majoriti daripada mereka menyifatkan Islam sebagai agama keamanan dan tidak seperti yang digambarkan oleh media massa. Ada juga yang memberi cadangan agar program itu diadakan lebih kerap lagi pada masa depan.

Bukti ini bukan hanya dilakukan melalui maklum balas menerusi Facebook masjid berkenaan tetapi juga borang maklum balas yang diberikan kepada setiap pengunjung.