Wanita berkenaan hendaklah berpuasa menggantinya. Namun jika tidak berpuasa Ramadan kerana menyusukan anak, dia perlu berpuasa ganti dan membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada orang miskin.

Contohnya tidak berpuasa selama 20 hari. Hendaklah berpuasa ganti sebanyak 20 hari. Selain itu, wanita itu juga perlu membayar fidyah, jika 20 hari maka 20 orang miskin perlu diberi makan.

Pemberian makan ini boleh digantikan dengan bayaran duit. Contohnya pemberian makanan dianggarkan RM10. Maka diberikan RM10 kepada seorang miskin dengan niat fidyah.

 

Ikhtiarkan patuhi arahan PBT

Saya seorang penjaja. Apakah hukum berniaga yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa?

Perintah pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dipatuhi. Dalam menjalankan perniagaan, PBT berkuasa mengeluarkan lesen perniagaan. Maka sewajarnya peraturan diikuti.

Namun begitu, pendapatan hasil jualan perniagaan yang tidak mendapat lesen perniagaan adalah halal. Cuma tidak mematuhi peraturan perniagaan ditetapkan.

Contohnya, peniaga nasi lemak yang tidak mempunyai lesen. Perniagaan itu adalah halal. Pendapatan daripada jualan nasi lemak adalah halal.

Namun berlaku kesalahan apabila tidak mempunyai lesen perniagaan sahaja. Maka hendaklah diuruskan lesen ini bagi mengelakkan sebarang masalah berbangkit.

 

Saya membeli sekeping tanah dan apabila ingin memagar tanah berkenaan setelah segala urusannya selesai, jiran sebelah menyatakan bahawa tidak boleh berbuat demikian mengikut ukuran peta pejabat tanah atau geran. Jiran itu mendakwa pemilik asal tanah telah mengukur secara berlebihan. Saya meminta jiran tersebut menyelesaikan perkara tersebut namun tiada apa-apa tindakan selama tiga tahun. Bagaimana kedudukan proses pemagaran?

Dalam hal ini, bukti bertulis dan rasmi hendaklah diguna pakai iaitu geran tanah. Sewajarnya pihak tuan mengikut apa yang termaktub dalam geran tanah. Mengenai dakwaan tersebut, antara prinsip utama ialah bukti keterangan ditanggung oleh pihak pendakwa. Jiran menyatakan terdapat kesilapan, maka beliau hendaklah memberikan bukti bagi menjelaskan perkara tersebut.

Jika sekadar dakwaan tanpa bukti maka sudah tentu pelbagai dakwaan akan muncul. Ini bakal menimbulkan pelbagai masalah dan isu. Bukti keterangan amat perlu. Selain itu, sesuatu akad kontrak juga sewajarnya didokumenkan agar menjadi bukti keterangan.

 

Saya terlepas solat sunat 
Aidilfitri minggu lalu. Apakah berdosa?

Solat hari raya hukumnya sunat. Maka tidaklah berdosa jika terlepasnya. Contohnya Muslim yang masih dalam perjalanan ketika pagi raya. Mereka terlepas solat sunat itu.

Mereka sampai ke rumah yang dituju pada pukul 10 pagi contohnya. Maka tidaklah berdosa.

 

Ketika solat Aidilfitri baru-baru ini, masjid dan surau penuh dengan jemaah. Saf solat tidak teratur antara lelaki dan wanita. Ada lelaki yang berada di belakang wanita. Bagaimana kedudukan solat sebegini?

IA menyalahi susunan saf solat yang sepatutnya. Susunan saf yang asal ialah lelaki diikuti oleh perempuan. Namun begitu, suasana kelam-kabut biasa berlaku.

Jemaah lelaki amat banyak dan melimpah. Ruang solat untuk mereka tidak mencukupi. Maka kaum lelaki akan mencari mana-mana tempat yang ada untuk menunaikan solat. Jika terlambat, dibimbangkan terlepas solat.

Susunan saf solat yang tidak mengikut tatacara asal tidaklah membatalkan solat. Cuma ia sekadar tidak cantik pada pandangan mata dan tidak meraikan saf asal. Namun fiqh al-waqi’ juga sewajarnya difahami iaitu suasana yang sedikit kelam-kabut mencari ruang solat.