Yang mengelilingi lembah ini mulai dari arah timur berbentuk seperti setengah lingkaran, manakala di hujung bahagian selatan adalah jalan menuju Taif dan bahagian utara pula terdapat Jabal Rahmah.

Di sebelah barat terdapat sebuah bukit berbatu dan di situlah Rasulullah SAW berkhutbah. Di bawahnya terdapat sebuah kawasan solat yang dikenali hari ini dengan nama Masjid Sakhrah.

Jika dilihat pada sejarahnya, jarak antara Arafah dengan kaki gunung Arafah adalah sekitar 1,500 meter. Maka dalam persoalan berwukuf di padang Arafah itu dianggap sah dengan keberadaaan jemaah antara kawasan dan kedudukan yang dinyatakan pada awal mukadimah dengan syarat berihram, sama ada berjalan kaki, berkenderaan, tertidur atau terjaga, mengetahui atau tidak bahawa daerah tersebut adalah Arafah sepanjang melaksanakan wukuf pada waktunya.

Oleh demikian, wukuf adalah antara Rukun Haji terpenting.

Rasulullah SAW bersabda ketika ditanya penduduk Najad, “Bagaimana haji itu?” Rasulullah bersabda: “Haji adalah (wukuf) di Arafah, sesiapa yang datang sebelum solat fajar dari malam harinya sesungguhnya yang bersangkutan telah berhaji,” - Riwayat Tirmizi

KEUTAMAAN HARI DAN PADANG ARAFAH

Padang Arafah semuanya merupakan tempat berwukuf. Disunatkan bagi mereka yang hendak wukuf agar terlebih dahulu mandi, berdiam di tempat wukuf dengan menghadap kiblat sambil membaca tahlil, takbir, talbiah dan berselawat kepada Rasulullah SAW. Juga disunatkan membanyakkan zikir kepada Allah SWT dan berdoa kerana hari Arafah adalah waktu segala doa dimakbulkan.

Banyak hadis mengisahkan keutamaan Hari Arafah ini, antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah membanggakan mereka yang sedang wukuf kepada penduduk langit dan berkata kepadanya: “ Lihatlah kepada hamba-Ku yang berdatangan kepada-Ku.” - Musnad Ahmad.

Daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah bersabda: ”Tiada satu hari pada hari itu Allah membebaskan hamba-Nya daripada api neraka iaitu pada Hari Arafah.” - Sahih Muslim.

JABAL RAHMAH

Jabal Rahman, sebuah bukit yang terletak di tengah-tengah padang Arafah. Di luar musim haji, Arafah sangat lengang, maka Jabal Rahmah menjadi tumpuan jemaah setiap kali mengadakan ziarah ke Mekah.

Menurut sejarah, di bukit ini bertemunya Nabi Adam a.s dengan isterinya, Hawa setelah mereka berpisah selama kurang lebih 200 tahun sejak diturunkan dari syurga. Bukit ini diberi nama ‘Rahmah’ yang bermaksud ‘kasih sayang’.

KEPENTINGAN BERWUKUF

Wukuf di Arafah adalah Rukun Haji yang paling penting. Sesiapa yang tidak melaksanakan, maka hajinya dianggap tidak sah. Persoalannya apakah rahsia dan hikmah di sebalik ibadat wukuf di Arafah.

Talbiah yang diucapkan seseorang sejurus setelah meniatkan ihramnya di miqat iaitu “Labbaikallahummalabbaik, Labbaikalaa syarikalaka labbaik, Innalhamda wan ni’mata, Laka wal mulk, Laa syarikalak.”

Kalimah ini adalah sahutan daripada panggilan Allah untuk mengerjakan haji. Bermaksud perhambaan yang mendalam antara seorang hamba terhadap Tuhannya. Kedatangan mereka dengan memakai pakaian ihram yang tidak berjahit dari jauh dalam beberapa hari sehingga nampak kusam, kusut masai, dengan rambut berterbangan.

Kesemua ini bagi menunjukkan kehinaan, ketundukan, kerendahan dan kepatuhan terhadap Allah. Penzahiran sifat seorang hamba adalah satu ketinggian dan kemuliaan. Bukankah sewaktu mereka berwukuf di Arafah, Allah SWT berbangga dengan jemaah haji di hadapan malaikat-Nya seperti dalam hadis Nabi SAW: “Hamba-hamba-Ku datang kepada-Ku dengan rambut kusut masai dari setiap sudut negeri yang jauh.” - Sunan Nasaie

Allah SWT menyifatkan Nabi SAW sendiri sebagai seorang hamba dalam al-Quran:

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalan hamba-Nya Muhammad. Pada suatu malam dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa. Yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihat kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia (Tuhan) adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat,” (Surah al-Isra:1)

Hamba adalah satu kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Kerana itu Nabi Muhammad SAW berbangga dengan sifatnya sebagai seorang hamba sebagaimana sabda Baginda, daripada Jabir ibn Abdullah r.a. bercerita bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku ini hanyalah seorang hamba. Aku makan sebagaimana makannya seorang hamba dan aku makan sebagaimana makannya seorang hamba,” - Sahih Bukhari.

Kesempurnaan kedudukan hamba ini tidak dapat dicapai kecuali oleh Rasulullah SAW. Kerana itulah Allah memilihnya sebagai kekasih-Nya. Justeru jemaah haji yang berada di bumi Arafah seharusnya membawa dirinya sebagai seorang hamba yang berlumuran dengan kekotoran dosa dan noda, serta kesalahan yang dilakukannya.

Semua itu akan dipersoal Allah SWT. Dengan noda dan dosa mereka merintih keampunan-Nya dengan sepenuh penyesalan pada hari Arafah hari, di mana Allah membuka seluas-luas pintu keampunan-Nya. Alangkah malang jika seseorang yang dapat berada di Arafah tapi dosanya masih tidak di ampunkan Allah.