Difahamkan hampir setengah juta penduduknya terkepung, manakala beratus-ratus tercedera dan terbunuh. Majoriti yang terbunuh adalah kanak-kanak, wanita dan orang tua.

Tidak hairanlah bila Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyifatkan kawasan itu sebagai ‘neraka dunia’.

Rentetan daripada itu, Islamic Relief Malaysia (IRM) kini tampil untuk membantu mangsa di Timur Ghouta dengan menyasarkan dana bantuan kemanusiaan sebanyak RM1 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, usaha yang dijalankan melalui kempen Save Syria Appeal penting kerana hampir setengah juta penduduknya kini terkepung sehingga sukar memperoleh bantuan dari luar.

Apa tidaknya, beliau berkata, serangan itu bukan hanya memusnahkan sumber kehidupan mereka seperti kilang roti, gudang dan apa sahaja yang dilihat sebagai sumber bekalan makanan.

“Serangan itu turut menyasarkan jalan-jalan utama sehingga menghalang apa jua bantuan, operasi menyelamat dan membataskan pergerakan ambulans,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Namun begitu, beliau berkata, pihak Islamic Relief (IR) di Syria tetap bersama badan bukan kerajaan (NGO) tempatan berusaha mencari jalan untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terkepung.

Pelbagai barangan bukan makanan seperti selimut, cadar, bahan memasak, sabun dan bahan bakar untuk musim sejuk diagihkan kepada penduduk yang memerlukan.

“Untuk barangan makanan pula, pasukan IR kini bukan hanya berjaya mengagihnya kepada 1,500 keluarga tetapi juga bekalan roti kepada 1,334 keluarga,” katanya.

Menyentuh situasi semasa, Zairulshahfuddin memberitahu, dalam tempoh beberapa hari lalu, dilaporkan kira-kira 310 penduduk maut termasuk 72 kanak-kanak dan 45 wanita, manakala 1,550 cedera.

Selain itu, enam hospital dan kemudahan kesihatan turut musnah ketika serangan dilancarkan. Keadaan itu menyebabkan bekalan ubat kian berkurangan.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh menyalurkan kepada nombor-nombor akaun berikut atas nama Islamic Relief Malaysia melalui Maybank Islamic (5621 4270 8704), CIMB Islamic (8602 0738 18), Bank Islam (12 029 01 006564 3), Affin Islamic (10 671 000278 4) dan Bank Rakyat (11080 10000 35).

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program kemanusiaan IRM, layari laman web rasmi: www.islamic-relief.org.my atau hubungi talian 03-8926 3434.