Islam sendiri ketika hendak membangunkannya, bangsa Arab bukanlah satu kuasa besar. Ini kerana, ketika itu terdapat dua empayar gagah yang memerintah dunia iaitu Rom dan Parsi.

“Namun, bagaimana tamadun Islam yang tiada siapa mengenalinya boleh bergerak sehingga akhirnya mampu menguasai dua pertiga dunia. Tidak lain, atas asas kedatangan Nabi Muhammad SAW yang membawa risalah keimanan.

“Atas asas Islam yang begitu kukuh inilah, tamadun Islam berjaya menempa nama 
sehingga hari ini,” kata Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal pelajar dan alumni) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Tamadun dan Warisan Islam (Tawis) 2017 bertema Tamadun Islam dan Peradaban Islam: Merekayasa Kreativiti dan Masyarakat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Seminar sehari anjuran Institut Islam Hadhari UKM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu menampilkan enam kertas kerja oleh ahli panel dari pelbagai latar belakang bidang pengajian.

Bagi menyahut seruan itu, Noor Aziah dalam ucapan sama menyarankan umat Islam agar mempersiap diri dengan ilmu pengetahuan bukan sahaja berbentuk keagamaan tetapi juga merangkumi segenap bidang dan tahap kekuatan mental serta fizikal.

“Jika kita merenung sejarah peradaban Islam lampau, kita akan melihat bukan hanya kepada keagungan Islam tetapi ilmu pengetahuan serta teknologinya. Sumbangan Islam bukan hanya sekadar pada bidang agama, malah meliputi sains, teknologi, matematik dan kejuruteraan.

“Apakah kita tidak ingat kepada sumbangan al-Biruni dalam membuktikan bahawa matahari merupakan pusat alam dan bumi mengelilinginya, ketika masyarakat Barat waktu itu menghukum bunuh Galileo Galilei kerana menyatakan hal sama,” katanya.

Tambah Noor Aziah, begitu juga kamera yang begitu dekat dengan kita hari ini berasal dari istilah Arab iaitu kamar (bilik). Ibnu Haytham melakukan kajian melalui satu pancaran cahaya yang menembusi satu lubang terus 
ke dalam biliknya yang gelap.

“Tidak itu sahaja, tulisan ilmuwan Islam tersebut telah memberi pengaruh kuat kepada nama-nama besar Barat seperti Roger Bacon, Leonardo da Vinci dan Rene Descartes,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan umat Islam agar tidak memandang remeh kepada cabaran dan masalah yang melanda ummah masa kini.

“Di luar negara, kita melihat bagaimana negara-negara Islam dijadikan medan perang saudara, ancaman Daesh, gerakan penghapusan etnik ke atas masyarakat Islam Rohingya, kemiskinan, wabak penyakit dan lain-lain.

“Begitu juga dalam negara, antaranya, perbalahan dalam kalangan ulama dan umara yang membawa kepada sikap fanatik dan perpecahan.

“Justeru, bagaimana kita sebagai umat Islam boleh terkehadapan untuk menjadi pemimpin atau khalifah kepada umat manusia ketika ini yang sedang hidup dalam dunia yang menuju kehancuran,” katanya.