Jangan terus terhenti di situ kerana pelbagai mekanisme boleh dilaksanakan bagi menjayakan penggunaan dinar emas sebagai mata wang termasuk dalam sistem digital.

Pensyarah Kanan Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salmy Edawati Yaacob berkata, dinar emas adalah mata wang klasikal yang mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

Beliau berkata, sekiranya orang ramai menyatakan wang kertas begitu mudah dan senang untuk diurus niaga pada peringkat dunia, sewajarnya kita yang kini berada dalam zaman revolusi industri bakal menjadikan urusan itu semakin mudah termasuk wujudnya penyelesaian urusan semasa menerusi wang digital.

Menurutnya, segala urusan menjadi lebih mudah dengan satu ‘leretan’ atau transaksi dalam talian, segala perpindahan transaksi pembayaran dibuat dengan senang.

“Sekarang ini, mata wang digital pula wujud. Malah ada pihak cuba membuat keuntungan daripada sistem mata wang tersebut berdasarkan fasa perubahan teknologi. Tetapi dinar emas tetap ada kelebihannya berbanding semua inovasi mata wang sedia pada masa ini.

“Mungkin agak sukar untuk dinar emas menandingi dengan mudah teknologi semasa yang semakin mudah terutama wang digital, namun bagi yang memahami bagaimana mata wang berlaku atau pengeluaran mata wang, sebuah negara atau kerajaan terutama yang mengamalkan pemerintahan Islam perlu bertanggungjawab ke atas pengeluaran mata wang yang dilakukan,” katanya.

KAJI TERLEBIH DAHULU MATA WANG DIGITAL

Tegas Salmy Edawati, orang ramai tidak mengetahui siapakah di sebalik mata wang digital, siapa pengeluar atau pemegang amanah untuk sistem mata tersebut malah sesiapa sahaja boleh jadi pemilik.

Untuk itu katanya, masyarakat perlu menilai sepenuhnya terhadap pelaksanaan mata wang digital dan konsep yang digunakan, selain perlu memastikan wujud hak jaminan atau pemilikan daripada sesebuah negara yang terlibat dalam wang digital itu.

“Oleh itu bagi saya, mata wang kertas itu lebih baik atau lebih sesuai kalau dibandingkan dengan wang digital. Namun bagi dinar atau dirham, kekangan ke atas mata wang itu hanya melibatkan proses transaksi yang agak menyukarkan.

“Namun, jika diambil kira dari pelbagai sudut lain, dinar emas amat jauh dari sudut penipuan, sebaliknya boleh menjadi jaminan perlindungan dan nilai kekayaan. Di sini teknologi mata wang moden tidak boleh menandingi dinar emas Islam,” katanya.

Selain itu, katanya, emas juga sebenarnya boleh dijadikan mata wang digital apabila terdapat mekanisme yang boleh mengendalikan urusan transaksi nilai emas berdasarkan gram.

“Sebagai contoh, transaksi diselesaikan dengan penggunaan kad debit menerusi nilai emas semasa yang kita ada berdasarkan jumlah gram,” katanya.

PERLUKAN SOKONGAN SEMUA PIHAK

Salmy Edawati menjelaskan bahawa pelaksanaan dinar emas perlu kepada kepercayaan dan kekuatan industri-industri kewangan secara padu untuk menggunakan emas sebagai alat pembayaran dalam institusi kewangan.

Katanya, sekiranya pihak industri enggan mengguna pakai sistem dinar emas, maka proses kitaran tidak akan terjadi kerana di situ terdapat sistem pengedaran mata wang daripada pihak industri.

“Pada pandangan saya, secara fizikal mungkin sukar untuk dilaksanakan. Tetapi digunakan untuk satu sistem atau kad digital melibatkan emas, perkara itu mungkin membolehkan pihak industri untuk menerima pakai dengan yakin.

“Keyakinan mereka terhadap emas semakin kuat apabila melibatkan ciri-ciri jaminan keselamatan. Jadi kita kena fikir bagaimana cara untuk melaksanakannya termasuk dalam bidang perundangan, selain ada perkara lain juga yang perlu dititikberatkan untuk dilaksanakan emas sebagai salah satu aspek dalam wang digital,” katanya.

Menjadi persoalan katanya, ramai pihak terutama negara Barat tidak berani menggunakan emas sebagai mata wang kerana jumlah emas adalah terhad.

Jelasnya, tidak seperti emas, mata wang kertas mudah untuk dicetak sesuka hati. Malahan jumlah emas tidak akan bertambah sekiranya tidak diperoleh.

Selain itu, katanya, negara Barat menyifatkan penggunaan emas sebagai mata wang adalah bahaya, seumpama ancaman bom nuklear kerana menyedari perkara itu boleh memberi impak buruk kepada mereka.

“Negara Barat sebenarnya melihat penggunaan dinar emas adalah bagus, maka mereka sengaja memburukkan kehebatannya kerana mereka sukar untuk mengawal dan memanipulasi mata wang dunia.

“Semasa zaman kekuatan khalifah Islam terdahulu, negara Barat pernah kalah dengan Islam kerana mata wang Islam iaitu dinar dan dirham itu, selain menjadi nilai kekayaan dan kekuatan umat Islam pada masa itu,” katanya.