“Awak tidak menyesal ke hantar anak ke pusat tahfiz sejak kecil. Putri Aminah tu bijak dalam kelas,” masih terngiang-ngiang kata-kata rakan dan keluarga terdekat dalam ingatan Tengku Lela Marsita Tengku Ariff, 37, apabila mengambil keputusan menghantar anak sulung dan kedua mereka ke pusat pengajian tahfiz al-Quran secara sepenuh masa.

Sementara itu, sebagai seorang pembimbing yang mengusahakan sebuah pusat hafazan, Mohd. Hanif Hasan yakin bahawa ilmu al-Quran wajib dikuasai anak-anak sebelum belajar bidang ilmu yang lain.

Seawal usia Mohd. Hanif lima tahun, ibunya mengajar sendiri al-Quran. Setiap hari selepas waktu maghrib diperuntuk untuk mengajar anak-anak mengaji, membaca dan mengira. Hasilnya sebelum menjangkau usia enam tahun anak-anaknya khatam al-Quran, boleh membaca, menulis dan mengira.

Pada awalnya, Putri Aminah dan Putra Abu Bakar dihantar ke sekolah kebangsaan. Mereka mencapai keputusan terbaik dalam kelas. Melihat kepada kebolehan dan kemampuan anak-anaknya, Mohd. Hanif, 44, mula mengajar anaknya menghafaz al-Quran sejak berumur 10 tahun.

Mereka dihantar belajar dengan seorang guru al-Quran dan pembimbing hafazan tidak asing di Kelantan yang berjaya melahirkan ratusan hafiz dan hafizah di madrasahnya. Tuan Guru Haji Abdullah Daud atau lebih dikenali sebagai Baba Lah merupakan seorang yang sangat tegas, berdisiplin dan mementingkan adab belajar serta berguru. Beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1437 Hijrah (2016) oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, kini Yang di-Pertuan Agong XV atas sumbangan dan jasanya membimbing serta melahirkan ramai huffaz.

PETUA MENGHAFAZ AL-QURAN

Petua belajar hafazan yang selalu dipegang dan dititikberatkan kepada anak-anak didik Baba Lah ialah menggunakan naskhah al-Quran sama, berguru dengan guru yang sama dan berada di tempat duduk yang sama.

“Kekuatan semangat untuk menghafaz bukan sahaja perlu kepada anak-anak yang menghafaz al-Quran tetapi juga kepada ibu bapa. Contohnya kami mengawal anak-anak menonton televisyen dan menggunakan telefon bimbit sejak dari kecil lagi.

“Hingga sekarang perkara itu dapat dijaga kecuali untuk kegunaan mustahak sahaja,” ujar Tengku Lela Marsita yang mengajar bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah (2), Kelantan.

Disiplin belajar dan hafazan yang cukup ketat mungkin menyebabkan beberapa pelajar tidak dapat mengikutinya tetapi tidak mendatangkan masalah bagi kedua-dua zuriatnya ini .

Walaupun tidak dibenarkan pulang ke rumah pada hujung minggu, mereka akan menyewa di rumah tumpangan berhampiran pusat tahfiz untuk melepas rindu kepada anak-anak walaupun hanya dihadkan kepada beberapa jam sahaja. Dengan waktu pertemuan yang dibenarkan itu, pasangan suami isteri ini sentiasa menguji ingatan dan hafazan anak-anaknya.

Setiap hari jadual hafazan yang padat menyebabkan pelajar tidak boleh membuang masa sesuka hati.

Setelah terpilih mewakili pusat tahfiznya, Putri Aminah dan Putra Abu Bakar diwajibkan mengulang hafazan sebanyak 10 juzuk sehari. Bermakna sebuah al-Quran harus dikhatamkan hafazannya dalam masa tiga hari.

Kekuatan daya ingatan luar biasa ini mendorong murabbinya terus membimbing dan melatih sebagai persiapan untuk ke peringkat kebangsaan tidak lama lagi. Menurut ibu bapanya bukan meraih kejuaraan yang menjadi buruan sebaliknya usaha untuk memartabatkan al-Quran dan kedudukan para huffaz di mata masyarakat yang menjadi keutamaan.