Selain telinga dipenuhi dengan alunan zikir-zikir memuji kebesaran Allah SWT, telatah dan gelagat tetamu ‘VVIP’ pada malam itu juga amat menginsafkan. Hebatnya mereka, meskipun diuji dengan kekurangan fizikal tetapi mereka tidak melupakan tanggungjawab seorang hamba Allah untuk bermunajat kepada-Nya.

Memang pelat kumpulan orang kurang upaya (OKU) itu sedikit janggal didengari apabila memunajatkan doa dan membaca al-Quran, pergerakan juga terbatas kerana tidak mampu melihat seperti manusia normal, tidak terkecuali yang kelihatan seperti normal tetapi rupa-rupanya pekak dan bisu, namun pergerakan lincah tangan-tangan mereka mengisyaratkan sesuatu sebagai pengganti untuk meluahkan perasaan, amat istimewa.

Di beberapa sudut lain, terdapat beberapa kanak-kanak normal yang masih belum mumayyiz, punggung mereka seperti terpaku pada kerusi, tidak melompat-lompat atau terkinja-kinja seperti kelaziman. Mereka tanpa perlu diajar oleh ibu bapa masing-masing, memfokuskan sepenuhnya kepada persembahan rakan-rakan mereka di pentas.

Hebatnya aura hidangan istimewa yang dihangatkan oleh peserta program OKU Berdoa 3.0: Bicara Tanpa Hijab itu. Ia adalah kerjasama antara kumpulan mahasiswa Kelab Sukarelawan Dakwah OKU, Sahabat Faqeh USIM ([email protected]), USIM bersama Yayasan Pendidikan al-Quran bagi anak istimewa (Yayasan Faqeh) serta Faqeh Training and Consultancy (FTC). GAMBAR: MOHD. NAJIB MOHD. NOR

Persembahan hebat curi perhatian

Semasa penonton masih terkesima dengan kemerduan persembahan anak-anak syurga, pentas yang digelapkan seketika dikejutkan dengan kelibat seorang lelaki berseluar senteng, berbaju t-shirt, mundar-mandir di tepi tirai sambil menolak kerusi roda.

Kerusi roda itu kemudiannya ditolak masuk sambil menerima tepukan gemuruh daripada penonton, lelaki itu ialah Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad bersama dengan pelajar OKU yang juga mahasiswa Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, Mohd. Hadi Darus.

Selepas duduk atas pangkin, Musa membuka bekal nasi dalam bungkusan dan menyuapkannya ke mulut Mohd. Hadi, kemudiannya tangan diseluk dalam poket seluar bagi mengeluarkan sapu tangan untuk menyapu mulut ‘anaknya’ itu, sekali gus melontarkan suara jantannya menyampaikan sebuah puisi bertajuk, ‘Anak istimewa kiriman syurga’.

Semasa persembahan seakan-akan bakal berakhir iaitu ketika Musa sedang menolak kerusi roda itu, secara tiba-tiba Mohd. Hadi meminta izin untuk berdoa kepada Allah SWT.

Sambil mengangkat tangan, doa dimunajatkan dengan penuh keikhlasan yang antara lain intipatinya adalah memohon supaya Allah mengampunkan dosa-dosa kedua ibu bapa yang bersusah payah membesarkannya, rakan-rakan dan para guru yang banyak membantu serta mendidiknya. Pada saat ini seluruh dewan seperti kaku, semuanya penuh khusyuk mengaminkannya. Maha Suci Allah!.

OKU Berdoa 3.0 buai minda penonton

Perjalanan program OKU Berdoa 3.0 seperti membawa minda penonton kepada dimensi baharu mengenai OKU, bukannya menjentik perasaan untuk bersimpati dengan kekurangan mereka tetapi sebaliknya menghadirkan kesedaran dalam jiwa bahawa kekurangan bukanlah penghalang untuk menjadi manusia bertakwa.

Apa yang menariknya, setiap persembahan atau sepanjang perjalanan program, penonton turut dibimbing oleh jurubahasa isyarat yang setia menterjemahkan setiap sesuatu yang berlaku di atas pentas.

Persembahan dimulakan dengan Doa Tilawah oleh para pelajar Akademi Faqeh, Doa Rabitah oleh pelajar Akademi Quran Ar-Rayyan iaitu sebuah pusat pengajian al-Quran dan ibadah bagi anak autisme. Kemudiannya disusuli oleh Doa Ibu Bapa oleh pelajar Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Bangi.

Pentas terus menjadi tumpuan apabila tiba masanya seorang ayah, Zailani Ahmad menyampaikan Monolog Ayahanda menceritakan mengenai anaknya, seorang autisme, Ahmad Zahiruddin, 21, yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam masa dua tahun setengah, malah turut menerima anugerah khas Darul Quran baru-baru ini.

Meskipun mempunyai sedikit kekurangan, Ahmad Zahiruddin yang kini pelajar Fakulti Pengajian Quran dan Sunah USIM turut cemerlang melebihi rakannya yang normal semasa belajar di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah memperoleh 4A 1B, Penilaian Menengah Rendah (9A) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (10A 1B). Beliau juga menguasai beberapa bahasa seperti Arab, Inggeris dan kini sedang mendalami bahasa Turki dan Jepun.

Persembahan diteruskan dengan Monolog Bonda yang disampaikan oleh Suhaila Ahmad Akhirudin mengenai anaknya Muhammad Hazman Hakeem Muhammad Rasadan yang didiagnos sebagai anak sindrom down. Ibunya yang memilih untuk berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap anaknya itu tidak pernah menganggap kehadiran anak istimewa itu sebagai beban tetapi sebaliknya sebagai anugerah teristimewa bagi mereka sekeluarga.

‘Hanya Namamu’ adalah lagu yang dipilih oleh kumpulan memiliki suara emas daripada Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) yang menyusul selepas persembahan Suhaila itu.

Seterusnya penonton dihiburkan oleh kumpulan nasyid tanpa suara daripada kumpulan normal, Saf al-Isharah namanya. Kumpulan ini adalah ahli kelab sukarelawan dakwah OKU iaitu Kelab Sahabat Faqeh USIM ([email protected]). Mereka menyampaikan lagu-lagu dan pantomim berunsur dakwah melalui Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) bagi menunaikan keperluan spiritual golongan OKU Pekak.

Kumpulan nasyid tanpa suara pertama seumpamanya dalam kalangan mahasiswa pengajian Islam institusi pengajian tinggi itu bukan sekadar ‘menterjemahkan’ lirik nasyid atau dialog ke dalam BIM tetapi turut diselarikan dengan ekspresi wajah dan lakonan.