Pastinya ramai dalam kalangan kita pernah melalui permasalahan ini. Sehinggakan perkara itu turut pernah disentuh oleh Rasulullah SAW bahawa, akibat terlalu memikirkan dunia dan merasa bimbang dengannya, membuatkan ketenangan serta kebahagiaan hidup akan lenyap.

Ia sebagaimana sabda Baginda maksudnya: “Sesiapa yang keinginan hatinya kuat kepada akhirat, Allah akan memudahkan urusan hidupnya, menjadikan kekayaan (merasa cukup) di dalam hatinya dan dunia akan tetap datang tunduk menyerah kepadanya. Sebaliknya siapa yang hanya dunia menjadi kerisauan, Allah akan menghuru-harakan urusan hidupnya, menjadikan kefakiran (merasa tidak pernah cukup) di hadapan matanya, sedangkan dia tidak juga mendapat habuan dunia selain apa yang telah ditentukan untuknya.” - Riwayat Tirmizi

Sejak kecil lagi minda kita telah diasah, untuk mengecapi hidup bahagia hendaklah mempunyai pekerjaan yang baik, berjawatan tinggi dan mempunyai harta melimpah ruah.

Namun hakikatnya, ramai yang masih kurang menyedari bahawa kesemua nikmat itu bukanlah jaminan sebaliknya bergantung kepada sejauh mana kecenderungan hati dalam mengejar kehidupan iaitu sama ada bermatlamatkan dunia ataupun akhirat.

Menurut apa dinyatakan oleh Rasulullah SAW menerusi hadis tersebut, dilihat terdapat beberapa kesan buruk dalam kehidupan orang yang hanya mementingkan kehidupan dunia dan mengabaikan persiapan untuk kehidupan di akhirat. Antaranya termasuk:

1. Urusan hidup menjadi kelam kabut dan sering bermasalah

  • Hanya memberi tumpuan dan perhatian lebih terhadap urusan dunia semata tidak akan menjamin kelancaran serta kejayaan hidup seseorang Muslim.

2. Sering merasa tidak cukup dan tidak pernah puas

  • Biarpun memiliki kemewahan dan kesenangan, kita masih resah memikirkan apa lagi yang perlu dikejar. Meskipun telah mencapai pelbagai kejayaan dan jawatan tetapi hati masih sarat dengan dengki serta rasa tidak puas hati.

Jiwa seperti ini akan menjerumuskan pelakunya kepada perbagai bentuk kemungkaran seperti menipu, rasuah dan memfitnah.

DUNIA MENGEJAR KITA

Manakala, bagi mereka yang sentiasa menjadikan akhirat sebagai matlamat hidupnya pula akan mendapat jaminan kebahagiaan dan keharmonian hidup di dunia. Antara kesan baik dalam hidup golongan ini ialah:

1. Urusan hidup menjadi mudah dan teratur

  • Semua ini akan diperoleh apabila Allah merahmati hamba-Nya yang mematuhi setiap tuntutan syariat hasil daripada segala tindakannya bermatlamatkan dan mengutamakan akhirat. Ia juga akan menjadikan manusia itu lebih berhati-hati sebelum bertindak. Jika sesuatu yang mengundang dosa dan membawanya ke neraka, dia akan berusaha untuk menghindarinya. Mereka yang memiliki hati sebegini akan mendapat jaminan keselesaan hidup di dunia dan akan dipermudahkan segala urusannya.

2. Sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada

  • Inilah yang dikatakan kaya jiwa. Jiwa yang kaya akan menjadikan seseorang bersifat qanaah (berasa cukup). Sifat inilah mampu menyelamatkan manusia daripada bersifat tamak dan rakus dengan dunia yang merupakan punca segala kemungkaran.