“Dalam satu pengembaraan, satu kaum telah meminta Zulkarnain membina tembok yang boleh membatas atau menghalang Yakjuj dan Makjuj daripada mereka, selain diminta untuk diasingkan daripada kehidupan dunia sejagat.

“Zulkarnain menyempurnakan permintaan kaum tersebut dengan izin Allah apabila membina dinding besar menggunakan zubaral hadid atau seakan logam yang sangat kukuh dan kuat sehingga dapat menahan perubahan cuaca, tidak berkarat dan tidak mudah hancur,” kata penceramah terkenal, Bilal Assad yang bertugas di Persatuan Islam Victoria, Australia.

Anak kelahiran Williamstown, Melbourne dalam satu ceramah itu berkata, Zulkarnain sering kali memakai topi perang dan terdapat ‘dua tanduk’ di atas topi tersebut iaitu simbol seorang raja hebat yang sangat kuat.

Selain dikenali sebagai Muslim sejati, Zulkarnain merupakan seorang raja Muslim yang sangat soleh dan adil, malah diangkat antara raja Muslim yang terbaik pernah wujud di muka bumi lantaran mempunyai kekuatan luar biasa dan kekuasaan sehingga kerajaan miliknya menjangkau hampir ke seluruh dunia.

Kisah Zulkarnain memenjarakan Yakjuj dan Makjuj bermula apabila beliau melakukan pengembaraan menegakkan keadilan dan tiba di sebuah tempat yang Allah SWT sebut dalam al-Quran sebagai ‘hami’ah’ atau keruh, tampak aneh dan berkabut.

Seakan berada di hujung dunia kerana tiada lagi kawasan bertanah dan peradaban di kawasan tersebut, Zulkarnain bertemu dengan sekumpulan manusia yang hampir tidak dapat memahami bahasa normal dan sangat primitif dalam berbahasa.

Namun masyarakat di kawasan tersebut mengetahui bahawa beliau seorang raja kerana diiringi oleh bala tentera semasa melakukan pengembaraan tersebut, lalu meminta beliau menolong mereka kerana Yakjuj dan Makjuj sering melakukan kerakusan dan kerosakan di muka bumi.

“Biarpun mereka itu merupakan kumpulan masyarakat primitif dalam gaya kehidupan, bahasa serta jauh terkebelakang daripada peradaban dunia, namun mereka cuba menyatakan kepada Zulkarnain bahawa terdapat peradaban lain yang jauh lebih terkebelakang dan buruk daripada mereka.

“Bukan sahaja jauh lebih primitif tetapi buruk tingkah laku kerana banyak melakukan kerosakan termasuk membunuh, mencuri dan melakukan kemusnahan. Oleh itu, mereka meminta Zulkarnain membantu mereka untuk menjauhkan Yakjuj dan Makjuj daripada mereka,” katanya.

Maka Zulkarnain membina sebuah tembok yang teguh menerusi proses pemanasan. Tembok tinggi itu bukan sahaja tidak akan runtuh, malah tiada sesuatu yang boleh menjangkau keluar daripadanya.

Malah lebih hebat, tidak ada kaum yang berupaya untuk menghancurkan tembok tersebut dan menakluk kawasan tembok yang dibina oleh Zulkarnain itu.

Penduduk di kawasan tersebut takjub dengan binaan itu, namun Zulkarnain mengajar mereka bahawa tembok itu adalah rahmat Tuhan bagi mencegah mereka daripada kerosakan yang dilakukan Yakjuj dan Makjuj.

Selain itu, Zulkarnain juga mengajar mereka bahawa tembok yang dibina sangat kukuh dan kuat itu tetap akan hancur apabila Allah SWT berkehendak perkara itu terjadi pada suatu hari nanti.

Jelasnya, sehingga sekarang tembok itu berdiri kukuh. Namun ketika janji Allah tiba, Allah juga akan mentakdirkan sesuatu yang akan terjadi sehingga dinding itu hancur dan rata dengan tanah.

Yakjuj dan Makjuj dikurung suatu ketika dari dunia tetapi pada masa tertentu, mereka akan keluar dengan izin Allah. Buat seketika, Allah SWT telah menjauhkan Yakjuj dan Makjuj daripada manusia dan mereka tinggal bersama-sama antara dua kaum itu.

Tambah Bilal, tidak ada sesiapa pun yang berjaya menembusi tembok yang dibina oleh Zulkarnain sejak tempoh itu dan tiada sesiapa pernah sampai ke tempat itu.

“Tetapi jika kamu (hadirin) ingin tahu di mana letaknya tempat tersebut, berdasarkan tafsir yang aku baca, namun Allah yang lebih mengetahuinya, lokasi tembok yang dibina oleh Zulkarnain itu berada di suatu tempat di bahagian utara bumi.

“Laluan menuju ke tembok itu adalah daerah di negara Rusia. Lokasi itu kemungkinan berada di utara negara itu iaitu menuju laluan ke kutub utara. Namun Allah SWT yang lebih mengetahui secara tepat lokasi tembok tersebut,” jelasnya.