Sekiranya ada pihak menyatakan Islam tidak membenarkan berhibur melibatkan bunyi-bunyian, pandangan tersebut adalah kurang tepat kerana ada ulama yang mengharuskan lagu dan muzik dalam kehidupan seharian kerana perkara itu merupakan fitrah manusia.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin berkata, menjadi satu tarikan buat manusia terhadap bunyi-bunyian 
merdu dan indah kerana 
perkara tersebut adalah 
fitrah kejadian manusia itu sendiri.

Katanya, Islam adalah agama yang tidak menafikan sesuatu perkara fitrah sebaliknya meraikannya berlandaskan kepada ketetapan syariat Islam.

“Hiburan, lagu melalui perantaraan keharmonian alatan bunyi dan alunan lirik adalah sebahagian cabang seni yang boleh mempengaruhi jiwa, merangsang semangat serta memberi ketenangan jiwa.

“Namun begitu, fitrah ini memerlukan kepada bimbingan agar tidak menjadi beku atau membuka pintu kepada kelalaian, sekali gus menghanyutkan manusia daripada jalan kebenaran,” katanya ketika merasmikan Seminar Hala Tuju Hiburan dan Lagu Islami di IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd. Zaidi Ismail. Turut diadakan majlis memperkenalkanfinalis Anugerah Nasyid 2017 (AN17).

ISLAM RAIKAN SENI

Mengulas lanjut, Azizan berkata, Islam menghargai seni suara dan lagu yang mempunyai nilai tersendiri terutama dalam membangkitkan semangat.

Sebagai contoh katanya, umat Islam diperintah untuk membaca al-Quran dengan tajwid dan tartil yang betul bagi memastikan alunan suara tepat serta indah, sekali gus mendorong orang lain teruja untuk mendengar kalam Ilahi tersebut di samping memperoleh keberkatan bersama.

Selain itu menurutnya, keindahan seni suara turut diterjemahkan dalam alunan zikir, selawat, kemerduan azan dan tahmid kepada Rabbul Jalil.

“Seni mampu memperindahkan apa yang diungkapkan. Nabi Muhammad SAW tidak menghalang sambutan yang diberikan oleh penduduk Madinah kepada Baginda melalui nyanyian, paluan gendang serta bertepuk tangan bagi menyambut kehadirannya ke kota Madinah.

“Sejarah ketamadunan Islam membuktikan terdapat ramai tokoh Islam terkenal mahir dalam bidang seni bunyi seperti al-Kindi, al-Farabi, Abu al-Farj al-Isfahani. Malah Khalil bin Ahmad dianggap orang pertama menghasilkan kamus muzik yang dijadikan teks rujukan di beberapa buah universiti di Sepanyol,” katanya.

Sehubungan itu katanya, IKIM tidak ketinggalan dalam mencorak industri hiburan lagu Islami menerusi IKIMfm dan sokongan dalam beberapa saluran seni hiburan lain.

Jelasnya, menerusi tema ‘Hiburan Mendidik Jiwa’, bukan sekadar hiburan kosong tetapi sesuatu yang bermanfaat dan berupaya mendidik masyarakat tentang aspek-aspek positif.

“Kita memberi definisi baharu untuk lagu-lagu dalam genre nasyid dan tidak lagi tertumpu kepada lagu seperti yang pernah dihasilkan pada tahun 60-an atau 70-an. Sebaliknya memainkan lagu kontemporari yang mempunyai mesej dakwah dan ketuhanan serta mengajak ke arah nilai-nilai murni sejagat.

“Dari segi rentak dan melodi, kita juga telah menerima rentak yang pelbagai dan kontemporari, sesuai dengan peredaran zaman serta trend semasa selagi mana lagu tersebut tidak melampau,” katanya.