Gelombang getaran itu dihantar ke ribuan sel rerambut yang kemudiannya menghantar isyarat elektrik itu ke otak melalui saraf khas untuk mentafsirkan bunyi berkenaan.

“Namun, manusia ada had pendengaran sebagaimana yang tercatat dalam Surah al-Furqan:2 bermaksud:” ...dan Dia telah menciptakan segala sesuatu, dan Dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya.”

“Dengan kata lain, setiap struktur (manusia, meja, kerusi, kereta dan lain-lain) mempunyai frekuensi tabii tersendiri dan jika sesuatu bunyi itu selari dengan frekuensi mana-mana struktur, maka ia akan ‘menari’,” kata Prof. Madya Dr. Nordin Jamaludin.

Pensyarah di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk, ‘Pemantapan Tauhid Menerusi Rahsia Bunyi’ pada seminar Bicara Rahsia Tauhid Sains Teknologi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Tambah Nordin, contohnya boleh dilihat dalam kejadian menimpa kaum Tsamud (era Nabi Hud) yang mati bergelimpangan sedangkan bangunan ciptaan mereka masih tersergam sehingga hari ini.

Kisah tersebut tercatat dalam Surah Hud:67 bermaksud: “Dan satu tempikan suara yang menggempakan bumi menimpa orang yang zalim itu, lalu mereka mati bergelimpangan di rumahnya.”

Bagi beliau, ciri-ciri tempikan suara itu mempunyai frekuensi menyamai frekuensi tabii manusia yang menghasilkan getaran maksimum sehingga menyebabkan kecederaan amat teruk pada organ dalaman kaum itu.

“Bangunan binaan kaum itu masih ada sebab frekuensi tabii bangunan itu jauh lebih tinggi berbanding tabii tempikan itu,” katanya.

HEBATNYA TULANG SULBI

Seorang pengamal perubatan fisioterapi, Dr. Shamsul Azhar Mahmood semasa membentangkan kertas kerjanya, ‘Makna Tauhid Pada Tulang Belakang’ menyentuh aspek tulang sulbi yang terletak paling hujung tulang belakang.

Katanya, terdapat beberapa kajian sama ada oleh saintis Muslim atau bukan Islam menunjukkan persamaan ketara dengan apa yang disebut oleh al-Quran.

“Walaupun kecil tetapi ia berperanan besar bagi pertumbuhan jasad manusia, sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim iaitu:

“Semua bahagian tubuh anak Adam akan dimakan tanah kecuali tulang sulbi yang daripadanya ia mula diciptakan dan daripadanya dia akan dibangkitkan,” katanya.

Shamsul Azhar memberitahu, ia menyamai penemuan oleh seorang pakar embriologi dari Jerman, Hans Spemann (1869-1941) dan rakan-rakan bahawa benang dan simpulan pemula (yang bertanggungjawab menciptakan seluruh sistem janin manusia) berasal daripada tulang sulbi.

“Seorang doktor dari Yemen, Dr. Utsman Jilan dalam kajiannya telah membakar lima tulang sulbi kambing menggunakan senjata gas perang sehingga menjadi arang.

“Hasil kajian di makmal dan mendapati bahawa sel-sel tulang sulbi itu tidak langsung terpengaruh oleh api yang sangat panas itu,” katanya.