Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kebumikan aku dengan tongkat itu!

KAWASAN di kaki Bukit Uhud yang pernah menyaksikan kekalahan pertama 2
KAWASAN di kaki Bukit Uhud yang pernah menyaksikan kekalahan pertama tentera Islam di tangan tentera kafir Quraish.

SEGAR lagi dalam ingatan pada tahun 1995, Datuk Wan Muhammad Syeikh Abdul Aziz (bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau Jakim) mengajar kelas kami. Pada masa itu, beliau adalah Pengarah Institut Pengajian Tahfiz al-Quran iaitu nama lama Darul Quran, Jakim.

Beliau menceritakan kisahnya bertemu dengan Pak Rashid seorang lelaki dari Padang, Sumatera di sebuah restoran milik lelaki itu. Dengan terharu, lelaki itu menceritakan kenangan manis paling berharga buat dirinya adalah diziarahi ulama tersohor Nusantara yang turut berasal dari Sumatera iaitu Prof Dr. HAMKA.

Dalam pertemuan itu, HAMKA menasihatinya dengan kalam hikmah yang sangat tinggi nilainya:

“Jangan hanya leka mencari rezeki tetapi lupa Yang Maha Memberi rezeki.”

Ternyata nasihat Buya HAMKA itu sangat seiring dengan firman Allah ini:

“(Ibadat itu dikerjakan oleh) lelaki (beriman) yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan,” (al-Nur [24:37]).

Buya HAMKA juga menghadiahkan Pak Rashid novelnya yang terkenal, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Ternyata hadiah itu sangat dihargai Pak Rashid dan ia masih elok disimpan walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu. Wan Muhammad kemudiannya meminjam novel itu dan langsung menghabiskannya pada malam itu menjelang subuh. Tertarik dengan kenangan itu, saya juga turut mencari novel itu dan merasai peritnya jiwa seorang lelaki bernama Zainuddin yang digambarkan oleh Buya HAMKA dalam karyanya itu.

Subhanallah! Itu baru sebuah pertemuan dan pemberian berharga antara HAMKA dan Pak Rashid, bagaimana agaknya jika hadiah kenangan itu datangnya daripada manusia paling mulia di alam semesta ini iaitu Rasulullah SAW?

Bertitik daripada kisah guru saya itu, saya ingin berkongsi kisah menarik seorang sahabat Rasulullah SAW yang mahukan tongkat pemberian Baginda dikebumikan bersamanya. Beliau adalah Abdullah bin Unays r.a. 


BERMULANYA 
KISAH HEBAT


Selepas perang Uhud Rasulullah SAW melalui tempoh yang sukar. Musuh Islam melihat kekuatan umat Islam semakin merosot berikutan kekalahan dalam perang itu.

Sampai berita kepada Baginda bahawa Khalid bin Sufyan al-Hudhali (ketua kabilah Hudhayl yang sangat berpengaruh) berhasrat mengumpulkan kekuatan tentera untuk memerangi Madinah.

Baginda lalu menghantar Abdullah bin Unays r.a. untuk membunuh Khalid di Uranah (sebuah tempat berhampiran Arafah). Oleh kerana Abdullah tidak mengenali Khalid, baginda SAW memberi petanda kepada Abdullah:

“(Cara mengenal Khalid adalah) apabila kamu melihatnya, bulu-bulu romamu akan berdiri tegak (kerana kehebatan fizikal dan karisma Khalid),” - Musnad Ahmad.

Ketika melihat Khalid di Uranah, Abdullah benar-benar merasai seperti apa disifatkan Baginda. Pertemuan antara Abdullah dan Khalid berlaku pada penghujung waktu asar. Abdullah risau pergelutannya dengan Khalid akan menghabiskan waktu asar sebelum sempat dia solat. Berikutan itu, Abdullah mendirikan solat dengan isyarat kepalanya (bagi pergerakan sujud dan rukuk). Cara solat ini memang disebut dalam al-Quran:

“Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya,” (al-Baqarah [2:239]).

Ketika berada hampir dengan Khalid, Abdullah berpura-pura mahu mengikut Khalid dalam rancangannya mengumpulkan kekuatan tentera bagi menyerang Rasulullah SAW. Khalid mulai percaya cakap Abdullah dan ketika Khalid leka, Abdullah berjaya membunuhnya (Musnad Ahmad).

Kejayaan Abdullah dipuji oleh Rasulullah SAW dan Baginda menghadiahkan sebatang tongkat kepadanya.

Abdullah bertanya apa hikmah di sebalik hadiah tongkat itu. Baginda pun bersabda:

“Abdullah bin Unays bertanya: “Wahai Rasulullah, mengapa Tuan memberiku tongkat ini?” Rasulullah menjawab: “Ia menjadi tanda antara kita berdua pada hari kiamat kelak,” (Musnad Ahmad).

Selepas peristiwa itu, Abdullah tidak pernah berpisah daripada tongkat itu. Beliau meletakkan tongkat itu bersama pedangnya. Ia membuktikan cinta luar biasa Abdullah terhadap Baginda.

Pada hari kematiannya, tongkat itu turut dikafankan bersamanya.

Subhanallah! Sungguh dalam cinta Abdullah kepada Rasulullah SAW. Dia mahu apabila bangkit di Mahsyar kelak, tongkat itu menjadi penghubung erat antaranya dan Baginda. 


CARA UNTUK TURUT MENDAPAT ‘TONGKAT’


Aduhai! Kita semua sudah jauh daripada zaman Baginda SAW. Kita juga tidak bernasib baik mendapat hadiah kenangan daripada Baginda dalam bentuk tongkat, pedang, selipar atau jubah. Pun begitu, kita masih memiliki warisan lain daripada baginda iaitu al-Quran dan al-Sunah sebagai tanda kenangan.

Percayalah! Jika kita teguh menghayati kedua-duanya, hidup kita akan sentiasa dibimbing Allah. Andaikan sahaja kedua-duanya itu sebagai “tongkat kenangan” daripada Rasulullah SAW untuk kita.

Hayatilah firman Allah ini:

“Katakanlah lagi (kepada mereka): “Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah. Kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Rasulullah hanya bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepadanya, dan kamu pula bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepada kamu. Dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk;” dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata,” (al-Nur [24:54]).

Ayuh kita sama-sama berdoa agar bersama dengan Baginda di akhirat kelak:

“Ya Allah! Kami mohon pada-Mu kebersamaan dengan nabi kami SAW dalam syurga yang tertinggi lagi kekal.”

Artikel Berkaitan
Video Terkini
Video Pilihan
Artikel Lain