Kelebihan itu, kata Imam Pusat Komuniti Muslim Colorado (Dar Al Tawheed), Amerika Syarikat, (AS), Karim Abu Zaid, ada tertulis dalam banyak buku karangan ulama Islam tersohor sebelum ini.

Antara buku yang beliau gemari adalah hasil tulisan Ibnu Aqil berkenaan kuasa jin. Dalam buku itu, ulama Islam tersebut mengakui bahawa manusia tidak akan nampak makhluk ciptaan Allah SWT itu.

“Ibnu Aqil tulis, manusia berlawan dengan makhluk yang tidak dapat dilihat. Jadi, untuk mencapai kemenangan, kita juga perlukan kuasa yang tidak nampak, iaitu kuasa Allah,” katanya dalam siri ceramahnya yang dipetik dari laman web rasmi iLovUAllah, baru-baru ini.

Ikuti temu bual bersama beliau:

Boleh Imam jelaskan lebih lanjut tentang perkara ini?

Karim Abu Zaid - Satu kisah diceritakan oleh al-Hassan al-Basri berkenaan penduduk di sebuah bandar yang begitu khusyuk menyembah sebatang pokok. Pada pemikiran mereka, pokok itu mempunyai kuasa hebat.

Dalam khusyuk itu, ada seorang penduduk melihat perbuatan tersebut sebagai satu dosa dan bertentangan dengan pegangan hidupnya iaitu meraikan perkara baik dan menentang kejahatan.

Jadi, dia mula memikirkan cara terbaik untuk menamatkan kesesatan itu tanpa mewujudkan sebarang konflik antara dia dengan penduduk bandar berkenaan.

Apa yang dia fikirkan?

Karim Abu Zaid - Cara terbaik adalah menebang pokok tersebut pada waktu malam, ketika semua penduduk bandar berkenaan sedang nyenyak tidur.

Apabila keesokan harinya, dia akan tampil sambil menyatakan bahawa pokok berkenaan bukan Tuhan kerana tidak berupaya mempertahankan diri sendiri.

Jadi, pada malam kejadian itu, pemuda tersebut mengambil kapak sebelum berjalan menuju ke arah pokok tersebut dan apabila sampai, ada makhluk menegurnya.

Siapa yang menegurnya?

Karim Abu Zaid - Jin (syaitan) berupa manusia menegurnya dengan bertanya apa yang ingin dia lakukan. Pemuda tersebut memberitahu tujuannya dan sudah pasti, syaitan membantah tindakan itu, tetapi dia bertegas dengan pendiriannya.

Keadaan menjadi tegang sehingga membawa kepada pergaduhan, tetapi akhirnya dimenangi oleh pemuda tersebut. Oleh kerana sifat syaitan yang tidak pernah mengaku kalah, syaitan menggunakan cara lain iaitu memusnahkan karakter pemuda itu.

Bagaimana syaitan melakukannya?

Karim Abu Zaid - Dalam suasana kekalahan itu, syaitan tersebut mula memujuk pemuda itu dengan menyatakan bahawa penduduk bandar itu telah sesat. Syaitan katakan bahawa mereka sudah melakukan dosa syirik dan biarlah Allah membalas perbuatan tersebut.

Pada masa sama, syaitan mencadangkan kepada pemuda itu agar melipatgandakan ibadat kepada-Nya agar terus berada di jalan lurus dan tidak terikut-ikut dengan perbuatan syirik tersebut.

Setakat itu, sahaja usaha syaitan tersebut?

Karim Abu Zaid - Syaitan tampil lagi dengan satu cadangan lain iaitu, ia bukan hanya menyarankan pemuda tersebut membiarkan pokok dan aktiviti syirik penduduk bandar berkenaan serta pulang ke rumahnya.

Bahkan, syaitan berjanji untuk menggugurkan tiga keping duit emas setiap hari di rumah pemuda berkenaan supaya dia tidak perlu bekerja dan menyara keluarganya lagi.

Terpedayakah pemuda itu?

Karim Abu Zaid - Cadangan itu diterima oleh pemuda berkenaan dan pada malam pertama, dia memperoleh tiga keping duit emas tetapi malangnya, ia tidak berlaku pada malam kedua.

Jadi, pemuda tersebut memutuskan untuk kembali memotong pokok berkenaan, tetapi apabila sampai di pertengahan jalan, syaitan yang sama menegurnya dan dia memberitahu tujuannya itu.

Syaitan membantah tujuan pemuda itu sehingga berlaku pergaduhan antara mereka. Kali ini, syaitan memenangi perlawanan tersebut, dan ini menimbulkan rasa kehairanan kepada pemuda berkenaan.

Apakah sebabnya?

Karim Abu Zaid - Pemuda itu bertanya kenapa dia boleh kalah dan syaitan tersebut menjawab bahawa pusingan pertama, pemuda itu menang kerana tujuannya menebang pokok semata-mata kerana Allah.

Tetapi pada pusingan kedua, pemuda itu kalah kerana tujuan dia menebang pokok sebab duit emas dan bukan lagi kerana-Nya.

Justeru, pengajaran dalam kisah ini adalah jin atau syaitan memang ada kuasa tetapi kuasa itu bila berdepan dengan Allah, ia sebenarnya kosong.