Namun dari sisi lain, terdapat golongan yang memendam hasrat tersebut sekian lama dan perlu menabung bertahun-tahun sehingga lanjut usia untuk mencapai impian tersebut.

Keadaan itulah yang dialami rata-rata golongan asnaf terutama fakir dan miskin di negara ini. Apa tidaknya, sedangkan sesuap nasi memerlukan belas ihsan pihak lain, apatah lagi mengumpul sejumlah wang untuk menyempurnakan ibadah di lokasi tumpuan umat Islam seluruh dunia tersebut.

Berpeluang menyelami perasaan peserta Umrah Rangkulan Kasih Andalusia Travel & Tour Sdn. Bhd. (Andalusia Travel) memberi gambaran sebenar kesukaran yang dihadapi golongan kurang berkemampuan itu terutama dalam aspek kewangan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Menyimpan hasrat sejak usia muda, Khairudin Daing Murad, 71, berkata, sehingga kini dia masih tidak mampu untuk ke Tanah Suci walaupun mengumpul duit bertahun-tahun lamanya.

Bapa tunggal yang kini hidup sendirian dengan mengharap bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat Majlis Agama Islam Negeri Johor itu bagaimanapun tidak pernah putus berdoa agar diberi peluang melaksanakan ibadah tersebut.

“Bukan baru, sudah bertahun-tahun pak cik berdoa untuk ke Mekah, jika tidak haji, umrah. Dalam masa sama, baki wang sumbangan yang diperoleh setiap bulan pak cik simpan sedikit untuk buat kos belanja ke sana.

“Malangnya, sampai hari ini pun dengan jumlah yang ada masih tidak cukup untuk pak cik pergi. Jika tanpa bantuan program ini, tidak tahu sempat atau tidak pak cik ke Tanah Suci,” katanya.

Khairudin berkata demikian ketika ditemui pada majlis Perasmian Program Umrah Rangkulan Kasih sumbangan Andalusia Travel dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.

Perasmian disempurnakan oleh Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Rashidi Hasbullah. Yang turut hadir Pengarah Urusan Andalusia Travel, Ibrahim Mat Sin; Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel, Datuk Md. Daud Che Ngah, dan Ketua Pengarah JKM, Mohd. Fazari Mohd. Salleh.

Program memberi peluang kepada asnaf terdiri daripada golongan tidak berkemampuan untuk menunaikan umrah pada 10 malam terakhir Ramadan bermula 2 Jun lalu sehingga 14 Jun ini.

Pada program itu, seramai 138 asnaf berkelayakan dipilih yang juga merupakan penerima bantuan JKM dan Penghuni Institusi Warga Emas JKM berusia antara 55 sehingga 74 tahun.

BAGAIKAN MIMPI

Mengulas lanjut, Khairudin berkata, ibarat mimpi, dia tidak sesekali terfikir terpilih dalam kalangan jutaan umat Islam di negara ini untuk menunaikan umrah secara percuma.

“Ketika wakil daripada JKM datang ke rumah untuk menghantar surat tawaran ini, pak cik tidak percaya atau mungkin mereka tersalah orang. Apa tidaknya, pak cik tidak pernah mengisi apa-apa borang menunaikan umrah.

“Namun setelah dibuktikan semua dokumen betul, pak cik sangat bersyukur kepada Allah SWT dan juga penaja yang sudi membantu pak cik serta peserta lain tidak berkemampuan seperti kami ini menunaikan umrah di Tanah Suci,” katanya.

Sementara itu, bagi Norsiah Kasim, 59, tidak terungkap rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana memperkenan doanya selama ini untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Mak cik sangat terkejut bercampur gembira, tidak sangka hajat mak cik untuk menunaikan haji dibukakan oleh Allah menerusi program ini. Walaupun hanya menunaikan umrah, tetapi mak cik sangat bersyukur dan berdoa mudah-mudahan Allah mengurniakan ganjaran setimpal kepada penaja.

“Mak cik mengalami sakit jantung, sukar untuk bekerja. Dalam keadaan sekarang, bukan mahu hidup senang, keperluan harian pun hanya ala kadar, inikan pula mengumpul sejumlah wang,” katanya.

Berasal dari Johor, Norsiah yang merupakan ibu tunggal mengakui berbekalkan wang simpanan dan bantuan sebanyak RM150 daripada JKM, mustahil untuknya mengumpul peruntukan ke Tanah Suci.

Memasuki tahun ketiga, Umrah Rangkulan Kasih adalah antara program tanggungjawab sosial korporat Andalusia Travel bagi membantu golongan tidak berkemampuan menunaikan impian ke Tanah Suci.

Pengarah Urusan Andalusia Travel, Ibrahim Mat Sin berkata, berasal daripada keluarga miskin, program tercetus berikutan hajatnya untuk membawa ibu dan bapanya menunaikan umrah yang tidak kesampaian.

“Sejak dari dulu lagi saya ingin menghantar ayahanda dan bonda menunaikan umrah, namun dengan pendapatan tidak seberapa ketika mula bekerja dahulu, ia mengambil masa agak lama. Sehinggalah kedua-dua mereka meninggal dunia sebelum saya sempat menunaikan hajat itu.

“Oleh itu, setiap tahun saya terkenang peristiwa itu dan daripada itulah saya terfikir untuk mengadakan program ini bagi menunaikan hajat saya terhadap ibu bapa yang tidak kesampaian. Saya menganggap semua jemaah ini umpama ayahanda dan bonda saya sendiri,” katanya.

Bukan ganjaran yang diminta, namun beliau berharap menerusi program itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta untuk menunaikan umrah dengan penuh keimanan dan memperoleh umrah yang mabrur.

“Kita menyediakan seramai 28 sukarelawan yang terdiri daripada 17 wakil agensi kerajaan terlibat dan 11 pembimbing Andalusia Travel menyertai program ini untuk mengiringi peserta dan membantu mereka menunaikan umrah sepanjang program ini.

“Ini menjadikan purata sukarelawan yang akan membantu peserta adalah antara empat dan lima sukarelawan bagi setiap bas. Jemaah tidak perlu bimbang keadaan mereka di sana,” katanya.