Bagi yang menyokong penolakan ini terutama dalam kalangan umat Islam rata-ratanya meletakkan faktor agama sebagai timbangan. Faktor agama ini bukanlah dikhususkan kepada agama Islam sahaja tetapi tiada satu agama pun menganjur penganutnya untuk meminum arak atau mabuk.

Antara faktor lain yang menjadi pertimbangan ialah keselamatan dan kesihatan. Jika pesta yang dicadangkan ini dibenarkan apakah jaminan pengunjung tidak akan mabuk dan mengganggu keselamatan awam. Meminum minuman memabukkan juga bukanlah suatu yang baik dari sudut kesihatan.

Dalam kalangan yang tidak bersetuju penolakan ini pula mempertikai keputusan tersebut atas faktor hak. Mereka juga mengatakan hak kaum minoriti dan agama minoriti terjejas dengan pengharaman ini.

Malah mereka juga dengan tuntas menjelaskan pesta ini tidak dianjurkan untuk orang Islam kerana ia hanya melibatkan orang bukan Islam sahaja.

Sebagai seorang beragama Islam dan rakyat Malaysia yang patuh kepada undang-undang berkuat kuasa, saya menyokong sepenuhnya penolakan ini. Faktor agama yang disebutkan di atas menjadi tunjang kepada pendirian ini.

Seksyen 19 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 menjelaskan, bukan sahaja meminum arak bagi orang Islam merupakan suatu kesalahan tetapi juga melibatkan perbuatan membuat, menjual, menawarkan atau mempamer untuk jualan, menyimpan atau membeli minuman yang memabukkan.

Oleh itu dapatkah pihak penganjur memberi jaminan umat Islam tidak terlibat dalam apa jua peranan yang dinyatakan dalam seksyen tersebut?

Kalangan mereka yang mendakwa terdapat penindasan kaum minoriti akibat penolakan ini juga nampaknya berselindung sekali lagi bawah agenda hak asasi manusia.

Persoalannya adakah undang-undang tidak boleh mengambil tempat bagi mengelak perlakuan jenayah atau mencegah pecah keamanan? Sudah pasti antara objektif undang-undang bagi menjamin keselamatan masyarakat dan disebabkan inilah penolakan tersebut dikuatkuasakan.

TIADA AGAMA GALAK MINUM ARAK

Penindasan terhadap hak beragama yang digembar-gemburkan sebenarnya hanyalah suatu falasi (kesesatan dalam berfikir) sahaja. Saya tidak dapat mencari nas-nas agama bukan Islam yang menganjurkan meminum arak secara terbuka dan berpesta.

Namun sekiranya orang bukan Islam masih mahu meminum arak, minumlah di tempat persendirian atau yang diluluskan undang-undang. Tiada siapa yang akan menyekat.

Namun sekiranya meminum arak dibuat secara besar-besaran dengan mengadakan pesta, sudah pasti ia akan memberi suatu isyarat negatif kepada negara khususnya Malaysia adalah sebuah negara Islam yang sangat dihormati di mata dunia.

Malah kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan akan dimomokkan serta tidak diberikan erti yang sebenar. Sebuah negara Islam wajib menjamin hak warganya sama ada sebagai minoriti atau majoriti. Hak beragama sangat diberikan perhatian di dalam sebuah negara Islam.

Dalam masa sama hak ini sudah pasti tidak boleh menjejaskan struktur asas Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan malah diperkukuh lagi dengan sumpah Yang Di Pertuan Agong memelihara Islam pada setiap masa seperti yang wujud dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

Saya sangat musykil dengan hujah pihak tertentu mengatakan meminum arak bukan untuk orang Islam dan oleh demikian, orang Islam tidak perlu campur tangan dalam penganjuran pesta arak ini.

Pesta tersebut tidak melibatkan orang Islam. Secara teori mungkin ada benarnya namun secara praktikal sudah pasti penganjuran pesta ini tidak dapat dijayakan tanpa peranan orang Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Ironinya tidak lama dahulu hangat dibahaskan isu Pindaan Akta 355. Ketika kita berhujah bahawa akta ini hanya terpakai kepada orang Islam sebagaimana peruntukan yang jelas dalam undang-undang, namun orang bukan Islam mengatakan mereka masih berhak campur tangan.

Walau bagaimanapun dalam isu pesta arak ini umat Islam disuruh diam sahaja kerana dikatakan tidak melibatkan orang Islam. Jelas terdapat dua parameter yang berbeza tentang pendekatan mereka.

Mereka boleh mencabar isu-isu berkenaan agama Islam tetapi apabila isu mereka umat Islam lantang disuruh berdiam diri.

HORMATI UNDANG-UNDANG

Apapun bagi saya kita semua perlulah menghormati undang-undang yang berkuat kuasa. Setiap hak diberikan undang-undang mempunyai hadnya.

Dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia kita perlu sensitif dengan persekitaran dan orang lain khususnya apabila menyentuh hal ehwal agama.

Pengharaman pesta arak bukanlah bermaksud orang bukan Islam tidak dibenarkan meminum arak, tetapi kawalan hanya dikenakan bagi meminum arak di tempat terbuka secara besar-besaran.

Sebenarnya di serata dunia pelbagai negara telah pun melaksanakan kawalan terhadap meminum arak ini. Sudah menjadi norma di banyak negara membuat peraturan mengawal penjualan arak melalui lesen tertentu, larangan anak bawah umur membeli arak dan banyak lagi.

Walaupun kaedah kawalan ini berbeza antara satu negara dengan negara yang lain namun rasionalnya adalah sama. Arak tidak boleh diminum secara berleluasa kerana dikhuatiri akan merosakkan masyarakat.

Kawalan peminuman arak adalah suatu keperluan. Saya juga memohon agar negeri-negeri lain tidak memberi kebenaran pesta arak ini.

Jika merokok di premis awam boleh dilarang kenapa tidak meminum arak di tempat awam?