Menunaikan hak kepada Allah rasanya mungkin lebih mudah berbanding menunaikan hak kepada manusia, lebih-lebih lagi hak-hak wajib buat umat Islam.

Bagi penulis, hak kepada manusia begitu berat untuk dilunaskan sepenuhnya. Tanpa disedari, pelbagai kesalahan dilakukan dan mengguris hati sahabat seagama.

Hati manusia mudah tersentuh. Hanya sekecil perkara, manusia akan mudah terasa. Berbekas di hati. Sekiranya tidak dipujuk dan memohon kemaafan, maka musnahlah sebuah perhubungan persahabatan biarpun telah dibina sekian lama sejak dari kecil.

Malah ketika berjenaka atau bersuka ria, terkadang ada pula hati yang terguris tanpa disedari. Niat hendak berlawak, tidak disangka bertukar menjadi angkara.

Begitu sukar untuk menjaga hati sahabat atau jiran tetangga. Tambahan pula sekiranya mereka tergolong dalam kalangan insan berjiwa sensitif. Itulah sifat manusia. Tidak semua yang kita sangka baik bagi diri kita tetapi sebenarnya tidak pula buat si sahabat terutama yang baru mengenal hati budi.

Maka berusahalah sebaiknya untuk menjaga tutur kata. Agar tiada pihak yang ‘tersentap’ tanpa diduga. Jika disedari kesilapan yang telah dilakukan, segeralah hulur kemaafan.

Pepatah ada menyebut, ‘tidak akan hilang bisa ular menyusur akar’. Manusia yang hebat adalah mereka yang sentiasa memohon kemaafan. Bukan sahaja darjat di sisi Allah akan menjadi lebih mulia, malah itu yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Selain menjaga lidah, kita sebagai umat Islam diajar untuk berhati-hati dalam setiap tingkah. Setiap apa yang ditonjolkan, maka itulah keperibadian diri kita.

Daripada Abdullah bin Amr bin Ash r.a., katanya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, “Orang Islam bagaimanakah yang paling baik? Jawab baginda: “Ialah orang yang menjaga orang Islam lainnya daripada bencana lidah dan perbuatannya,” - Riwayat Muslim.

Diamati sepenuhnya pesanan penting tersebut, Rasulullah mengingatkan umat Islam agar sentiasa berusaha menjaga lidah dan seluruh anggota badan lain pada setiap masa untuk tidak menyakiti insan lain.

Selain dilarang mengadu domba atau menyebar fitnah, umat Islam juga disaran menjaga aib kenalannya atau lebih tepat sedaya upaya mempertahan maruah diri sahabat handai.

Berbuat baik dan saling bantu membantu. Sebarang kekurangan dan kesulitan, dibantu sebaiknya dengan penuh ikhlas. Jangan mengharapkan balasan kembali daripada mereka. Biar Allah sahaja membalas jasa baik yang telah dihulurkan.

Jika jiran ditimpa ujian atau berhadapan masalah kesihatan, ringan-ringankan tulang untuk menziarahi. Mungkin hari ini nasib mereka, mungkin esok-esok hari kita pula. Dunia ini bulat.

Yang penting, ikhlaskan hati. Tiada apa yang dikejar di dunia fana ini melainkan bertakwa dan beriman kepada-Nya. Dunia ini hanya pinjaman semata-mata. Jangan lalai dihiburkan kenikmatan sementara. Akhirat jua yang abadi. Wallahu ‘Alam.