Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Karakter bangsa yang hilang

JEPUN berjaya muncul antara negara termaju kerana rakyatnya amat
JEPUN berjaya muncul antara negara termaju kerana rakyatnya amat mementingkan budaya itqon iaitu bersungguh-sungguh dalam menunaikan amanah yang diberikan. GAMBAR HIASAN

APABILA membincangkan masalah dihadapi bangsa Melayu dewasa ini, ada sesuatu yang terasa ‘menyesakkan’ dada. Antaranya, persoalan persatuan dan kesatuan bangsa. Sebagai bangsa teras kepada entiti bernama Malaysia, bangsa Melayu patut memberi teladan kepada yang lain sebagai bangsa teguh, bersatu padu, mantap dan tidak mudah diadu domba oleh pihak berkepentingan yang ingin menyaksikan bangsa ini tercerai-berai.

Sesungguhnya bangsa Melayu diberikan amanah oleh Allah SWT sebagai khalifah yang memerintah negara ini. Namun, takdir juga yang menentukan sehingga ke hari ini, bangsa Melayu tidak boleh bersatu dan asyik berbalah sesama sendiri.

Persoalannya, sampai bila perpecahan ini akan terus berlaku? Adakah hingga perlu menunggu satu malapetaka dan bencana bagi menginsafkan pemimpin dan rakyat terhadap bahaya perpecahan yang seolah-olah tiada berkesudahan ini?

Hakikatnya, perkara inilah yang dikatakan oleh pakar tafsir terkemuka Quraish Shihab sebagai tanda-tanda hilangnya karakter sesebuah bangsa yang unggul. Menurut beliau, persatuan dan kesatuan umat merupakan prasyarat utama tertegaknya umat yang hebat dan unggul. Hal ini berdasarkan oleh kenyataan bahawa bangsa terpecah belah tidak boleh bertahan menghadapi segala rempuhan cabaran yang timbul. Syarat utama keunggulan satu bangsa terletak pada elemen kemantapan persatuannya.

CIRI-CIRI BANGSA UNGGUL

Dalam al-Quran kerap kali mengingatkan mustahaknya persatuan dan kesatuan umat seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar,” (Surah al-Anfal: 46).

Dalam al-Quran, istilah yang hampir dan sepadan dengan makna bangsa ialah umat. Menurut Raghib al-Asfahani dalam karyanya al-Mufradat fi Gharib al-Quran, istilah umat merujuk kepada satu kumpulan manusia yang berkumpul atas landasan agama, waktu dan tempat sama, dilakukan secara terpaksa mahupun secara sukarela atas kehendak mereka sendiri.

Meskipun al-Quran tidak secara khusus memaksudkan umat sebagai bangsa seperti yang difahami dalam konteks moden, namun secara asasnya al-Quran tidak menentang ideologi kebangsaan. Oleh sebab itu, dalam al-Quran, istilah umat dalam bentuk tunggal dinyatakan sebanyak 52 kali dan dalam bentuk jamak disebut sebanyak 12 kali.

Selain persatuan dan kesatuan, karakter bangsa unggul ialah memiliki:

1. Nilai-nilai luhur yang disepakati

  • Kontrak sosial yang menjadi pegangan setiap kaum dalam merumuskan ‘wajah’ negara sebelum kemerdekaan, boleh diiktiraf sebagai dokumen sejarah yang menjadi asas dan kesepakatan bersama terhadap nilai-nilai luhur.
  • Bersatu atas nilai teras menuju titik yang sama dan menunaikan semua program serta agenda secara bersama.
  • Nilai-nilai itu berperanan sebagai penapis kepada nilai lain yang datang dari komuniti luar.
  • Semakin luas kesepakatan itu, semakin mantap dan kukuh pula persatuan serta semakin besar peluang menciptakan bangsa yang unggul.

2. Kerja keras dan disiplin

  • Al-Quran sangat memuji manusia yang mempunyai etos kerja tinggi untuk kehidupan dunia dan diseimbangkan dengan persiapan akhirat.
  • Ia perlu diusahakan dengan penuh kesungguhan disertai iman yang mantap kerana iman bukan sekadar ucapan tetapi dibuktikan dengan pengamalan.
  • Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain). Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon,” (Surat Ash-Sharh: ayat 7-8).
  • Ayat ini memberi petunjuk bahawa setiap manusia perlu sentiasa memiliki kesibukan yang positif. Apabila menyelesaikan satu pekerjaan, maka perlu memulai dengan pekerjaan lain.

3. Kepedulian yang tinggi

  • Ciri ini tidak hanya berkaitan dengan kefahaman dan penghayatan prinsip agama tetapi kepedulian terhadap keperluan asas masyarakat.
  • Peduli juga terhadap nilai-nilai budaya tidak bertentangan dengan kemaslahatan umat. Semua orang dapat mengambil peranan ini selama mana mereka merasai penderitaan orang lain.

            Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Siapa yang tidak peduli urusan umat Islam maka dia bukanlah bahagian daripada mereka.”

4. Kesederhanaan (Wasatiyyah) dan berfikiran terbuka

  • Karakter umat terpilih ini diistilahkan dalam al-Quran sebagai ‘la syarqiyyah wa la gharbiyyah’.
  • Istilah ini membawa pengertian manusia dituntut untuk bersikap di tengah, berada antara dua posisi ekstrem.
  • Sikap wasatiyah yang menjadi slogan dan dasar rasmi kerajaan, menjemput umat untuk saling berinteraksi, berdialog dan terbuka dengan semua pihak tanpa mengira kaum, agama, budaya dan peradaban.
  • Keunggulan masyarakat Islam masa lampau antara lain kerana sikap keterbukaan mereka menerima apa yang baik dari mana pun datangnya. Ia selari dengan ucapan cendekiawan, ’unzur ila al-maqal wa la tanzur ila man qala’ (lihatlah kepada kandungan ucapan dan jangan lah melihat siapa yang mengucapkan).

5. Sedia berkorban

  • Keperluan manusia tidak dapat dipenuhi kecuali dengan kerjasama bersama semua pihak. Manusia harus saling tolong menolong demi mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan.
  • Kerana itu, tercetuslah sikap mementingkan diri bagi mencapai keperluan masing-masing dan ini antara punca persengketaan dan permusuhan.
  • Bagi mengelak berlakunya konflik, setiap orang dituntut untuk berkorban mengetepikan sikap mementingkan diri demi kepentingan orang ramai.
  • Pengorbanan ini menjadi benih melahirkan akhlak mulia yang mana tanpanya kewujudan bangsa tidak akan dapat ditegakkan.

6. Teguh, lasak menghadapi cabaran dan dugaan.

  • Masyarakat yang teguh ialah tidak mengorbankan harga diri atau nilai-nilai yang dianuti demi membolot kepentingan duniawi.
  • Bangsa unggul juga tidak mudah menyerah kalah semasa menghadapi dugaan berat.
  • Makna dan penghayatan bersikap ‘tahan lasak’ ini pada hakikatnya dituntut dalam ajaran Islam. Firman Allah SWT yang menghibur dan memotivasikan Muslim setelah tewas dalam Perang Uhud:

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang yang (sungguh-sungguh) beriman,” (Surah Ali Imran ayat 139).

Demikian antara karakter bangsa unggul yang melangkaui sejarah dan tempat. Malangnya, sifat dan karakter ini seolah-olah terhakis dalam diri bangsa yang selama ini diberikan amanah untuk menjadi peneraju negara ini.

Sekiranya bangsa ini sedar dan kembali semula memegang teguh karakter yang dihuraikan itu, Insya-Allah bangsa ini akan bangkit semula dan dipandang tinggi baik oleh kawan mahupun lawan.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain