Mereka ialah Mohamad Danis Chung, 12, Mohamad Danial Chung, 11, dan Mohamad Nashrul Navinesh Abdullah, 6, antara 133 kanak-kanak yang terlibat dalam Program Berkhatan Beramai-ramai Anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Cheras 2017.

Mohamad Danial mengakui berasa sedikit gementar untuk berkhatan, namun perasaan itu dapat dibendung kerana abangnya turut bersama-sama melibatkan diri pada program tersebut.

“Mula-mula saya rasa takut sedikit, tapi sekarang saya baik sahaja kerana ada abang saya.

“Ayah saya pun banyak menenangkan saya dan abang,” katanya ketika ditemui dalam program tersebut.

Sementara itu, bapa kepada dua beradik tersebut, Muhamad Chung, 39, yang berasa teruja menyaksikan program tersebut bercadang membawa dua lagi anak lelakinya pada program tersebut tahun depan.

“Saya rasakan program berkhatan beramai-ramai amat bermanfaat kerana kanak-kanak yang terlibat tidak akan berasa terlalu gementar. Selain itu, ia juga dapat mengurangkan bebanan kos ibu bapa,” katanya.

Dalam pada itu, bapa kepada Mohamad Nashrul Navinesh, Muhammad Abu Bakar Abdullah, 30, berkata, dia mengetahui mengenai program tersebut daripada guru sekolah anaknya.

“Ini kali pertama saya hadir pada program ini dan amat teruja kerana program ini adalah sesuatu yang menarik dan harus diteruskan,” katanya yang baru memeluk Islam pada 2011.

Program anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Cheras itu melibatkan peserta berumur seawal tiga hingga 12 tahun.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abd. Shukor berkata, program anjuran Pemuda UMNO Bahagian Cheras itu diharapkan dapat memberi manfaat kepada ibu bapa sekali gus meringankan beban kos mereka dalam perbelanjaan kos berkhatan.

“Sambutan pada hari ini amat meriah kerana lebih 500 masyarakat hadir terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak mereka.

Jadi, saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam mendekatkan lagi pemimpin dengan rakyat,” katanya.