Begitulah perihalnya dengan al-Quran, ada masanya menjadi ubat yang manis dan kadang-kadang tersangat pahit untuk ditelan oleh hati manusia yang bengkok. Sudahnya, jalan mudah bagi manusia berhati bengkok adalah meminta ubat yang lain.

Sikap ini disebut dalam al-Quran: “Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): “Bawalah al-Quran yang lain daripada ini atau tukarkanlah ia. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku sahaja. Sesungguhnya aku takut, - jika aku menderhaka kepada Tuhanku, - akan azab hari yang besar (soal jawabnya),” (Yunus [10:15]).

Mereka mahu agar sebuah kitab lain yang tidak mencaci berhala sembahan mereka dan menafikan kewujudan pembalasan pada hari kiamat (Tafsir al-Alusi).

Alasan:

Apabila kitab itu tiada balasan kiamat, maka mudah bagi mereka untuk terus bergelumang dalam nafsu bejat dan dosa menindas orang lain kerana kejahatan itu kononnya tidak akan berbalas di akhirat kelak. Jika benar ada kitab seperti itu, mereka pasti menjadi ‘tuhan dalam tubuh manusia’ yang jauh lebih hina daripada binatang. 


PERKARA MUSTAHIL

Masakan Rasulullah SAW mampu membawa kitab lain kerana Baginda adalah hamba suruhan Allah yang sangat taat. Apa yang diwahyukan disampaikan kepada manusia tanpa kurang atau lebih walau sepatah huruf. Ayat berikutnya memancung terus hasrat gila mereka:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakan al-Quran ini kepada kamu), tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan tentulah Dia tidak memberitahu kamu akan al-Quran ini (dengan perantaraanku); kerana sesungguhnya aku telah tinggal dalam kalangan kamu satu masa yang lanjut (selama 40 tahun dan kamu pula mengenal aku sebagai seorang yang amanah) sebelum turunnya al-Quran ini; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?,” (Yunus [10:16]).


  • Lafaz “Katakanlah wahai Muhammad” jelas menunjukkan bahawa ia adalah arahan Allah yang tidak mungkin dikhianati Rasulullah SAW.
  • Tambahan pula Baginda sudah tinggal selama 40 tahun bersama mereka tanpa pernah menuturkan walau satu patah pun perkataan dusta.
  • Mustahil Baginda akan menuturkan dusta atas nama Allah selepas berusia 40 tahun.

Dalam ayat lain, Allah menegaskan bahawa Rasulullah tidak akan mengkhianati amanah penyampaian wahyu:

“Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta - sebarang kata-kata rekaan, - “sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami, - kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya dia mati dengan serta-merta);” Maka tidak ada seorang pun antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya,” (al-Haqqah [69:44-47]).


PENYAKIT KRONIK

Penyakit shopping wahyu atau memilih wahyu yang kena pada selera sahaja bukan hanya dimiliki bukan Islam seperti Musyrikin Quraish, tetapi turut dideritai sesetengah Muslim yang begitu lama bertuhankan dunia dan nafsu serakah.

Jika boleh mereka mahu al-Quran atau Islam itu mengikut selera mereka. Kalau boleh mahu sahaja nafsu serakah mereka dinaik taraf menjadi kitab panduan setanding al-Quran.

Allah menegaskan, alam bakal musnah jika nafsu mereka dituruti:

“Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan agama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya,” (al-Mu’minun [23:71]).

Sebagai Muslim yang benar-benar beriman kepada Allah, kita wajib menyerahkan diri bulat-bulat kepada syariat Allah seperti mana penyerahan mayat kepada orang yang akan memandikannya.

Itulah inti sari sebenar maksud perkataan Islam dan Muslim iaitu penyerahan sebulat-bulatnya kepada ketentuan dan hukum Allah walau ia sepahit hempedu.

Pahit kerana menuruti Islam dan al-Quran adalah pahit yang menyembuhkan jiwa. Ia akan menjadi manis lagi indah kerana bakal menyampaikan kita kepada reda dan syurga Allah di akhirat kelak.