Sinema Indonesia misalnya sudah membuktikan yang filem bercorak keagamaan pastinya akan mendapat sambutan hangat. Dengan beberapa naskhah yang sudah ditayangkan sejak belasan tahun yang lalu, kisah Ketuhanan tentu sahaja akan meninggalkan kesan di hati penonton.

Mengambil pendekatan yang sama dengan apa yang pernah berlaku, tentunya filem Kalam-Kalam Langit yang sedang ditayangkan di layar perak bermula 15 September lalu turut mengharapkan dapat meneruskan momentum sama yang pernah diciptakan oleh filem terdahulu.

Mengangkat tema seorang qari yang tersepit antara kehendak dan orang tua, garapan yang dibuat oleh pengarah Tarmizi Abka membawa penonton menyaksikan sendiri kisah yang tidak selalu mendapat tempat di hati pembikin filem.

Paling tidak tentunya Kalam-Kalam Langit mahu kembali menajak seluruh umat Islam untuk membaca al-Quran setiap hari tanpa perlu menunggu masa tertentu seperti yang dilakukan oleh kebanyakan orang ketika ini.

Antara pelakon yang terlibat di dalam filem ini termasuklah Dimas Seto yang membawakan watak Jaafar, Meriza Febriani (Azizah), Ibnu Jamil (Ustaz Shatori), Elyzia Mulachela (Anisa), Nasron Azizah (Jaafar ketika kecil) Mathias Muchus (bapa Jaafar) dan Henidar Amroe (ibu Jaafar).

Naratif Kalam-Kalam Langit yang berjalan di atas watak Jaafar sebenarnya cukup luas untuk digambarkan. Gelodak jiwa yang membelenggu Jaafar sejak kecil dijadikan tunjang utama kepada keseluruhan filem yang menjalani penggambaran di Lombok, Indonesia.

Tentunya untuk ‘berjalan’ bersama dengan kitab al-Quran bukan satu hal yang mudah namun keberanian pihak produksi menterjemah Kalam-Kalam Langit begitu indah tersusun tanpa melanggar hal-hal sensitif.

Mengisahkan tentang seorang kanak-kanak yang bercita-cita untuk menyertai pertandingan tilawah al-Quran seperti ibunya, niat murninya tidak kesampaian apabila bapanya menghalang apa yang dicita-citakan olehnya.

Prinsip yang dipegang oleh bapanya mudah, membaca al-Quran bukanlah untuk dipertandingkan sebaliknya perlu menjadi amalan dan dihayati isu kandungannya oleh semua umat Islam.

Dalam usia kanak-kanak, Jaafar pernah memenangi pertandingan tadarus al-Quran atas sokongan ibunya, namun piala yang dimenanginya dihempaskan ke lantai oleh ayahnya yang berang dengan perkara tersebut.

Berselang tahun, ibunya pula meninggal dunia. Jaafar pula menerima tawaran biasiswa untuk menyambung pelajaran di sebuah sekolah pondok. Dia sendiri sudah berjanji untuk tidak mengikuti lagi mana-mana pertandingan tilawah al-Quran.

Menginjak kedewasaan, bakat Jaafar mengalunkan ayat suci al-Quran menjadi perhatian. Kemerduan suara dan kebolehan mengaji membuatkan dia terpilih mewakili sekolah pondok ke pertandingan tilawah yang dianjurkan.

Ketika babak ini ditayangkan, sudah pasti emosi Jaafar yang dilakonkan oleh Dimas Seto menjadi perhatian. Tersepit antara keikhlasan diri untuk mengejar cita-cita dan menunaikan janji dengan bapanya, tentunya turun naik emosi Jaafar jelas tergambar.

Apa yang berlaku ketika ini dianggap sebagai kemuncak keseluruhan Kalam-Kalam Langit. Apa sahaja keputusan Jaafar tentu sekali memberikan kesan kepada hidupnya seperti yang digambarkan di dalam filem ini.

Tentu sekali emosi yang terpancar di wajah Jaafar turut menentukan hala tuju keseluruhan filem sama ada ia benar-benar memberikan kesan atau tidak kepada penonton yang menyaksikannya.

Perjalanan cerita turut berselang seli dengan babak-babak romantis antara Jaafar dan beberapa gadis lain yang meminatinya sejak dahulu. Babak-babak ini penting bagi melonggarkan keseluruhan cerita pada dasarnya.

Namun Jaafar lebih mudah mendampingi Azizah yang juga merupakan gadis yang cantik dan baik budi pekertinya tetapi diminati oleh ramai lelaki.