Ramai yang berpeluang menunaikan ibadah umrah dan haji mengakui, dalam banyak-banyak lokasi di dunia, berada di bumi penuh barakah itu memberikan nikmat tidak terhingga.

Memandangkan Mekah didatangi jutaan manusia dari seluruh pelosok dunia, sudah tentu kota ibadah ini sentiasa penuh.

Biasanya selain mengerjakan ibadah umrah, jemaah berpeluang mengadakan lawatan sepanjang 10 hari berada di sana.

Namun begitu, sejak 19 April tahun ini, pihak berkuasa Arab Saudi melarang program lawatan atau ziarah luar Kota Mekah dan Madinah.

Menurut kenyataan Kementerian Umrah dan Haji Arab Saudi, larangan ke beberapa kawasan bersejarah itu bertujuan mengelakkan amalan bidaah yang mula menular sejak akhir-akhir ini.

Di Mekah antaranya, larangan tersebut meliputi Jabal Noor (Gua Hira), Jabal Tsur dan Jabal Rahmah serta beberapa kawasan tertentu di Thaif, manakala di Madinah pula hanya dibenarkan melawat ke ladang kurma.

Lawatan di Taif yang tidak dibenarkan ialah Ziarah Bani Saad iaitu, Kawasan Halimatus Saadiah, Masjid Kuu’ dan Masjid Ibn Abbas, manakala di Jeddah pula membabitkan kawasan Masjid Siti Rahmah dan Masjid Terapung.

Larangan terbaru kerajaan Arab Saudi itu menimbulkan perasaan tidak puas hati jemaah umrah kerana tidak berpeluang melawat tempat bersejarah.

Mereka merasa terkilan kerana tidak berpeluang melihat dari dekat tempat berkaitan dengan perjuangan dan kehidupan Rasulullah SAW serta perkembangan awal syiar Islam di bumi Mekah dan Madinah.

Beberapa jemaah umrah dari Malaysia yang ditemui penulis di Mekah baru-baru ini berharap kerajaan Arab Saudi dapat menimbang semula larangan tersebut.

Bagi mereka, pihak berkuasa Arab Saudi tidak sepatutnya menjadikan perbuatan segelintir pihak yang melakukan amalan bidaah dan khurafat di tempat bersejarah itu sebagai asas utama sehingga menutup peluang kepada jemaah lain.

Bagi Wan Mokhtar Wan Musa, 43, masalah bidaah atau perkara khurafat yang dilakukan oleh sesetengah jemaah boleh ditangani jika kerajaan Arab Saudi menempatkan pihak berkuasa seperti polis di tempat yang menjadi kawasan tumpuan ziarah jemaah.

“Kita tentunya merasa terkilan kerana tidak berpeluang melawat Jabal Noor dan Gua Hira kerana tempat ini menjadi sejarah penting perkembangan Islam di mana Nabi Muhammad SAW mula menerima wahyu.

‘’Saya berharap pihak berkuasa Arab Saudi dapat membina ciri-ciri keselamatan di kawasan mendaki Jabal Noor bagi menangani masalah jemaah supaya tidak jatuh dari kawasan bukit tersebut kerana bagi saya, kejadian jemaah yang jatuh adalah kes terpencil,’’ katanya.

Kementerian Umrah dan Haji Arab Saudi dalam satu kenyataan menegaskan langkah berkenaan terpaksa diambil setelah pihaknya mendapati terdapat segelintir pengunjung melakukan perkara yang dianggap syirik dan tahayul di Gua Hira.

Menurut kenyataan itu lagi, pernah berlaku insiden apabila para pengunjung mengalami kecederaan semasa cuba memanjat bukit dan ada kalanya yang membawa maut akibat tidak mengutamakan aspek keselamatan.