Kepadatan tugas sebagai jurutera mekanikal di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya tidak menghalang Ir. Mohd. Hazery Md. Shamsi memanfaatkan kebolehannya.

Bidang kepakarannya ialah mereka bentuk, menyelenggara teknologi hijau dan memantau pelaksanaan pembinaan serta infrastruktur negara.

Di samping itu, dalam pelbagai program rasmi anjuran kementerian, Mohd. Hazery yang lebih dikenali dengan panggilan Ir. Ezry sering diundang sebagai pembaca doa rasmi, penyampai tazkirah, pengacara majlis dan penyampai lagu-lagu nasyid.

 

PELBAGAI MEDIUM DAKWAH

Minat menulis telah memberi peluang kepadanya untuk menyalurkan pelbagai idea dalam menyampaikan dakwah.

Beliau dinobatkan sebagai juara penulisan inovasi peringkat kementerian pada 2011 dan naib juara inovasi Penciptaan Batik Waste Water Treatment pada tahun sama serta diguna pakai oleh para pengusaha batik di Malaysia.

Beliau juga terpilih sebagai juara berkaitan penulisan seni kraf dan kebudayaan peringkat kebangsaan pada 2014.

“Pengalaman sebagai pembaca doa memudahkan usaha menyusun sebuah buku, Koleksi 40 Doa Rasmi.

“Saya juga menulis buku, Dari 103 kg - 63 kg? dan Tips Kejayaan Menurut al-Quran dan al-Hadith sebagai satu perkongsian pengalaman berjaya menurunkan berat badan berkat disiplin pemakanan mengikut sunah dan riadah,” ceritanya.

Tahun ini, beliau juga menghasilkan album single, Senyumannya dengan kerjasama In-Team Records. Selain itu, beliau turut menulis lirik dan menyumbangkan suara dalam lagu Bangkit bersama Ustaz Don dan PU Azihal serta lagu Pejam bekerjasama bersama Along Exists.

Meminati keindahan alam semula jadi telah menarik minatnya memancing dan mencandat sotong . Baginya menyelusur dan memerhati keagungan Allah mampu meningkatkan keimanan.

Memenuhi tanggungjawab sosialnya, Mohd. Hazery juga berkecimpung dalam medan dakwah dengan menyampaikan tazkirah di masjid dan surau, tenaga pengajar al-Quran, penceramah motivasi di sekolah-sekolah, pusat pengajian tinggi awam dan jabatan-jabatan kerajaan serta swasta.

Sesuai dengan ketrampilannya, beliau dilantik sebagai Ketua Biro Belia, Lawatan dan Pendidikan di Surau Al-Iman, Putrajaya.

Beliau juga turut berdakwah kepada masyarakat Orang Asli, golongan gelandangan dan asnaf. Atas penglibatan hebat Mohd. Hazery, beliau juga turut diundang untuk bersama kumpulan wartawan tanah air dan audio kuliah bagi program kembara dakwah di New Zealand.

Selain itu, Mohd. Hazery telah diberi tanggungjawab sebagai Pengarah Komunikasi dan Media Ittihad Ummah bagi program Himpunan 20,000 Hufaz dan Solidariti Untuk Rohingya.

Beliau juga turut diundang bersiaran di radio IKIM dan TV Hijrah. Ikon dakwah yang menjadi idolanya ialah Mufti Menk, Maulana Muhamad Ilyas dan Allahyarham Datuk Dr. Haron Din.

 

PENGALAMAN MENDEWASAKAN

“Saya pernah mencari nafkah dengan berniaga dadih di kampung halaman di Alor Setar. Ketika bekerja sebagai juruteknik penyaman udara, saya pernah diherdik oleh pelanggan dan ditunjukkan dengan kaki.

“Semasa di bangku sekolah rendah, pernah mendapat nombor tercorot lantaran kegagalan menguasai Bahasa Melayu sekembali dari Kanada,”, ceritanya.

Segala peristiwa suka duka telah mendewasakannya dalam menghadapi cabaran yang lebih besar.

 

BAITI JANNATI

“Ibu bapa, isteri dan keluarga merupakan tunjang kekuatan saya. Kecekalan dan kesabaran isteri yang merupakan anak yatim piatu tanpa adik beradik, dibesarkan di sawah bendang telah banyak memberi inspirasi kepada saya agar mencontohi kejayaannya,” tokok Mohd. Hazery.

Beliau berusaha menghidupkan amalan keluarga sunah dengan solat berjemaah, bertadarus bersama-sama, mengadakan usrah dan saling nasihat menasihati.

Baginya kebahagiaan yang terbina dalam rumah tangga bertunjangkan ajaran Islam merupakan asas kesejahteraan sejati duniawi dan ukhrawi.