Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila mati anak Adam (manusia), maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah (wakaf), ilmu bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya,” - Riwayat Muslim

Hadis ini menunjukkan bahawa pahala berwakaf akan mengalir dan berterusan walaupun selepas seseorang meninggal dunia.

Jelaslah bahawa amalan wakaf ini menjadi amalan dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW kerana ia menjamin pahala berpanjangan selagi harta yang diwakafkan dimanfaatkan oleh orang ramai.

Dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini, sumbangan wakaf yang diterima daripada umat Islam di negara ini telah dapat membantu membina dan membaik pulih banyak masjid, surau, sekolah, kemudahan perubatan serta banyak lagi dengan peruntukan lebih RM700 juta.

Ini tidak termasuk sumbangan luar antaranya kepada Islamic Centre Universiti Oxford London.

Sewajarnya perkembangan ini menjadi galakan kepada semua umat Islam untuk mewakafkan harta mereka melalui pelbagai saluran yang disediakan seperti pemotongan gaji.

Firman Allah SWT maksudnya: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti satu biji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (al-Baqarah: 261)

KEAJAIBAN SEDEKAH, WAKAF

Wakaf adalah sedekah jariah yang digalakkan dalam Islam tanpa mengira bangsa, pangkat dan darjat. Walaupun sunat hukumnya, namun amalan ini merupakan antara langkah untuk mendekatkan diri seseorang hamba kepada penciptanya.

Malah, harta tidak akan berkurang jika diwakafkan.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Tiadalah harta itu berkurangan kerana sedekah.” - Riwayat Muslim

Sedekah yang dimaksudkan dalam hadis ini termasuklah juga wakaf. Perkembangan semasa menyaksikan, masyarakat Islam semakin celik dan sedar tentang kepentingan serta potensi wakaf.

Dibantu dengan institusi wakaf yang ditubuhkan, kaedah berwakaf juga semakin pelbagai dalam usaha memudahkan semua pihak berwakaf, antaranya adalah:

  • Wakaf wang tunai
  • Wakaf potongan gaji atau arahan tetap
  • Wakaf secara dalam talian
  • Wakaf secara wasiat (Tidak boleh melebihi satu pertiga harta)
  • Wakaf barang kemas.

Di Selangor contohnya, institusi wakaf negeri iaitu Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) mengharapkan sumbangan terus menerus daripada semua penduduk di negeri itu bagi mengumpul dana untuk memajukan tanah wakaf yang dalam proses pembangunan.

Untuk rekod, setakat ini hanya 11,000 orang telah berwakaf secara bulanan termasuk 2,000 kakitangan awam. Justeru, PWS mengharapkan tahun ini lebih ramai lagi umat Islam yang membuat pemotongan atau meningkatkan jumlah harta wakaf.

Almarhum Sultan Selangor, Sultan Hisamuddin Alam Shah perlu dijadikan contoh kepada rakyat dengan mewakafkan istana baginda di Klang, Selangor untuk dijadikan sebagai bangunan Kolej Islam Malaya pada tahun 1955.

Amalan baginda ini sangat disanjung tinggi dan sewajarnya menjadi ikutan kepada seluruh umat Islam.

Begitulah kehebatan wakaf yang bukan sahaja menabung untuk saham akhirat tetapi kebajikan demi membantu menjana pendidikan dan ekonomi umat Islam.

Sehubungan itu, umat Islam perlu bersatu padu menggembleng tenaga memanfaatkan harta bagi mencapai matlamat wakaf yang berjaya dan diredai Allah SWT.