Di Kyoto juga terdapat banyak universiti yang terkenal di Jepun seperti Universiti Kyoto, Universiti Ritsumeikan dan Universiti Doshisha. Lebih 30
universiti terdapat di bandar ini. Oleh kerana banyaknya universiti di sini, maka jumlah pelajar Muslim juga ramai dan kebanyakannya adalah warga Indonesia dan Malaysia.

Bagaimanapun terdapat sesuatu yang menyedihkan di sini iaitu hanya terdapat satu sahaja masjid. Masjid Kyoto yang terletak di sebelah Sungai Kamogawa, antara sungai yang terkenal di Jepun.

Di sebabkan tekanan daripada penduduk sekeliling, masa operasinya terpaksa dihadkan dan tidak boleh beroperasi seperti masjid sepenuhnya.

Ini kerana lokasinya berada dalam kawasan perumahan awam menjadikan banyak rungutan daripada penduduk setempat kepada pihak berkuasa tempatan. Tambahan pula sesetengah jemaah yang hadir tidak memahami keadaan sekeliling dengan membuat bising sehingga mengganggu ketenteraman awam, sekali gus merumitkan lagi operasi masjid.

BANDAR AGAMA

Selain itu, Kyoto juga adalah bandar agama Jepun di mana kuil-kuil Buddha dan Shinto adalah yang terbanyak di Jepun. Di bandar Kyoto ini sahaja terdapat lebih 2,400 jumlah kuil. Ia menjadi seperti faktor utama ‘menyukarkan’ lagi operasi dan pembukaan masjid baharu di sini. Masjid terpaksa ditutup pada hari minggu dan cuti am sedangkan hari berkenaan amat penting masjid dibuka kepada umum.

Inilah masalah utama kelembapan perkembangan Islam di sini. Oleh itu, kami dari Kyoto Muslim Community dan Japan Muslim Foundation sedang berusaha sedaya upaya untuk membangunkan masjid kedua di Kyoto. Ia bakal dinamakan Kyoto Grand Masjid. Diharapkan dapat menamatkan masalah ini dan pada masa sama menjadi pusat perkembangan syiar serta dakwah Islam di Kyoto.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbia’, 92:

“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhan kamu; maka sembahlah Aku.”

Seperti firman Allah itu, adalah amat penting bagi kita umat Islam yang berpegang teguh kepada al-Quran untuk memberi peluang kepada warga Jepun mengenali Allah, iaitu tiada Tuhan selain daripada-Nya.

Kami sedang berusaha untuk membina masjid di pusat bandar agar ia jauh daripada kediaman setempat dan supaya masjid ini nanti mampu beroperasi seperti masjid dan menjadi pusat dakwah tanpa menghadapi pelbagai halangan setempat.

Oleh kerana kos untuk membinanya di pusat bandar amatlah tinggi. Kami amat memerlukan pelaburan dari luar terutama rakyat Malaysia prihatin yang mahu melabur untuk ‘masa hadapan’.

Sekurang-kurangnya dianggarkan di antara RM10 juta dan RM13 juta diperlukan dan buat ketika ini, jumlah kutipan kami hanya sekitar RM800,000 sahaja. Masih jauh daripada sasaran.

Kepada yang membaca, doakan agar kami berjaya membina masjid ini dan seterusnya melancarkan usaha mengembangkan Islam di Bumi Matahari Terbit ini. Doakan juga agar kami dilindungi dan di berikan kekuatan untuk menyebarkan Islam di sini. Insya-Allah.