“Macam-macam isu ada, mimpi tokoh, tiket ke syurga dan neraka, tunggang agama, derhaka kepada ibu, biadab dengan ulama dan sebagainya,” Anuar memulakan bicara mencetus soalan.

“Maaf! Saya tak pandai politik. Sudut politik penuh seni dan helah. Awak boleh rujuk orang yang lebih arif. Saya hanya orang biasa.

“Dosa saya sendiri banyak tidak terhitung sedang amal ibadah masih kurang. Saya bimbang komen mengundang amarah dan kutukan. Silap tulis boleh jadi bahan bincang yang mengundang dosa media sosial seperti skim dosa piramid. Tambahan pula saya sedang praktik Puasa Maryam a.s.,” ujar si Ustaz.


PUASA MARYAM?

Apabila disebut Puasa Maryam, pasti ada yang terkedu kehairanan. Biasanya yang diketahui umum adalah Puasa Nabi Daud a.s. yang dipuji Rasulullah SAW dalam sabda Baginda:

“Ibadat puasa yang paling Allah suka adalah puasa Nabi Daud. Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari (puasa selang sehari),” - Sahih Bukhari.

Siapa pula Maryam? Bagaimana puasa beliau? Puasa Maryam adalah puasa tidak bercakap dan menjaga lidah daripada berbicara sesuatu yang mengundang dosa. Kisahnya disebut dalam al-Quran:

“Maka makan (daripada kurma yang gugur) dan minum (daripada anak sungai yang mengalir di bawahmu) serta bertenanglah hati daripada segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau (Wahai Maryam) melihat sesiapa (manusia), maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar untuk diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dalam kalangan manusia pada hari ini,” (Maryam [19:26]).

Ayat ini mengisahkan peristiwa Maryam a.s. yang baru sahaja melahirkan Nabi Isa a.s. tanpa bapa atau suami. Peristiwa itu mengundang prasangka buruk dan celaan kaumnya (rujuk ayat 27-28 Surah Maryam).

Oleh itu, Allah mengarahkan Maryam agar diam tidak menjawab kerana jawapannya pasti ditolak keras kaumnya. Diam beliau ini dinamakan ‘sawma’ atau bermaksud puasa dalam ayat di atas.

Walaupun perkataan itu bermaksud puasa, ia ditafsirkan sebagai ‘diam’ oleh para ulama kerana menurut syariat pada zaman itu, puasa mereka turut melibatkan puasa tidak bercakap (Tafsir Ibn Kathir).

Allah SWT kemudiannya membersihkan nama Maryam berkat kepatuhannya kepada arahan tersebut.

Berlaku suatu keajaiban apabila Nabi Isa yang masih bayi berbicara membersihkan nama ibunya (rujuk ayat 30-33 surah Maryam). Mudahnya, puasa Maryam ketika berada dalam cuaca panas PRU-14 bermaksud menahan diri daripada bercakap atau memberi komentar tidak wajar dalam sebarang isu yang timbul.

Berbalik kepada konsep Puasa Maryam, sebenarnya banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah ibu Nabi Isa itu, antaranya:

1. Allah mahu mengajar kita bahawa ‘bukan semua’ perkara perlu dijawab atau diulas.

Adakalanya diam lebih baik untuk menampakkan siapa yang benar dan siapa yang memfitnah. Oleh itu, pilihlah hanya bicara yang baik atau diam ketika mengharung kempen PRU-14.

Benar sabda Rasulullah SAW: “Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata (yang) baik (sahaja) atau diam,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

2. Kepatuhan kepada arahan Allah SWT dan Rasulullah SAW seperti ayat serta hadis di atas mampu menyelamatkan kita daripada dosa lidah atau ‘dosa tangan’ dalam media sosial. Dosa ini mampu dihindari dengan sejenis ubat mujarab saranan agama iaitu sabar.

Pil sabar sangat mujarab untuk merawat jiwa manusia yang sakit. Sabar mampu membantu manusia untuk terus teguh mentaati Allah. Sabar juga boleh menjadi ‘pengawal peribadi’ yang menjaga manusia daripada melanggar larangan Allah. Boleh dikatakan Puasa Maryam ini adalah sejenis pil sabar yang sangat mujarab menyelamatkan kita dalam cuaca panas PRU-14.


AHLI POLITIK TERBAIK

Tidak dinafikan, politik adalah sebahagian daripada Islam. Tanpa politik mustahil Islam boleh sampai kepada kita hari ini kerana Rasulullah SAW dan para sahabat adalah ahli politik terbaik yang memanjangkan usia Islam dengan ‘parti wahyu tulen’ yang mereka bawa.

Politik juga memayungi semua. Dengan kuasa politik, polisi mampu digubal, nasib rakyat mampu dibela.

Walaupun begitu, perlu juga diingatkan bahawa politik juga seperti api. Ia berguna untuk manusia, tapi jika cuai seketika ia juga mampu menyambar ganas dan membakar keras sehingga menghanguskan integriti, amanah, pahala serta silaturahim.

Politik Rasulullah SAW dan para sahabat adalah politik matang yang sebenar. Politik yang bersih daripada bahasa ejek, sindir dan sinis. Percayalah! Teknik seru yang bersalut racun ejek, sindir dan sinis tidak membawa sebarang kebaikan. Bukan sahaja lawan semakin jauh, kawan yang sedia ada juga boleh jauh meminggir apabila cedera hatinya dicakar kuku bahasa kesat.

Akhir kata, pilihlah bahasa dan wadah yang betul dalam menyampaikan isi perjuangan anda dalam PRU-14. Jadikan perjuangan politik dalam PRU-14 sebagai saham akhirat dan bukan tabung dosa yang sarat. Kempenlah dengan indah dan bijak.

Bicaralah dengan hemah dan akhlak. Jangan dipalit perjuangan dengan akal yang lemah serta suara yang lalak.

Saya pasti jika ini budaya politik negara kita, kita tak lagi perlu menahan diri dengan puasa Maryam.