Itu reaksi spontan Mohd. Sanusi Awang, 42, antara pakar dalam penulisan khat yang sedang meningkat naik di negara ini khususnya di Terengganu ketika ditanya mengenai minatnya itu. Beliau yang juga mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam dan Kelas Khas Kemahiran al-Quran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Tembesu, Terengganu juga adalah antara jurulatih utama seni khat Terengganu.

Mohd. Sanusi mula meminati seni khat sejak di bangku sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong, Terengganu. Ustaz dan ustazah selalu memuji tulisannya dalam buku latihan Pendidikan Islam.

Minatnya semakin menebal apabila melanjutkan pelajaran ke SMKA Tok Jiring, Kuala Terengganu dan beliau sempat berguru dengan Allahyarham Datuk Embong Mohamad @Awang (penasihat agama istana) yang ketika itu bertugas di sekolah berkenaan.

“Saya menyertai kelab seni khat bawah asuhan beliau. Ketika dalam tingkatan tiga saya dilantik menjadi pengerusi kelab sehingga tingkatan lima,” katanya yang meminati seni khat kerana tertarik dengan keindahan huruf-huruf Arab dan susunannya.

MENAMBAHKAN KEMAHIRAN

Semasa menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) beliau sempat berguru dengan Allahyarham Ishak Muhammad atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Embab yang juga seorang penulis khat diraja Terengganu.

Selepas menamatkan pengajian dalam pengkhususan Bahasa Arab di UIAM, beliau menabur bakti di SMK Penang Free di Pulau Pinang. Kutipan ilmu dalam penulisan khat terus dimantapkan dengan berguru bersama beberapa pakar khat sama ada secara formal atau tidak.

Antaranya, Ustaz Zuhud ‘Ulya Iberahim (Kedah) dalam khat nasakh dan riq’ah. Ustaz Nik Abdul Rahman Zaki (Kelantan), Ustaz Halias Abu Bakar (Terengganu), Ustaz Syed Ubaidillah dan Syed Omar (Terengganu) dan Syeikh Sherien Abdul Halim (Mesir).

Tabur bakti, kongsi ‘rezeki’ ilmu

Atas kesedaran untuk memanfaatkan ilmu yang diperoleh, Mohd. Sanusi Awang turut berkongsi kemahirannya bersama orang lain.

“Saya aktif dalam memberikan kursus-kursus seni khat kepada guru dan pelajar di seluruh Terengganu. Yang terakhir pada bulan lalu, satu kursus jawi dan seni khat diadakan untuk guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain Daerah Kuala Nerus,” katanya.

Mohd. Sanusi berkata: “Ilmu seni khat ini sangat luas. Tiada titik akhir dalam mempelajarinya. Semangat untuk mempelajari, menguasai dan mengembangkan seni ini semakin menebal setiap hari.

“Jika ada kelapangan saya akan menyertai kursus-kursus seni khat yang diadakan sama ada dalam negeri atau di Kuala Lumpur.

“Yang terbaharu kursus seni khat anjuran Persatuan Seni Khat Negeri Terengganu (Pikat) dikendalikan oleh pakar khat dari Yemen, Syeikh Ahmad Zaki.

“Doa saya semoga Allah sentiasa memberi kekuatan untuk terus memartabatkan seni khat dalam generasi sekarang,” katanya yang boleh dihubungi di talian 013-9549548 jika berminat untuk menganjurkan kursus dan kelas latihan.