Mereka merupakan 483 kumpulan pertama jemaah yang mendarat di Madinah pada 14 Julai lalu.

Kumpulan jemaah terlibat akan dibawa dengan bas dari Hotel Movenpick Madinah ke Mekah yang mengambil masa perjalanan kira-kira lapan jam dan dijangka sampai di Mekah kira-kira pukul 11 malam.

Kesemua mereka akan ditempatkan di Abraj Al Janadriyah di Shuib Amir iaitu dalam Zon A yang terletak 750 meter dari Masjidilharam.

Selepas berehat di bilik masing-masing, mereka akan dibawa mengerjakan umrah pertama selepas subuh keesokannya.

Sementara itu, persiapan di 18 bangunan kediaman jemaah di 12 maktab semuanya sudah selesai, hanya menanti ketibaan jemaah bermula esok.

Semua perkhidmatan termasuk kaunter kewangan dan pusat perkhidmatan maktab sudah dibuka di mana jemaah boleh mendapatkan segala maklumat pergerakan serta bimbingan untuk ibadah haji mereka.

Klinik serta bilik kecemasan juga sudah disediakan untuk jemaah yang memerlukan khidmat rawatan. - UTUSAN ONLINE