Bermula dengan peristiwa kelahiran baginda hingga kepada pengembangan ajaran Islam dan hubung kaitnya, dua tempat tumpuan dunia pada hari ini, Madinah dan Mekah.

Malah peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke Madinah menjadi tunggak dalam pengkisahan di Muzium Dar al-Madinah.

Muzium yang dibina oleh Kerajaan Arab Saudi itu bercirikan sebuah replika diorama dengan pengkisahannya dilakukan oleh petugas yang mahir beberapa bahasa.

Apabila kisah diceritakan, kaki melangkah satu persatu melihat replika, seperti anda adalah sebahagian daripadanya. Muzium yang pernah memenangi Hadiah Antarabangsa Raja Faisal ini memperlihat rumah baginda SAW sehingga ke pembinaan Masjid Nabawi seperti yang dilihat pada hari ini.

Kita akan dibawa dalam suasana spiritual perjalanan sejarah Nabi Muhammad SAW, saat hijrah baginda dari kota Mekah ke Madinah, pembangunan Masjid Nabawi hinggalah kepada pembangunan kota Madinah itu sendiri.

Petugas menjelaskan mengenai sejarah dan evolusi kota Mekah, termasuk proses pembangunan Kaabah, yang ditunjukkan enam fasa pembangunan hingga semasa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah.

Pengunjung juga mendapat gambaran mengenai Masjid Quba yang pertama kali dibangunkan Rasulullah SAW dan Masjid Jumaah, tempat pertama kali Baginda menunaikan solat jumaat berjemaah selepas hijrah.

Penulis juga diterangkan mengenai mercu tanda, budaya dan peradaban sebuah identiti kota pada awal Kerajaan Arab Saudi, sebelum pembesaran Masjid Nabawi pada era Raja Abdulaziz al-Saud.

Bagi jemaah, muzium ini merupakan pendidikan secara visual nyata dipaparkan melalui penerangan, sekali gus menguatkan ingatan kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Digambarkan dalam muzium ini seluruh rumah Nabi dan isteri baginda, yang pada hari ini adalah sebahagian Masjid Nabawi. Penulis juga dapat melihat perkembangan Kaabah dahulu dan kini.

Tidak cukup dengan itu, turut dipaparkan sebuah replika paling besar - gambaran kota Madinah pada awal pembinaan yang mengambil masa lapan tahun untuk disiapkan.

Ini adalah muzium pertama dan satu-satunya di Madinah yang menampilkan warisan arkitektur.

Hampir kesemua barangan yang terdapat dalam muzium ini adalah replika, umpamanya bekas mengambil wuduk dan mandian Rasulullah SAW.

Namun begitu, terdapat juga barangan yang asli dalam muzium ini antaranya, tandu yang membawa kiswah (kain penutup Kaabah) yang berusia lebih 230 tahun dari Mesir ke Mekah.

Turut terdapat replika sebuah al-Quran Uthmani yang di atasnya masih ada darah Khalifah Uthman Affan r.a. yang wafat kerana dibunuh Yahudi dan wafatnya di atas al-Quran itu.

Pengurus Muzium berkenaan, Soleiman Muhammed berkata, model yang mensimulasikan sejarah Madinah dan kisah Nabi Muhammad SAW dibuat sedemikian rupa supaya pengunjung dapat melihat pengkisahan secara nyata, berbanding cuma bacaan dan pemerhatian dalam visual semata-mata.

“Kita bawakan petugas yang fasih beberapa bahasa untuk memberikan penceritaan supaya pengunjung dapat memahami perjalanan setiap peristiwa yang dinyatakan,’’ katanya.